Sukan

Jaguh Boling Negara Terus Bersinar, Nora Lyana Dinobat Juara Thailand Open 2026!

Share

Jaguh boling wanita negara, Nora Lyana Nastasia Norkamal baru-baru ini berjaya meraih perhatian selepas berjaya meraih kejuaraan dalam kategori wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2026. Kejayaan ini sekaligus mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara atlet boling terbaik negara di pentas antarabangsa.

Difahamkan, atlet yang berusia 29 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung sebelum melangkah ke pentas final ‘stepladder’ yang cukup mendebarkan. Persembahan beliau yang konsisten jelas menjadi faktor utama kejayaannya menewaskan pencabar lain.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin, Bangkok menyaksikan Nora Lyana berdepan cabaran sengit daripada pemain Singapura, New Hui Fen. Namun begitu, pengalaman dan ketenangan yang dimiliki Nora Lyana nyata memberikan kelebihan besar dalam aksi penentuan tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Nora Lyana berjaya mencatatkan 474 jatuhan pin bagi dua permainan, sekali gus mengatasi Hui Fen yang hanya merekodkan 353 jatuhan pin. Perbezaan mata yang agak ketara itu menggambarkan dominasi beliau sepanjang perlawanan akhir berkenaan.

Mengulas mengenai kejayaannya, Nora Lyana meluahkan rasa syukur atas pencapaian yang diraih, apatah lagi ia merupakan gelaran ketiganya dalam kejohanan tersebut.

“Saya amat bersyukur kerana dapat meraih gelaran ini buat kali ketiga. Ia begitu bermakna, lebih-lebih lagi kerana memberikan suntikan semangat menjelang Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) tahun ini”

“Keupayaan mengharungi keadaan lorong yang mencabar dan mara hingga ke penghujung benar-benar saya rasa bagaikan satu rahmat,” katanya.

Pada masa yang sama, Nora Lyana turut menyuarakan harapan untuk meneruskan momentum cemerlang ini sepanjang musim 2026. Fokusnya kini terarah kepada beberapa kejohanan besar yang bakal disertai dalam masa terdekat.

Untuk perkembangan lain, beliau dijangka akan memberi tumpuan penuh terhadap persiapan menghadapi Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) selain Kejohanan Asia 2026 yang dijadual berlangsung pada November di Doha, Qatar. 

Sumber: Astro Awani

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE