Berita

Nor Shamira Irwani, Pejuang Kanser Tahap 4 Raih Anugerah Emas Naib Canselor UUM -“Penyakit Bukan Titik Noktah Untuk Berjaya”

Share

Setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza dan buat Nor Shamira Irwani Farid, 24, ujian itu datang dalam bentuk yang sangat besar.

Graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini bukan sahaja menamatkan pengajian dengan PNGK 3.94, malah turut dikurniakan Anugerah Emas Naib Canselordalam majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah baru-baru ini.

Namun di sebalik senyuman dan jubah konvokesyen yang disarungnya, tersimpan kisah luar biasa tentang ketabahan melawan kanser Limfoma Hodgkin (Classic Hodgkin Lymphoma) tahap empat.

Perasan Ada Ketulan di Leher, Tak Sangka Disahkan Kanser Tahap 4

“Pada mulanya, saya perasan ada sebiji ketulan kecil di leher kanan. Tapi disebabkan kekangan masa, saya biarkan sehingga awal tahun ini ketulan itu semakin besar dan banyak,” cerita Shamira.

Beliau didiagnosis pada 19 Ogos 2025 dan hanya sebulan kemudian, pada 17 September, disahkan berada di tahap empat.

Ketika itu, Shamira sedang menjalani praktikum selama empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan kerap berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Pada awal rawatan, kemoterapi yang kuat memerlukan saya dimasukkan ke wad, sehingga tidak memungkinkan saya ke UUM Sintok untuk menghadiri majlis konvokesyen ini, tetapi perancangan Allah itu lebih tepat,” katanya.

Disambut Dengan Tepukan Satu Dewan

Kisah perjuangannya turut menyentuh hati ramai termasuk Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan, yang mengajak semua tetamu memberi tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan.

“Marilah memberi tepukan gemuruh sebagai sokongan dan kasih kita kepada Nor Shamira yang hadir bersama kita dalam dewan pagi ini,” katanya dalam ucapan aluan.

Detik paling bermakna tentunya apabila Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Canselor UUM, menyampaikan sendiri Anugerah Emas Naib Canselor kepada Shamira.

Anak bongsu daripada tiga beradik asal Nilai, Negeri Sembilan ini membuktikan kecemerlangan akademik bukan sekadar soal prestasi, tetapi juga soal hati yang cekal dan jiwa yang kuat.

Dari Wad Hospital ke Pentas Konvokesyen

Menurut Shamira, hasil PET scan terbaharu menunjukkan perkembangan positif, membolehkan doktor menukar rawatan kepada ubat yang kurang kuat.

Perkara itu akhirnya membuka ruang untuk beliau hadir ke sesi konvokesyen, bukan satu, tapi dua sesi sekali gus.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan puas dengan diri sendiri. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi saya peluang untuk merasai nikmat kejayaan ini. Segala penat lelah selama empat tahun ini terasa terbalas,” katanya penuh syukur.

Kekuatan Dari Keazaman, Doa dan Sokongan

Bagi Shamira, rahsia utama kekuatannya datang daripada tiga perkara iaitu keazaman, doa, dan sokongan.

“Keazaman menyalakan semangat sejak semester pertama untuk mengejar anugerah dan PNGK tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, doa daripada keluarga, pensyarah, rakan-rakan serta sokongan pasangan menjadi penguat semangat untuk menempuh segala cabaran, baik dalam pengajian mahupun rawatan kesihatan.

Beliau turut menghadiahkan kejayaan ini kepada ibu bapanya, yang tidak pernah berhenti berkorban sejak kecil, dari zaman

MRSM Merbok hingga ke UUM.

Pesanan Buat Pejuang di Luar Sana

Buat mereka yang sedang melalui fasa sukar, khususnya penyakit kronik atau cabaran kesihatan mental, Shamira menitipkan pesanan penuh makna:

“Jangan berputus asa. Penyakit bukan titik noktah untuk berjaya. Peganglah sekecil-kecil harapan, kerana masih ada orang yang menyokong dan mendoakan kita.”

Kini, Shamira bercita-cita untuk menjadi pensyarah dalam bidang akademik dan berkhidmat dalam kerja sosial perubatan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UUM News

Published by
Fath