Filem debut pengarah Malaysia disegani, Chiu Keng Guan di China bermula dengan langkah kanan apabila ia tersenarai di tangga pertama carta filem terkini negara tersebut.
Chiu Keng Guan yang terkenal sebagai pengarah filem OlaBola pada tahun 2016 sekali lagi mencipta fenomena hasil kreativitinya dan kali ini, ia amat membanggakan apabila negara luar seperti China pula yang mengiktiraf beliau.
Filem berjudul On Your Mark ini baru saja ditayangkan di sana bermula 18 Jun lalu dan respon yang diterima daripada para penonton cukup memberangsangkan; apabila ia telah meraih kutipan hampir RM24 juta selepas tiga hari tayangan.
Malah pada hari pertama On Your Mark ditayangkan, siapa sangka ia mampu meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta?
Memang hebat!
Ads
On Your Mark mengisahkan tentang seorang remaja bernama Xiao Erdong yang bercita-cita untuk menjadi seorang pelari maraton seperti ibunya. Namun cita-cita itu dihalang oleh ayahnya, Xiao Daming kerana tidak mahu anaknya itu kecewa kerana dia berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.
Tanpa pengetahuan ayahnya, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih di luar padang. Malang sekali semasa cuba melayakkan diri dalam sebuah pertandingan maraton, dia terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya itu menjadi kenyataan apabila anaknya disahkan buta.
Ads
Selain jalan cerita, skrip yang mantap dan sentimen ‘jangan berputus asa’ yang jelas dirasai dalam filem ini, On Your Mark juga, penulis percaya, mencapai kejayaan ini hasil lakonan berkesan nama-mana besar dari negara China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhang, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.
Yanhui Wang sebagai ayah, Xiao Daming.Youhao Zhang sebagai Xiao Erdong
Dan tentunya, hasil arahan Chiu Keng Guan yang terkenal dengan terapan tema perpaduan, kekeluargaan, persahabatan dan semangat patriotisma dalam karya beliau meletakkan On Your Mark pada aras tersendiri.
Terdahulu, Chiu Keng Guan pernah mencipta karya seni berfenomena seperti filem OlaBola (2016), Think Big Big (2018) dan The Journey (2014). Masing-masing pernah mengukit kejayaan besar dan filem terakhirnya, Think Big Big berjaya menembusi pawagam di negara China dan menjadi filem dari Malaysia pertama yang mendapat peluang ditayangkan di 10,900 buah pawagam dengan sejumlah 60,079 tayangan di sana.
Ads
“Sebagai pengkarya filem Malaysia, saya amat gembira ‘On Your Mark’ menerima sokongan padu di hari pembukaannya di China. Saya harap On Your Mark akan terus berjaya dan saya tidak sabar untuk persembahkan filem ini di Malaysia tidak lama lagi.” – Chiu Keng Guan
Penulis pun tidak sabar hendak menonton On Your Mark sejurus selepas pawagam di negara kita dibenarkan untuk kembali beroperasi. Harapnya, penerbit filem ini iaitu Astro Shaw akan membawanya ke pawagam Malaysia tidak lama lagi.
Jepun ada banyak tempat menarik dan salah satunya adalah Chiba. Daripada modernisasi ke peninggalan zaman edo, korang boleh menyelami kehidupan masyarakat di sini, dan pada masa yang sama membawa pulang memori menakjubkan dengan cosplay ala kehidupan sebenar, menyusuri bandar dengan laluan sungai dan berhibur di taman tema. Jepun itu bukan sekadar Tokyo ya!
Dimana sebenarnya Chiba?
Jepun mempunyai 47 prefecture atau pun wilayah. Chiba prefecture adalah salah satunya dalam kawasan Kanto. Ia terletak bersebelahan bandar Tokyo. Jika nak dibandingkan dengan Malaysia, Chiba seperti negeri Melaka, manakala Tokyo adalah seperti bandar Kuala Lumpur.
Suhu
Waktu kunjungan kami ke tempat ini, suhu adalah sekitar 3 – 6 darjah celcius. Ini pada Februari lalu. Sentiasa perhatikan musim dan suhu tempatan sebelum berkunjung ke luar negara. Bolehlah mempersiapkan diri dengan apa yang diperlukan.
Bagi mereka yang tidak tahan sejuk, bawalah jaket winter, sarung tangan, penutup mulut dan hidung (mask) jika cuaca menjadi terlalu sejuk dan berangin, baju panas heattech atau long john serta pad pemanas untuk diletakkan di dalam poket.
Tempat menarik di Chiba
Naratisan Shinshoji Temple
Setibanya di Narita Airport, kami bergerak menuju ke Naratisan Omotesando Street di mana terdapatkan kuil Naritasan Shinshoji. Masuk tempat ini macam masuk sebuah perkampungan kecil, penuh dengan upacara keagamaan dan ritual kepercayaan mengikut fahaman Buddha. Kuil, binaan, batuan dan aspek arkitektur yang terdapat di sini terbina sejak beratus tahun lalu dan dipelihara sehingga ke hari ini.
Kemudian kami berjalan pula di luar. Cuaca dingin membuatkan penat berjalan tidak terasa meskipun kami sedikit mendaki bukit, sambil leka memerhati kehidupan harian masyarakat di sini yang menjual dan berniaga pelbagai jenis barangan daripada cenderamata, makanan dan barangan unik Jepun.
Naratisan Omotesando Street
Sammu Narutou Area
Mungkin korang rasa petik strawberi dekat Malaysia pun boleh buat. Tetapi percayalah, strawberi yang dipetik segar disini manis dan sedap. Siapa yang tidak percaya ada strawberi manis, kena datang sini.
Kami singgah ke Aiban Strawbery Farm, di mana sekeliling ini juga terdapat banyak ladang buah dan sayuran lain. Bayaran sekitar 1000 yen untuk membolehkan kita makan sebanyak mungkin strawberi dalam masa 30 minit. Simply awesome!
Choshi Railway Station
Kereta api merupakan pengangkutan utama di Chiba. Jika hendak melihat sejarah dan stesyen kereta api terawalnya, berkunjunglah ke Choshi Railway Station. Tempat ini juga cantik dalam gambar. Kiranya ‘instaworthy’, korang mesti teruja.
Inubosaki lighthouse
Tidak jauh daripada Hotel Inubosaki terdapatnya rumah api yang dibina oleh arkitek British pada 1874. Rumah api ini merupakan salah satu daripada 100 rumah api bersejarah terbaik di dunia. Rugi kalau tak pergi.
Kena panjat 99 anak tangga tu memang sedikit penat, tetapi bila sampai di atas, korang akan kagum dengan pemandangan lautan pasifik yang sangat cantik. Pada musim sejuk dan berangin hati-hati kerana angin kuat boleh menyebabkan telefon tercampak. Jika nak berselfie, pastikan korang pegang baik-baik telefon itu.
Mother Farm
Jangan tidur sewaktu perjalanan ke Mother Farm. Ladang yang terletak di gunung Kanosan ini mempunyai pemandangan yang cantik. Korang akan nampak Teluk Tokyo dan juga Gunung Fuji. Dikatakan pada musim bunga, ia semakin cantik lagi.
Kalau nak tahu, Mother Farm bermula sebagai sebuah ladang kecil pemberian dari seorang anak kepada ibunya, sebab itu nama dia ‘Mother Farm’. Sekarang dah jadi tempat hiburan menarik dan terkenal di Chiba.
Bagi makan biri-biri, main dengan haiwan ternakan dan paling utama saksikan persembahanlakon teater haiwan dimana karektor utama adalah haiwan-haiwan itu sendiri. Pada sebelah malam, Mother Farm akan dipenuhi lampu-lampu dan taman tema kecil akan dibuka untuk bermain Roda Ferris dan banyak lagi.
Persembahan haiwan menerusi penceritaan ala teater
Umihotaru Parking Area
Sewaktu perjalanan turun dari Mother Farm, Gunung Fuji boleh dilihat dengan lebih jelas. Pada masa sama juga matahari terbenam, pemandangan adalah menakjubkan. Umihotaru merupakan sebuah parkir yang berada di atas lautan dan menghubungkan orang ramai ke bandar Tokyo. Apabila naik ke tingkat lima, ada kawasan terbuka untuk melihat pemandangan Gunung Fuji dan aktiviti sekitar Teluk Tokyo ini. Pada waktu angin kuat, cuaca akan sangat sejuk, pastikan korang pakai baju berlapis.
Pemandangan dari dek pemerhati di Umihotaru. Kelihatan Mt. Fuji diantara matahari terbenam.
Kisarazu Station – Yoshikawa Kouen Station
Tak sah kalau datang Jepun tak rasa naik tren. Rata-ratanya masyarakat disini bergerak dengan pengangkutan awam. Tak hairanlah masa ketibaan dan berlepas tren mereka ‘on time’. Kami dibawa jalan-jalan sekitar bandarnya dan diminta memerhatikan Chiba City Manhole. Bukan Hollywood aje ada tanda jalan macam ni. Ia merupakan penutup lubang atas jalanraya dengan perincian identiti Chiba. Tidak semua tempat ada, jadi kena cari kalau nak ambil gambar.
Chiba City Manhole dengan simbol dan imej unik Chiba
Nishi Chiba Mosque
Masjid Nishi terletak di Pusat Budaya Islam Chiba. Pada mulanya kami bayangkan ia seperti masjid di Malaysia dengan kubah dan kawasan lapang. Tetapi masjid di sini adalah seperti sebuah surau tapi besarnya masih boleh menempatkan jemaah untuk Solat Jumaat. Student banyak pergi ke sini, sebab di sini juga menjual barang makanan halal yang diimport dari malaysia, Indonesia, Thailandjuga barangan halal Jepun yang lainnya.
Boso-no-Mura (*****)
Tempat ini mesti masuk dalam senarai wajib pergi dan luangkan lebih masa di sini jika berkunjung ke Chiba. Rasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Jepun, dimana kita akan dibawa melalui transasi pakaian, makanan dan rumah dari zaman kuno ke zaman moden. Masuklah ke perkampungan Samurai dan kedai yang mempamerkan seni asli Jepun.
Pada mulanya korang kena tukar pakaian di Cosplay Annex. Boleh pilih pakaian tradisional seperti Kimono, Ninja atau pakaian lebih moden. Kemudian masuk ke perkampungan Jepun ini untuk menyelami budaya dan kehidupan mereka secara langsung. Jika benasib baik, korang boleh lihat rakaman filem disini yang lazimnya digunakan sebagai set untuk cerita-cerita lama. Boso-no-Mura ini seperti Hollywood Jepun.
Sawara City
Sebelum korang membayangkan bosan, kami jawab awal-awal, tidak. Kami dibawa menyusuri sungai Sawara dalam cuaca dingin yang menyenangkan. Pada zaman dulu, pekan Katori ini dihubungkan melalui sungai, dimana eksport utama adalah beras. Urusan melalui sungai adalah lebih mudah berbanding pengangkutan lain.
Pemandu bot akan bercerita sambil kita boleh membayangkan kehidupan sejarah lepas menerusi bangunan rumah dan kedainya yang masih dikekalkan.
Mereka ada undang-undang lokal yang mengatakan bangunan baru tak boleh dibina disini. Sebahagian besar rumah yang dilihat disini terbina sejak dari zaman Edo dan masih ada orang yang tinggal. Sawara City ini juga popular sebagai lokasi set filem. Antara filem pernah dirakam di sini ialah The Rising Sun (Thailand), kalau-kalau korang pernah tengok.
Aeon Mall
Lokasi membeli-belah pula jangan bimbang kerana di Chiba atau di tempat-tempat lain di Jepun, terdapat banyak Aeon Mall. Tarikan lazim buat orang Malaysia tentunya Daiso. Cari barang-barang Daiso yang tak terdapat di Malaysia dan harganya kurang RM1 daripada tempat kita. Untuk cenderamata disyorkan beli di sini.
Mega Don Quijote Narita
Dekat dengan Narita Aeon Mall adalah Don Quijote. Tempat ini pun best juga. Daripada cenderamata, kelengkapan rumah, barang penjagaan kulit dan banyak lagi dijual murah. Ramai yang borong coklat Kit Kat, Hada Labo, dan juga benda-benda unik lain disini.
Makan
Yoneya Tourist Centre
Tentang makan korang jangan risau, Chiba sedang mempromosikan pelancongan mesra muslim. Ini bermakna banyak tempat makan halal boleh didapati di sini, contohnya di Yoneya Tourist Centre. Makanan dihidangkan lengkap satu set daripada pemula, menu utama hingga ke manisan. Konsep makan di Jepun mengutamakan kesegaran. Jika makanan panas, ia hendaklah dihidang panas-panas dan dinikmati pada waktu itu juga. Jangan terkejut jika korang perlu menyiapkan sup sendiri di atas meja.
Sunrise Kujukuri
Tempat makan ini berdekatan dengan Inubosaki. Ada pelbagai menu daripada mahal (3000 yen iaitu kira-kira RM112 satu hidangan) kepada yang murah. Sambil makan boleh lihat pemandangan laut, dan restoran ini juga ada menjual barangan yang boleh dibuat cenderamata.
Umihotaru
Umihotaru mempunyai banyak kedai dan restoran. Cuba makan di food court sebab di situ ada menu halal yang boleh dipesan menerusi sistem ‘vending machine’. Serahkan kupon ke kaunter makanan yang korang mahukan dan korang akan diberi alat keloi yang berbunyi apabila makanan siap. Perhatikan label menu halal sewaktu membeli, mudah.
Menu halal dilabel untuk memudahkan pengunjung muslim
TAKO Takoyaki
Kedai Tako Takoyaki ini berada di bandar Chiba. Ia lembut dengan sos terbaik, sesuai dengan tekak orang Malaysia. Menurut pemiliknya, untuk buat Takoyaki yang lembut adalah lebih sukar. Ia Halal dan satu set pasti tak cukup.
Est Bambino – Junnu Shopping Mall
Jika nak merasa gabungan masakan Itali dengan sayuran segar Chiba pula, boleh berkunjung ke Est Bambino dalam Junnu shopping mall. Sayuran disini diambil segar dari ladang Takanashi. Bagi orang disini, kesegaran sayuran adalah penting dan ia nampak indah di atas pinggan dengan warna-warna terang dan menarik.
Sushi Ichizyu
Di restoran Sushi Ichizyu kami belajar cara membuat sushi. Buat sushi tak semudah yang disangkakan. Ada teknik perletakkan jari dan cara yang betul untuk menggenggam dan mengalihnya. Semuanya adalah seni dalam penghasilan makanan Jepun ini. Bagi yang tak biasa, mahu tergeliat juga tangan membuatnya.
Kanetaya Sakaemachi
Restoran ini pula diwarisi dari generasi ke generasi sejak lebih 150 tahun lalu. Paling tidak boleh dilupakan adalah kek khas yang dibuat disini, dihidangkan bersama krim dan buah segar, sangat sedap. Ia merupakan resipi keluarga dan pastikan korang beli yang tiada alkohol.
Hotel
Inubosaki Hotel
Hotel ini terletak bersebelahan laut dan terdapat kolam air panas untuk pengunjung hotel. Tapi perlu diingatkan, kolam air panas di sini mengamalkan sistem tanggal pakaian sepenuhnya. Lebih baik rendam sahaja kaki di kolam air panas berasingan dan nikmati pemandangan lautan pasifik yang cantik. Ada beberapa penguin yang menjadi residen tetap hotel. Beritahu kami jika mereka masih ada sewaktu korang ke Inubosaki Hotel.
Washington Hotel Kisarazu
Sekeliling hotel ini terdapat kedai-kedai yang masih beroperasi hingga lewat malam. Bolehlah berjalan ke 7eleven untuk membeli snek. Hotel Kisarazu seperti kebanyakkan hotel lain di Jepun menyediakan kemudahan tv dan program On Demand. Jika terasa nak menonton filem pada waktu malam, dipersilakan.
Boleh berjalan turun ke 7 Eleven untuk tengok apa menarik di kedai serbaneka disini
Hotel Port Plaza Chiba
Setibanya dalam bilik disediakan sejadah, set kiblat dan tasbih. Mereka cuba menjadikan bilik disini mesra Muslim untuk menarik pengunjung Malaysia dan juga Muslim dari negara lain.
Satu perkara lain yang kami suka tentang hotel di Chiba adalah kelengkapan bilik airnya. Tandas dengan fungsi automatik, kami sanggup bayar jika ada di Malaysia. Sejurus duduk, permukaan tandas akan menjadi panas dan selesa. Bukan hanya di hotel, kemudahan ini juga ada di tempat-tempat lain seluruh Jepun.
Marroad International Hotel Narita
Hotel ini dekat dengan Narita Airport, kira-kira 15 minit perjalanan untuk anda kejar penerbangan balik ke Malaysia. Rezeki kami pada malam sebelum balik itu, dapat rasa salji yang turun lebat sekitar jam 10 malam. Rajin-rajin buka apps cuasa jika nak tahu ramalan salji turun.
Pemandangan sekitar hotel dipenuhi salji pada waktu pagi
Lain-lain
Banyak lagi tarikan lain yang boleh dikunjungi di Chiba. Antaranya Kamogawa Sea World, Sakura City (bandar Samurai), Tokyo Disney Resort, Country Farm Tokyo German Village di Gunung Nakogiri dan membeli belah di Mitsui dan Shisui Premium Outlet.
Chiba ada gabungan kedua-dua moden dan tradisional, jika korang nak pertimbangkan untuk rasa dua-dua. Kalau nak pergi ke Tokyo pun tidak jauh, perjalanan hanya sekitar 40 minit. Selepas musim sejuk, Chiba akan dipenuhi dengan bunga-bungaan indah dan ada yang hanya terdapat di wilayah ini sahaja.
Tahun hadapan pula ada Tokyo 2020. Chiba boleh jadi destinasi yang korang nak duduk dan buat kenangan ketika di Jepun.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, selepas menerima permintaan luar biasa daripada peminat tegar kumpulan rock terkenal, My Chemical Romance (MCR) di Malaysia telah membuahkan hasil apabila konsert mereka di Kuala Lumpur ditambah kepada dua malam berturut-turut.
Pengumuman ini dikongsi oleh penganjur, Hello Universe menerusi media sosial selepas 60,000 tiket bagi malam pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil habis terjual dalam masa kurang dua jam. Situasi ini turut mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat, terutama apabila wujudnya gangguan teknikal dan penjualan semula tiket oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, konsert tambahan ini bakal berlangsung pada 1 Mei 2026, sehari selepas persembahan asal yang dijadualkan pada 30 April 2026, menjadikan Malaysia satu-satunya negara Asia Tenggara dengan dua malam persembahan.
“Rasmi! Doa anda termakbul dan suara anda didengari, Malaysia!”
“Bersedia untuk satu-satunya persembahan kedua yang ditambah untuk Asia Tenggara! Ini adalah peluang terakhir anda untuk menjadi sebahagian daripada malam paling epik dalam sejarah emo rock,” tulis Hello Universe dalam kenyataan rasmi mereka.
Tiket untuk malam kedua konsert akan mula dijual pada 1 Ogos 2025 jam 10 pagi menerusi laman web dan aplikasi rasmi GoLive Ticketing. Harga tiket kekal seperti malam pertama bermula dari RM299 hingga RM1,099 merangkumi zon tempat duduk dan berdiri.
Kehadiran MCR ke Malaysia kali ini merupakan sebahagian daripada jelajah Asia mereka, namun hanya Kuala Lumpur dipilih untuk dua malam persembahan. Negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina hanya menerima satu malam konsert sahaja setakat ini.
Terdahulu, kali terakhir MCR membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2007 menerusi jelajah ‘The Black Parade World Tour’ dan kepulangan mereka kali ini membawa nostalgia mendalam buat generasi peminat yang membesar dengan lagu-lagu seperti Welcome to the Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay (I Promise).
Respon luar biasa ini membuktikan bahawa muzik MCR masih relevan dan mendapat tempat di hati peminat lama mahupun generasi baru. Tambahan malam konsert ini dilihat sebagai satu penghargaan kepada peminat Malaysia yang setia menanti kemunculan semula mereka.
Dengan kehadiran MCR yang dijangka bakal menggegarkan pentas Bukit Jalil selama dua malam, para peminat digesa untuk bersiap sedia dan tidak melepaskan peluang memiliki tiket seawal mungkin. Tidak mustahil, konsert malam kedua ini juga bakal habis dijual dalam masa singkat seperti sebelumnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagi peminat K-Pop, sudah pasti ramai yang mengetahui penyanyi sensasi, G-Dragon bakal melakukan konsert jelajah dunia solo Übermensch di beberapa destinasi termasuk Kuala Lumpur, Malaysia.
Tidak dinafikan, ia mendapat sambutan peminat sehingga ada yang sanggup menghitung hari dan mengikat perut bagi merebut peluang untuk melihat sendiri penyanyi legenda K-Pop ini membuat persembahan secara langsung depan mata.
Pada masa yang sama, terdapat juga segelintir pihak mengambil kesempatan selepas beberapa hari tiket mula dijual mengikut fasa bermula dari kelab peminat (VIP), pra-jualan, sampai ke jualan tiket umum yang mula menimbulkan drama dan ketegangan dalam kalangan peminat.
Menerusi sebuah perkongsian yang di media sosial baru-baru ini, terdapat individu yang sanggup menjual semula tiket (resell) dengan harga tidak masuk dek akal. Tiket asal untuk zon VVIP barisan hadapan yang sepatutnya berharga RM1,339 kini dijual semula sehingga mencecah RM28,000.
Hal itu telah mencetuskan pelbagai reaksi peminat K-Pop terutamanya VIP yang meluahkan rasa kecewa dan marah di media sosial sehingga merasa dikhianati kerana peluang untuk melihat idola kesayangan mereka diragut oleh ‘scalper’ iaitu individu yang membeli banyak tiket semata-mata untuk dijual semula dengan harga melampau demi keuntungan sendiri.
Walaupun situasi ini bukan sesuatu yang baru dalam dunia hiburan, terutama untuk konsert artis-artis besar seperti G-Dragon tetapi bila ia berlaku di Malaysia. Ianya jadi lebih menyedihkan kerana peluang ini jarang datang, lebih lagi Malaysia antara negara yang sering tidak dimasukkan dalam destinasi beberapa konsert berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Sementara itu, peminat turut berharap agar pihak penganjur dan platform penjualan tiket lebih tegas dalam menangani isu penjualan semula yang tidak beretika ini.
Selain itu, ada yang mencadangkan sistem pendaftaran dengan kad pengenalan, had pembelian tiket, atau bahkan teknologi anti-scalping seperti kod dinamik QR. Mereka juga berharap agar pihak penganjur akan mengambil tindakan susulan agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi.
Sekadar info, G-Dragon bakal memulakan konsert jelajah dunia ‘Übermensch Tour 2025’ bermula Mei ini dan bakal menggegarkan beberapa bandar di seluruh dunia seperti Tokyo, Osaka, Macau, Taipei, Jakarta, Hong Kong, termasuk Kuala Lumpur pada Julai ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kaki palsu mesra solat MyB Prosthetic Limb ciptaan pakar HUKM memberi harapan baharu kepada pesakit amputasi untuk beribadah dengan lebih selesa dan yakin.