
Penyanyi dan komposer terkenal, Noh Salleh, baru-baru ini mencuri perhatian apabila berkongsi pengalaman selepas selamat menjalani satu pembedahan tulang belakang selepas dimasukkan ke Hospital UKM Specialist Centre (HUKMSC) susulan masalah kesihatan yang dialaminya sejak beberapa ketika lalu.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, vokalis kumpulan Hujan itu memaklumkan pembedahan berkenaan dilakukan pada 19 Januari lalu bagi menangani masalah tulang belakang di bahagian tengkuk melibatkan C6 dan C7 yang mengakibatkan tekanan saraf.

Menurut Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh (41), keadaan tersebut menyebabkan beliau mengalami kebas pada tangan serta sakit belakang kronik sehingga menjejaskan rutin harian, termasuk kesukaran untuk mengangkat anaknya.
“Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 & C7 yang menyebabkan nerve impingement, tangan kebas dan sakit belakang kronik sampai ganggu nak angkat baby Tara,” tulisnya menerusi perkongsian yang sama.

Jelas beliau, pembedahan tersebut telah dikendalikan oleh pakar bedah, Prof. Dato’ Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin dan disahkan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi serius. Namun, Noh mengakui pembedahan tersebut mempunyai risiko tersendiri memandangkan lokasi pembedahan berada berhampiran pita suara yang menjadi sumber rezekinya sebagai seorang penyanyi.
“Yang buat tak best adalah lokasi surgery betul-betul di belakang vocal cords aku risiko besar pada organ yang jadi punca rezeki aku,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa syukur apabila segalanya berjalan dengan baik dan memohon doa orang ramai agar proses pemulihannya dipermudahkan, meskipun mengakui sedikit kebimbangan kerana mempunyai persembahan yang dijadualkan dalam masa terdekat.
“Tapi Allah jaga. Alhamdulillah. Mohon kawan-kawan doakan semua agar proses sembuh dipermudahkan dan kembali normal secepat mungkin. Risau? Ya. Sebab ada show Sabtu ini,” jelas Noh lagi.
Pada masa yang sama, Noh turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, rakan-rakan, anggota kumpulan Hujan serta kakitangan HUKMSC yang telah memberikan sokongan dan penjagaan sepanjang tempoh beliau menerima rawatan.
Sementara itu, di ruangan komen perkongsian tersebut turut dibanjiri dengan ucapan doa dan kata-kata semangat daripada para peminat serta rakan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ari Lesmana, Pamungkas, Aina Abdul, Akim Ahmad dan ramai lagi yang mendoakan agar Noh diberikan kesembuhan segera. Rata-rata daripada mereka turut menasihati penyanyi itu supaya berehat secukupnya dan mengutamakan kesihatan sebelum kembali aktif dalam dunia seni.
Sumber: Instagram Noh Salleh
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













