
viral
Niat sekadar mahu berkongsi atau ‘membuka mata’ orang ramai di media sosial sebenarnya boleh mengundang padah, terutamanya apabila melibatkan pendedahan maklumat peribadi individu lain tanpa kebenaran.
Tindakan seperti menagih hutang secara terbuka, mendedahkan pasangan curang atau kononnya ingin menyelamatkan orang lain daripada ditipu kini semakin menjadi trend, namun hakikatnya ia boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan jenayah.
Menerusi laporan Harian Metro, peguam Dr Mahmud Jumaat menjelaskan bahawa perbuatan tersebut boleh membuka ruang kepada pelbagai risiko termasuk gangguan, ugutan, tekanan emosi serta ancaman keselamatan fizikal terhadap mangsa.
“Atas sebab itu, Malaysia memperkenalkan peruntukan khusus dalam Seksyen 507E Kanun Keseksaan melalui pindaan tahun 2025 bagi menghukum perbuatan ‘doxxing’ iaitu menerbitkan, menyebarkan atau membuat tersedia maklumat identiti seseorang tanpa persetujuan.
“Perbuatan itu dibuat dengan niat atau pengetahuan (atau sepatutnya tahu) bahawa ia boleh menyebabkan mangsa mengalami gangguan, ketakutan, kebimbangan atau kemudaratan,” katanya.
Selain itu, pendedahan identiti di media sosial juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya Seksyen 233 jika kandungan yang dikongsi bersifat menyinggung atau mengancam.
“Pada masa sama, pendedahan identiti melalui media sosial juga boleh terjerat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya Seksyen 233, kerana peruntukan tersebut menghukum sesiapa yang menggunakan rangkaian untuk membuat komunikasi yang bersifat menyinggung atau mengancam dengan niat untuk mengganggu, mengugut atau mengganggu orang lain,” katanya.
Menurut Dr Mahmud, tindakan memviralkan individu termasuk berkongsi gambar, alamat rumah atau nombor kenderaan boleh dianggap sebagai pendedahan maklumat peribadi kerana ia membolehkan seseorang dikenalpasti.
“Dalam keadaan sedemikian, walaupun pihak yang memviralkan mendakwa hutang itu benar, perbuatan menyebarkan identiti seseorang untuk memalukan atau mengundang kecaman awam berpotensi jatuh di bawah peruntukan doxxing dalam Seksyen 507E Kanun Keseksaan, kerana elemen ‘mendedahkan maklumat identiti tanpa persetujuan’ dan ‘kemungkinan menyebabkan gangguan, ketakutan, kemudaratan’ boleh wujud berdasarkan fakta kes,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, jika hantaran tersebut disertai tuduhan seperti ‘penipu’ atau ‘scammer’ tanpa bukti kukuh, ia juga boleh membawa kepada kesalahan fitnah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan.
“Lebih penting, sekiranya hantaran itu disertai dengan tuduhan yang menjatuhkan reputasi seperti menyatakan individu itu ‘lari hutang’, ‘penipu’, atau ‘scammer’ tanpa bukti yang kukuh dan tanpa proses undang-undang yang sah, maka tindakan tersebut boleh menimbulkan liabiliti fitnah, termasuk jenayah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail turut menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan maklumat peribadi tanpa kebenaran adalah salah di sisi undang-undang dan tidak boleh diterima.
Maklumat peribadi yang dimaksudkan termasuk alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri serta maklumat keluarga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.