Hiburan

NewJeans Beri Petanda ‘Comeback’? Kini Tampil Dengan Empat Ahli Selepas Setahun Menyepi

Share

Selepas sekian lama menyepi, kumpulan K-Pop sensasi NewJeans kembali mencuri perhatian apabila tampil dengan kandungan baharu yang menampilkan empat ahli mereka. Perkongsian itu bukan sahaja diraikan peminat, malah turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan kumpulan tersebut bakal kembali beraksi dalam industri muzik.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube rasmi kumpulan itu, NewJeans memperkenalkan “2026 Summer of NewJeans” yang dikongsikan tepat pada 22 Julai lalu tanpa sebarang pengumuman awal. Video berkenaan menjadi perhatian peminat kerana ia merupakan kandungan berkaitan kumpulan pertama selepas lebih setahun mereka tidak tampil bersama.

Selain video tersebut, beberapa foto baharu yang memaparkan empat ahli iaitu Haerin, Hyein, Minji dan Hanni turut dimuat naik menerusi laman rasmi serta akaun Instagram NewJeans. Kemunculan mereka bersama dalam satu kandungan rasmi itu mengundang pelbagai reaksi daripada peminat yang menantikan perkembangan terkini kumpulan tersebut.

Terdahulu, aktiviti NewJeans terhenti susulan konflik antara kumpulan itu dan agensi mereka, ADOR, yang berkaitan isu pemecatan bekas CEO, Min Hee-jin serta pertikaian mengenai kontrak eksklusif mereka. Pada November 2024, NewJeans pernah mengumumkan keputusan untuk menamatkan kontrak bersama agensi berkenaan, namun mahkamah kemudiannya memihak kepada ADOR dalam beberapa prosiding berkaitan.

Susulan keputusan mahkamah tersebut, Haerin, Hyein dan Hanni dilaporkan kembali bersama ADOR pada tahun lalu. Dalam perkembangan sama, pihak agensi turut mengumumkan penamatan kontrak bersama Danielle, manakala perbincangan berkaitan Minji pula dikatakan masih berlangsung dalam keadaan positif.

Pada masa yang sama, kemunculan terbaharu itu turut dilihat oleh pemerhati industri sebagai petanda bahawa aktiviti kumpulan mungkin bakal diteruskan semula. Walaupun penampilan Minji dalam video dan foto tersebut mencetuskan andaian mengenai kepulangannya bersama agensi, perkara itu masih belum disahkan secara rasmi.

Selain itu, ADOR menjelaskan bahawa video tersebut dihasilkan istimewa untuk meraikan ulang tahun keempat debut NewJeans bersama peminat. Pihak agensi turut memaklumkan bahawa perancangan lanjut berkaitan aktiviti masa hadapan kumpulan tersebut akan diumumkan selepas proses perbincangan selesai, selain menjanjikan lebih banyak perkembangan pada masa akan datang.

Sementara itu, bekas ahli NewJeans, Danielle turut berkongsi hantaran istimewa di Instagram sempena ulang tahun keempat kumpulan tersebut dengan memuat naik sekeping swafoto. Menerusi perkongsian itu, beliau menyampaikan pesanan penuh harapan agar terus bersinar meskipun berdepan cabaran dalam kehidupan, selain meluahkan rasa syukur atas segala pengalaman yang dilalui.

BACA: Kontrak Eksklusif Jadi Pertaruhan, ADOR Saman Danielle NewJeans 33.1 Bilion Won

Untuk rekod, NewJeans sebelum ini mencipta nama menerusi beberapa lagu popular seperti ‘Hype Boy’, ‘Ditto’, ‘OMG’ dan ‘Super Shy’, selain mencatat sejarah apabila album mini kedua mereka ‘Get Up’, berjaya menduduki tangga pertama carta Billboard 200 pada 2023.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE