Berita

#NepoKid: Gaya Hidup Mewah Anak Pemimpin Cetus Protes Besar-Besaran Di Nepal

Share

#NepoKid. Sikap menunjuk gaya hidup mewah anak-anak ahli politik Nepal kini menjadi tumpuan dunia, selepas ia dipercayai mencetuskan gelombang protes besar-besaran di negara itu. Apa yang bermula dengan trend media sosial kini sudah bertukar menjadi demonstrasi jalanan.

Menurut laporan Sinar Harian, Sebelum protes ganas berlaku, tanda pagar #NepoKid trending di TikTok, Instagram dan X, apabila rakyat Nepal – khususnya anak muda – mendedahkan gaya hidup penuh kemewahan anak-anak pemimpin. Kereta sport, pakaian berjenama antarabangsa, jam tangan eksklusif, beg tangan mewah dan percutian ke luar negara seolah menjadi simbol kehidupan mereka, sedangkan majoriti rakyat sedang bergelut dengan pengangguran serta kemiskinan.

Tidak cukup dengan itu, slogan pedas seperti “Cukai kami, untuk kemewahan mereka”, “Kami bayar, kamu berlagak” dan “Ke mana hilangnya duit rakyat?” turut menjadi viral, sekali gus menyalakan api kemarahan orang ramai.

Menurut Pengarah Urusan syarikat e-hailing Pathao, Asheem Man Singh Basnyat, isu ini bukan soal kebencian, tetapi soal akauntabiliti.
“Orang ramai akan bongkar. Gambar dan video di media sosial boleh dijadikan bukti. Ini bukan soal benci, ini soal tanggungjawab,” tegasnya.

Antara individu yang paling banyak disebut termasuklah Jai Bir Deuba (anak bekas Perdana Menteri Sher Bahadur Deuba), Shrinkhala Khatiwada (anak bekas Menteri Kesihatan Birodh Khatiwada), serta Ganga Dahal dan Smita Dahal, masing-masing anak dan cucu bekas Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal.

Kempen #NepoKid ini kemudian berkembang menjadi protes besar pada 8 September di Baneshwar, berhampiran Parlimen Nepal, dengan slogan #NoMoreCorruption dan #WakeUpChallenge yang dibawa oleh ribuan peserta.

Namun, ada juga yang mempertikaikan trend ini. Aktivis hak asasi manusia, Charan Prasai, berpendapat tindakan mengheret anak-anak pemimpin dalam isu ini adalah tidak adil.
“Walaupun keadaan rakyat sukar, tidak adil menghukum anak-anak atas kesalahan ibu bapa. Setiap individu berhak hidup bermaruah,” katanya.

Walaupun sebahagian anak pemimpin menafikan dakwaan tersebut, kecaman di media sosial tidak reda. Malah, ia terus menyemarakkan semangat rakyat untuk menuntut perubahan – membuktikan bahawa suara generasi muda hari ini semakin lantang dalam memperjuangkan keadilan.

BACA LAGI : RM2.28 Juta Pampasan! Remaja Alami Kerosakan Otak Kekal Akibat Kecuaian Doktor Semasa Dilahirkan

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana