Berita

Nasi Kerabu ‘Takluk’ London, Gerai Kecil Raih Jualan RM2.18 Juta Setahun

Share

Hidangan tradisional Malaysia, nasi kerabu sekali lagi membuktikan keistimewaannya apabila berjaya mencuri perhatian penduduk di London yang cukup menggemari sajian tersebut.

Menerusi perkongsian video di akaun TikTok @christhechindian, seorang pencipta kandungan dikenali sebagai Chris berkongsi pengalamannya bertemu sebuah gerai kecil bernama Eat Lah yang beroperasi di sebuah taman terbuka di London.

Apa yang mengejutkan, pemilik gerai tersebut dikatakan mampu meraih pendapatan mencecah £400,000 (RM2.18 juta) setahun hanya dengan menjual nasi kerabu.

Berkongsi kisah di sebalik penubuhan

Eat Lah, pemiliknya Robert Ngo memaklumkan dia mula membuka gerai itu bersama keluarga sejak tahun 2019 selepas meninggalkan kerjaya sebagai seorang arkitek.

Lelaki berbangsa Cina kelahiran Britain itu berkata, dunia perniagaan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya memandangkan bapanya pernah memiliki sebuah restoran sebelum ini.

“Sebelum ini saya merupakan seorang arkitek selama 10 tahun dan meninggalkan kerjaya tersebut disebabkan hilang rasa minat.

“Saya mengambil keputusan membuka bisnes nasi kerabu kerana bapa saya pernah memiliki sebuah restoran sebelum ini, malah saya juga dibesarkan dalam suasana dikelilingi makanan,” katanya.

Menurut Robert, idea menjual nasi kerabu tercetus hasil cadangan isterinya, Mel, yang merupakan rakyat Malaysia berasal dari Kelantan.

Mel, kata Robert, mahu membawa ‘rasa’ tempatan ke London sebagai pengubat rindu terhadap kampung halaman. Tidak disangka, usaha tersebut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

Menerusi video yang tular itu, Eat Lah dilihat hanya menggunakan kanopi seperti gerai biasa di Malaysia, namun tetap dibanjiri pelanggan. Malah, ramai pembeli yang pertama kali mencuba hidangan itu kelihatan teruja dan tertanya-tanya mengenai nasi berwarna biru tersebut.

Jelas Robert, dia mengambil masa untuk memperkenalkan nasi kerabu kepada masyarakat di London kerana hidangan itu masih asing bagi kebanyakan mereka.

“Pada awal-awal dahulu pernah hanya sebungkus sahaja nasi kerabu yang terjual.

“Sejujurnya saya ambil masa juga untuk memperkenalkan tentang makanan yang dijual kerana tidak semua orang sini (London) tahu tentang nasi berwarna biru ini. Tapi sekarang saya mampu menjual sehingga 300 kotak nasi kerabu sehari,” katanya.

Kejayaan Eat Lah tidak terhenti setakat gerai sahaja apabila Robert dan isterinya kini melangkah setapak ke hadapan dengan membuka sebuah restoran bernama Ong Lai Kopitian yang terletak di Wood Wharf.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath