Naim Daniel Bakal ‘Peram Saja’ Lagu Ciptaannya Untuk Siti Sarah?

Share

 

Kedua-dua insan yang berkolaborasi dengan Naim Daniel menerusi lagu ini juga telah pergi menemui Ilahi.

 

Satu-persatu rakan selebriti kepada Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, 37 menitipkan ucapan takziah di atas pemergian penghibur berbakat itu di media sosial pada hari ini.

Selain mengajak pengikut mereka mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah, ada juga yang tampil berkongsi mengenai hubungan peribadi mereka dengannya serta memuji akhlak dan keperibadiannya.

ARTIKEL BERKAITAN : Selalu Ringan Tangan Hulur Bantuan, Kebaikan Siti Sarah Dikongsi Nadir Al-Nuri & Ebit Lew – REMAJA

Menerusi hantaran di Instagram, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel berkongsi cebisan perbualan di antara dirinya dan arwah.

Perbualan itu mungkin sekali berlaku sewaktu Naim meraih kejayaan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 menerusi Sumpah pada Februari 2020 memandangkan arwah Siti Sarah dilihat mengucapkan tahniah kepada Naim dalam perbualan tersebut.

Pada masa yang sama, arwah secara berseloroh membuat permintaan inginkan lagu ciptaan Naim sebagai single terbaru bagi dipersembahkannya di pentas AJL. Untuk pengetahuan, kali terakhir arwah muncul dengan single baharu adalah menerusi Manis karya Yonnyboii. Selepas berterima kasih di atas ucapan tahniah daripada arwah, Naim terus bersetuju untuk menyiapkan demo.

Sumber Foto : Instagram Naim Daniel

Hanya beberapa hari saja selepas menyuarakan hasratnya kepada Naim, demo pertama dihantar kepada arwah dan hatinya terus terpaut.

Begitupun, keadaan pada waktu itu tidak mengizinkan setelah negara dilanda pandemik COVID-19. Mereka juga perlu mencari individu lain untuk menyusun muziknya memandangkan industri seni baru saja kehilangan pemuzik, Allahyarham Faizal Uzir atau Lok U yang sepatutnya ditugaskan menyusun lagu berkenaan. Arwah terus menunda sesi rakaman setelah mendapat tahu dia berbadan dua.

Arwah ada merancang untuk merakamkannya selepas bersalin. Ternyata, Allah SWT ialah sebaik-baik perancang. Belum sempat meneruskan kolaborasi mereka, arwah terlebih dahulu dijemput Ilahi pada hari ini.

*

Menerusi hantaran Instagram yang sama, Naim memuji arwah sebagai seorang kakak, sahabat, ibu dan isteri yang baik.

“Lagu yang adik buat untuk kakak tu, adik simpan ya. Suka bila dengar kakak nyanyi lagu tu, sampai setiap rasa. Dari arwah Lok U mainkan piano, kakak nyanyi. Sekarang, Allah bawa kakak balik.

“Mohon semua hadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin,” catat Naim.

Sekitar Julai tahun lalu, arwah pernah berkongsi kepada BHOnline mengenai keinginannya berkolaborasi dengan Naim. Katanya, tidak kiralah seseorang itu masih muda, ada nama ataupun tidak; beliau tidak ‘memilih bulu’ dalam berkarya. Asalkan lagu tersebut boleh dinyanyikannya dan berkualiti.

Berdasarkan kenyataan Naim di Instagram ini, nampaknya mungkin sekali lagu yang mereka rancang ini akan ‘diperam’ saja olehnya. Mungkin juga ia tidak akan dilancarkan langsung dan kekal menjadi rahsia mereka berdua.

BACA LAGI : Siti Sarah Raissuddin Meninggal Dunia – REMAJA

IKLAN