Berita

Anak Perempuan Mandikan Pelakon Nadia Kesuma, Jenazah Selamat Dikebumikan Di Jeddah Usai Solat Subuh

Share

Jenazah pelakon tempatan, Nadia Kesuma telah selamat dimandikan oleh anak perempuannya, Sarah dan seorang rakan karib Allahyarham pada hari ini di Jeddah, Arab Saudi sebelum Allahyarham dikafankan.

Anak perempuan Allahyarham selamat tiba di sana bersama-sama suami Allahyarham, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan untuk menguruskan jenazah sepenuhnya di Jeddah seperti yang disyariatkan dalam Islam.

Allahyarham Nadia Kesuma.

Perkhabaran itu dikongsikan oleh suami Allahyarham menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Setelah selesai dimandikan, solat jenazah telah diimamkan oleh suaminya sendiri sebelum Allahhyarham selamat dikebumikan di sana pada 5.44 pagi waktu tempatan (10.44 pagi waktu Malaysia) hari ini.

“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan rakan Allahyarham) dan sudah disembahyangkan, dan diimamkan sendiri oleh saya. Alhamdulillah.

“Jenazah akan dikebumikan selepas Subuh (sekarang 1.33am, waktu Jeddah). Subuh jam 5.44am,” catat Muhammad Kamarul Kabilan.

Luahan Pilu Suami Saat Perpisahan

Dalam pada itu, suami Allahyarham turut mengungkapkan rasa sedih apabila takdir menentukan sekarang sebagai waktu perpisahan mereka sekeluarga dengannya dan berjanji akan menziarahi pusara isterinya itu sekembalinya mereka di Jeddah pada masa akan datang.

“Saya terpaksa meninggalkanmu sekarang sayang… dengan kepedihan dan kesedihan di hatiku. Tetapi saya tahu kau berada di tempat yang LEBIH BAHAGIA.

“Selamat tinggal. Saya dan anak-anak akan melawatmu tidak lama lagi, insya-Allah! Amin.”

Punca Kematian Terjawab

Terdahulu, pemergian Allahyarham Nadia Kesuma yang menimbulkan tanda tanya sejak kehilangan beliau sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lalu terjawab selepas beliau berdepan serangan jantung.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira jam 8.07 pagi mengesahkan momen tragis itu.

Allahyarhham Nadia Kesemua merupakan salah seorang daripada 21 peserta yang menyertai jemaah pakej umrah dan ziarah yang dikelolakan agensi pelancongan, NUH Travel bermula 14 Januari hingga hari kepulangan pada 28 Januari 2026.

FOTO: Facebook // Muhammad Kamarul Kabilan

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ