
Seorang murid lelaki Tahun Lima dilaporkan cedera selepas dipercayai terjatuh dari siling tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Padang Terap, Kedah ketika cuba menangkap burung merpati, petang semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan termasuk tangan kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd. Anuar Junoh, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu daripada seorang guru sekitar pukul 4 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan merupakan kemalangan sendiri dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Mangsa dipercayai terjatuh ketika mahu mengambil burung dan mengalami kecederaan pada tangan kiri. Murid itu kini dirawat di HSB,” katanya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika murid berkenaan hadir ke sekolah pada sebelah petang bagi mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Menurut laporan media tempatan, mangsa dipercayai menggunakan laluan pili bomba untuk memanjat ke bahagian siling di tingkat tiga bangunan sekolah sebelum terjatuh ketika cuba menangkap burung merpati.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid lelaki cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah dalam kejadian yang berlaku di daerah berkenaan.
Setakat ini, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!