
Baru-baru ini, syarikat hiburan gergasi, SM Entertainment sekali lagi mencuri perhatian industri hiburan global apabila secara rasmi mengumumkan visi terbarunya untuk berevolusi menjadi sebuah sistem ‘Multi-Kreatif’. Pendekatan baru ini memberi penekanan terhadap nilai manusia dan artis, sejajar dengan asas SM 3.0 yang telah dibangunkan secara konsisten sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.
Menerusi pengumuman yang dibuat menerusi dua buah video rasmi yang dimuat naik di saluran YouTube SM Entertainment itu sekaligus memberi gambaran jelas tentang hala tuju syarikat berkenaan dalam menghadapi landskap industri hiburan yang semakin kompetitif dan berteraskan kreativiti global.



Antara perkembangan yang paling mencuri tumpuan peminat K-Pop adalah pengesahan rasmi mengenai perancangan debut kumpulan boy group baru pada tahun 2026. SM Entertainment mengesahkan perkara tersebut sambil berkongsi sedikit gambaran awal tentang projek yang sedang dirangka.
“Sebuah kumpulan boy band dijadualkan untuk debut pada tahun 2026. Beberapa trainee lelaki daripada pasukan SMTR25 akan menjadi sebahagian daripada projek ini dan akan diperkenalkan secara berperingkat menerusi program hiburan ‘Reply High School’ yang mula disiarkan pada awal tahun ini,” jelas pihak agensi.
Selain fokus kepada pembangunan artis, SM Entertainment turut mendedahkan strategi pengembangan harta intelek (IP) mereka yang menggabungkan pendekatan tempatan dan global. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kandungan dan artis di bawah naungan SM lebih relevan merentasi pelbagai pasaran antarabangsa.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SM Entertainment, Tak Young-jun, beliau turut berkongsi hala tuju strategik syarikat dalam mengukuhkan jaringan global mereka menerusi kerjasama strategik bersama rakan kongsi tempatan di pelbagai negara.
“Sambil terus memberi tumpuan kepada kekuatan kreatif SM, kami akan bekerjasama secara aktif dengan rakan kongsi tempatan yang kukuh dalam aspek produksi dan pemasaran,” katanya.
Di samping itu, tambah beliau, SM kini sedang mengadakan perbincangan dengan Tencent Music Entertainment di China, True di Thailand serta beberapa rakan strategik di Jepun, sekaligus menandakan langkah agresif SM Entertainment dalam memperluaskan pengaruh globalnya dalam era baru industri hiburan.
Sumber: Youtube SM Entertainment
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















