Hiburan

Fattah Amin & Amira Othman Timang Cahaya Mata Lelaki, Dedah Nama Muhammad Jarir Umar

Share

Pelakon terkenal, Fattah Amin baru-baru ini tampil berkongsi berita gembira apabila isterinya yang juga penyanyi, Amira Othman selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka yang merupakan seorang bayi lelaki.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram milik beliau, Fattah atau pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin (36) berkata, Amira telah selamat melahirkan bayi mereka pada petang semalam dan kedua-duanya berada dalam keadaan sihat.

Dalam hantaran tersebut, aktor popular itu turut memperkenalkan nama putera sulung mereka kepada para peminat. Menurut Fattah, bayi lelaki berkenaan diberikan nama Muhammad Jarir Umar.

“Ahlan Wasahlan Muhammad Jarir Umar bin Abdul Fattah. Alhamdulillah isteri saya Nadia Amira binti Othman selamat melahirkan baby kami jam 6.20 petang semalam”

“Terima kasih pada yang mendoakan. Semoga Jarir menjadi anak yang soleh penyejuk hati Mommy & Daddy,” katanya.

Pada masa yang sama, Fattah turut memuat naik foto bayi mereka di media sosial sebagai tanda berkongsi kegembiraan bersama para pengikut. Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mendedahkan wajah penuh anak sulungnya itu kepada umum.

BACA: Amira Othman Akui Fattah Amin Lelaki Baik, Titip Doa Agar Segalanya Lancar

Sementara itu, perkongsian tersebut segera menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat serta rakan-rakan selebriti yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan keluarga kecil mereka.

Dalam pada itu, Fattah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menitipkan doa dan kata-kata semangat sepanjang tempoh kehamilan isterinya. Malah, beliau turut berharap agar anak yang baru dilahirkan itu membesar sebagai insan yang baik dan membanggakan keluarga.

Untuk rekod, Fattah dan Amira telah mendirikan rumah tangga pada 14 September tahun lalu dan kini kehadiran Muhammad Jarir Umar melengkapkan lagi kebahagiaan pasangan selebriti tersebut selepas hampir setahun melayari bahtera perkahwinan bersama.

Sumber: Instagram Fattah Amin

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
ZOE