
Terbaru, seorang lagi jaguh angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara 88 kilogram (kg) lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026, sekaligus menghadiahkan emas keempat buat kontinjen Malaysia.
Difahamkan, atlet berusia 22 tahun itu tampil cemerlang pada penampilan sulungnya di temasya berprestij tersebut apabila mencatat jumlah angkatan keseluruhan 345 kg menerusi 162kg dalam acara snatch dan 183 kg bagi ‘clean & jerk’, sekaligus mengesahkan statusnya sebagai juara.
Lebih membanggakan, angkatan 183 kg dalam acara ‘clean & jerk’ serta jumlah keseluruhan 345 kg yang direkodkan Hafizuddin turut diiktiraf sebagai rekod baharu temasya. Kemenangan itu juga menyaksikan beliau menewaskan pencabar terdekat dari New Zealand, David McTaggart Cameron yang mengumpul keseluruhan 338 kg, manakala atlet tuan rumah, Angus Doig membawa pulang pingat gangsa dengan catatan 309 kg.
Menurut Hafizuddin, kejayaan tiga atlet senior negara sebelum ini menjadi pembakar semangat untuk beliau membuktikan bahawa dirinya juga mampu menyumbang pingat emas kepada Malaysia di pentas Sukan Komanwel.
“Perasaan saya mestilah sangat gembira, seperti mimpi jadi kenyataan. Apabila saya melihat tiga senior saya berjaya mendapatkan pingat emas, saya berasa sangat bermotivasi untuk bersama mereka, berjuang bersama mereka, berada di barisan hadapan membawa nama negara dan memenangi pingat emas,” katanya.
BACA: Muhammad Erry Hidayat Ikut Jejak Sang Ayah, Sumbang Emas Ketiga Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!
Selain itu, atlet kelahiran Perlis itu mengakui impian untuk bergelar juara Sukan Komanwel mula dipasang selepas hanya meraih pingat perak pada Kejohanan Komanwel di Ahmedabad, India tahun lalu. Pengalaman tersebut menjadi pemangkin untuk memperbaiki aspek teknik dan angkatan sebelum tampil lebih bersedia di Glasgow.
“Pada Kejohanan Komanwel itu saya dapat perak tapi dekat sangat nak dapat emas, saya cuma tersilap dari segi angkatan dan teknik. Jadi, daripada situ saya rasa saya boleh menang emas (di Sukan Komanwel),” jelasnya.
Kejayaan Hafizuddin bukan sahaja mengukuhkan dominasi skuad angkat berat negara di Glasgow, malah meletakkan kontinjen Malaysia semakin hampir merealisasikan sasaran lima pingat emas pada temasya kali ini. Setakat ini, kesemua empat pingat emas Malaysia hadir menerusi sukan angkat berat hasil kejayaan Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat dan kini Muhammad Hafizuddin Roslin, selain satu pingat gangsa yang disumbangkan Irene Jane Henry dalam kategori wanita 48 kg. Tahniah diucapkan!
Sumber: Berita RTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.