Muhammad Azeem & Danish Iftikhar Cipta Sejarah, Tawan Podium 100m Di Terbuka India

Share

Jaguh lari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi (21) dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee (18) baru-baru mencipta sensasi di Kejohanan Terbuka India apabila kedua-duanya berjaya meraih podium dalam acara 100 meter (m) yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, pada Ahad semalam.

Dalam saingan penuh sengit itu, Muhammad Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan 10.09 saat (s), membuktikan kelasnya tersendiri apabila menamatkan larian selaku juara dengan catatan 10.35s.

Muhammad Azeem & Danish Iftikhar Di Terbuka India

Azeem meninggalkan pencabarnya, Chamod Yodhasinghe dari Sri Lanka di tempat kedua dengan catatan 10.43s, manakala rakan sepasukannya, Danish, berjaya merangkul pingat gangsa dengan masa 10.50s.

Pada masa yang sama, kemenangan ini sekaligus mengukuhkan reputasi Azeem sebagai pelari pecut utama negara, walaupun beraksi di luar negara dan dalam keadaan persaingan sengit.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi
Danish Iftikhar Muhammad Roslee

Prestasi mantap mereka di India kali ini memberi isyarat positif menjelang siri kejohanan akan datang, sekaligus memberi keyakinan kepada skuad olahraga negara.

Kejayaan di Terbuka India ini juga membuktikan bahawa barisan pelari negara mampu bersaing di pentas antarabangsa, dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengharumkan nama Malaysia.

Terdahulu, kedua-dua atlet negara ini mara ke final selepas mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat saringan, dengan Azeem menamatkan saringan kedua di tempat pertama dan Danish di tempat ketiga.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE