Hiburan

MONSTA X Raikan Ulang Tahun Ke-10 Dengan Sumbangan Amal Atas Nama Peminat

Share

Baru-baru ini, kumpulan K-Pop sensasi, MONSTA X menyambut ulang tahun satu dekad dalam industri hiburan dengan menunjukkan komitmen mereka terhadap kerja amal apabila tampil menghulurkan sumbangan di bawah nama peminat setia mereka, MONBEBE. Bagaimanapun, jumlah bantuan itu tidak diumumkan dan sumbangan berkenaan difahamkan akan digunakan untuk menyediakan set makanan, lauk-pauk serta barangan runcit bagi kanak-kanak yang berdepan isu kekurangan makanan menjelang cuti musim sejuk.

MONSTA X yang dianggotai oleh Shownu, Minhyuk, Kihyun, Hyungwon, Joohoney, dan I.M dalam satu kenyataan memaklumkan langkah murni ini hadir seiring penghargaan mereka terhadap sokongan peminat sepanjang perjalanan sebagai anak seni.

“Sepuluh tahun ini menjadi lebih bermakna kerana kami melaluinya bersama para peminat. Sama seperti  MONSTA X dan MONBEBE saling memberi kekuatan, kami berharap tindakan berkongsi ini juga dapat menjadi sumber kekuatan buat sesiapa yang memerlukan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, sejak beberapa tahun lalu, MONSTA X sememangnya aktif dalam kerja kebajikan. Pada 2020, kumpulan tersebut mula melakukan sumbangan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah yang terkesan akibat pandemik COVID-19, sekaligus membuka ruang lebih besar untuk mereka menyumbang kepada masyarakat.

Selain itu, pada bulan Mac lalu, pelantun lagu ‘Love Killa’ dan ‘Dramarama’ itu meneruskan usaha kemanusiaan mereka dengan menyalurkan 100 juta Korea Won (kira-kira RM290,000) bagi membantu penduduk dan kanak-kanak di Gyeongnam serta Gyeongbuk yang terjejas akibat kebakaran hutan. Sumbangan tersebut menjadi antara bantuan besar mereka dalam usaha membantu mangsa bencana.

Lebih menarik lagi, MONSTA X turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada The Neighbors Honors Club, iaitu sebuah rangkaian penderma utama yang diuruskan oleh organisasi kemanusiaan Good Neighbors. Penyertaan itu mengukuhkan lagi reputasi kumpulan tersebut sebagai artis yang bukan sekadar aktif berkarya, tetapi juga memberi impak positif kepada komuniti.

Dalam perkembangan lain, MONSTA X bakal membuat kemunculan terbaru menerusi pelancaran single digital berjudul ‘Baby Blue’ pada 14 November ini, menandakan kemunculan pertama mereka selepas kira-kira empat tahun sejak album ‘The Dreaming’ pada 2021.

Sementara itu, sebagai penutup tahun 2025 yang lebih bermakna, MONSTA X turut dijadualkan membuat persembahan di ‘2025 iHeartRadio Jingle Ball Tour’ pada Disember ini, mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai salah satu kumpulan K-Pop yang terus relevan di pentas antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE