
Pertandingan ratu cantik, Miss Universe Malaysia 2025 melabuhkan tirainya pada 12 September lalu dengan menobatkan Perunding Pengurusan dari Kuala Lumpur, Chloe Lim sebagai juara edisi kali ini.
Chloe, 25 mengenepikan saingan sengit daripada Priyaa Simmi yang mengakhiri saingan sebagai naib juara setelah mengharungi empat segmen berbeza iaitu kostum kebangsaan, pakaian mandi, gaun malam dan pusingan soal jawab (Q&A).
Kemenangan Chloe yang dimahkotakan oleh juara terdahulu, Sandra Lim bagaimanapun berdepan dengan reaksi yang bercampur-baur apabila ada pihak yang merasakan dirinya terlalu ‘hijau’ dalam aliran ratu cantik untuk mewakili Malaysia di pertandingan Miss Universe 2025 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand dalam masa kurang dari dua bulan dari sekarang.
Sebaliknya, pihak berkenaan merasakan mahkota selayaknya diserahkan kepada Priyaa yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia ratu cantik termasuklah membolosi kedudukan Top 20 dan Top 15 ketika menyertai pertandingan Mrs World sebanyak dua kali (2020 dan 2021).
Apapun pendapat yang dikeutarakan oleh mereka, Chloe sebagai juara yang diangkat oleh pihak organisas Miss Universe Malaysia kekal positif dengan mandat yang digalasnya dan bersedia untuk melunaskan kudrat sebaik mungkin sepanjang proses persediaan selama dua bulan ini.
“Saya merendah diri dan bersyukur dengan penghormatan ini, dan hanya ada satu sahaja yang ada dalam hati saya sekarang – terima kasih.
“Kepada pihak yang mungkin tidak menerima dan merestui saya dalam perjalanan ini, tidak mengapa. Kecantikan terletak pada mata yang melihat (beauty is in the eyes of the beholder) dan saya berterima kasih atas maklum balas serta cadangan anda. Saya akan terus menambah baik dan tidak akan berputus asa. Lihatlah saya!
“Mahkota ini bukan milik saya seorang tetapi ia milik semua rakyat Malaysia yang berani untuk bermimpi dan merangkul jati diri mereka yang autentik. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk membanggakan negara kita di pentas global,” catatnya.
Dalam pada itu, Chloe juga berterima kasih kepada 15 orang rakan finalis Miss Universe Malaysia 2025 terutamanya kepada rakan sebiliknya, Priyanka Sockanathan yang selalu memberikannya inspirasi dan kata-kata semangat.
Terbaru, Chloe memulakan tugasnya sebagai Miss Universe Malaysia 2025 dengan menyertai sidang panel bersama-sama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul (MITI) berkenaan topik memperkasakan anak muda dalam landasan pekerjaan digital bersempena acara Youth Empowerment Fair 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Chloe dijangka bakal menyertai lebih 100 wakil negara di Bangkok, Thailand pada bulan November ini bagi merebut gelaran Miss Universe 2025 dan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh juara terdahulu, Sandra Lim yang berjaya membolosi peringkat separuh akhir (Top 30) pada edisi 2024 di Mexico.
FOTO: Instagram // chloelimsl
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.