Keibubapaan

“Didikan Berlaku Dari Rumah…” Mira Filzah Suarakan Kebimbangan Tentang Isu Yang Kerap Berlaku Di Sekolah

Share

Baru-baru ini, pelakon terkenal, Mira Filzah tampil menyuarakan rasa bimbang terhadap peningkatan isu sosial dalam kalangan remaja kebelakangan ini. Menurutnya, banyak kejadian yang melibatkan pengaruh luar hingga membawa kepada insiden buli dan jenayah serius membuatkan para ibu bapa, termasuk dirinya, semakin khawatir dengan keadaan yang berlaku di sekolah.

Mira atau pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman (32) menegaskan bahawa asas pendidikan bermula dari rumah dan perlu diterapkan sejak anak masih kecil. Pada masa yang sama, contoh yang baik daripada ibu bapa mampu membentuk perkembangan positif dalam diri anak-anak.

“Saya percaya didikan berlaku dari rumah, sejak kecil. Anak-anak yang lahir itu mereka seperti kain yang putih dan didikan itu bermula seawal mereka kecil-kecil lagi dan benda itu yang perlu kita tekankan,” katanya ketika ditemui Remaja ketika sidang media pelancaran Fashionably Modest Asia 2025.

Kredit foto: IG Mira Filzah

Dalam pada itu, sebagai seorang ibu muda, beliau mengakui bahawa pelbagai isu yang berlaku hari ini membuatkan dirinya turut rasa terkesan. Selain itu, pengalaman baru bergelar ibu menjadikan dirinya lebih peka terhadap persekitaran dan tingkah laku anak-anak.

“Saya takut sangat dengan macam-macam hal yang terjadi dan berlaku kebelakangan ini. Semestinya saya takut tapi kita kena berjaga-jaga dan kawal dari segi game semua itu kita pantau,” ujarnya.

Kredit foto: IG Mira Filzah

Cabaran Ibu Bapa Zaman Moden

Walaupun baru mempunyai seorang anak yang berusia tiga tahun, Mira mengakui cabaran sebenar dalam membesarkan anak lebih dirasai apabila ibu bapa turut bekerja sepenuh masa.

“Orang cakap kita nak cakap itu senang, tapi sebagai ibu bapa saya pun berada di situasi di mana kita bekerja siang dan malam… kadang kita tak boleh nak kawal situasi dan jaga mereka 24 jam,” jelasnya lagi.

Justeru itu, beliau percaya usaha terbaik bermula dari rumah, selebihnya bergantung kepada doa dan tawakal.

Kredit foto: IG Mira Filzah

Ketegasan Mira Filzah Dalam Kawalan Gajet Anak

Di samping itu, bercakap mengenai ‘screen time’, Mira Filzah cukup tegas menetapkan had penggunaan gajet untuk anaknya. Beliau hanya membenarkan maksimum 30 minit sehari sebagai ganjaran apabila anaknya menyelesaikan tugas seperti mengemas permainan atau menghabiskan makanan. Had masa itu, katanya, penting untuk mengelakkan ketagihan dan memastikan perkembangan anak lebih seimbang.

Selain menonton kartun, Mira turut memperkenalkan kandungan pembelajaran melalui video dan permainan berbentuk pendidikan. Baginya, penggunaan tablet tidak semestinya memberi kesan negatif sekiranya dipantau dengan betul dan digunakan untuk merangsang kemampuan berfikir.

Kredit foto: IG Mira Filzah

Peranan Ibu Bapa Dalam Era Digital

Sementara itu, Mira juga mengingatkan ibu bapa lain agar sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam membimbing anak-anak, terutama dalam era digital yang begitu cepat mempengaruhi minda remaja. Pemantauan bukan hanya pada gajet, tetapi juga pada persekitaran sosial mereka.

Sebagai bintang, ikon generasi muda dan juga seorang ibu, Mira berharap isu sosial melibatkan remaja dapat dikurangkan melalui kerjasama semua pihak. Baginya, pendidikan awal, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa adalah benteng utama dalam membentuk generasi yang lebih baik dan selamat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE