Hiburan

Mino Winner Berdepan Risiko Penjara Selepas Didakwa Ponteng 102 Hari Ketika Khidmat Tentera

Share

Penyanyi rap dan bintang K-Pop sensasi, Mino dari kumpulan Winner baru-baru ini meraih perhatian selepas didakwa tidak hadir tanpa kebenaran selama 102 hari sepanjang tempoh khidmat tenteranya serta berdepan kemungkinan hukuman penjara jika disabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan yang diperoleh JoongAng Ilbo, Pejabat Pendakwa Raya Daerah Barat Seoul mendakwa Mino atau nama sebenarnya Song Min-ho gagal hadir ketika bertugas sebagai pekerja khidmat sosial di Perbadanan Pengurusan Fasiliti Mapo-gu serta sebuah pusat kebajikan komuniti di Daerah Mapo.

Difahamkan, sebagai pekerja khidmat sosial, mereka tidak perlu bertugas pada hujung minggu atau cuti umum, dengan jumlah hari bekerja sekitar 430 hari sepanjang satu tahun sembilan bulan.

Jika dakwaan benar, Mino dilaporkan tidak hadir hampir satu perempat daripada jumlah hari yang diwajibkan.

Di bawah Artikel 89-2 Akta Perkhidmatan Tentera, individu yang tidak hadir selama lapan hari atau lebih tanpa alasan munasabah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun. Pendakwa turut menyatakan ketidakhadiran meningkat menjelang tamat perkhidmatannya.

Untuk rekod, tempoh perkhidmatan Mino berlangsung dari 24 Mac 2023 hingga 23 Disember 2024. Antara Mac hingga Mei 2023, beliau hanya tidak hadir satu hari, namun jumlah itu meningkat kepada 14 hari pada November 2024. Pada Julai 2024 pula, beliau dilaporkan tidak hadir 19 hari daripada 23 hari bekerja.

Di samping itu, pendakwa raya turut mendakwa seorang penyelia terlibat dalam kes ini. Penyelia yang bertanggungjawab menguruskan rekod kehadiran dipercayai membenarkan Mino tidak hadir atas alasan terlewat bangun atau keletihan, selain menyediakan dokumen seolah-olah beliau hadir seperti biasa.

Dalam satu kertas pertuduhan menyertakan mesej yang dihantar sekitar jam 6.09 petang pada 29 Mei 2023 oleh penyelia berkenaan yang memaklumkan dia tidak akan hadir bekerja keesokan harinya.

“Saya ada latihan esok dan tidak akan masuk kerja, jadi jumpa pada 31 Mei,” tulis mesej itu.

Menurut pendakwa, Mino tidak hadir pada 30 Mei dan rekod harian diisi seolah-olah dirinya hadir. Pada hari sama, gambar dimuat naik di media sosial adiknya menunjukkan beliau berada di San Francisco bagi menghadiri majlis perkahwinan.

Terdahulu, pihak pendakwa memaklumkan bukti diperoleh melalui siasatan tambahan termasuk forensik telefon bimbit dan semakan rekod GPS.

“Kami memperoleh bukti objektif melalui forensik telefon bimbit dan semakan rekod GPS,” kata Pejabat Pendakwa Raya Daerah Barat Seoul pada 30 Disember 2025.

Sementara itu, Mino dan penyelia tersebut telah didakwa atas kesalahan melanggar Akta Perkhidmatan Tentera, manakala perbicaraan pertama ditetapkan pada 21 April selepas penangguhan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE