Minggu Pelajar IPT Resah: Menteri Minta Maaf, Kampus Masih Terima Pandaftaran

Share

 

“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti.”

 

Itu merupakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad setelah teruk diasak oleh para pelajar di media sosial berikutan keputusan Kementarian Pengajian Tinggi (KPT), kelmarin untuk menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Keputusan yang dikeluarkan pada saat-saat akhir itu adalah berikutan kenaikan kes positif Covid-19 di luar jangkaan di seluruh negara pada minggu ini.

Ia jelas telah meresahkan bukan saja pelajar baharu malahan penjaga pelajar yang telah melakukan persediaan rapi menghantar anak mereka ke kampus untuk sesi pendaftaran bermula hari ini.

Justeru pagi tadi, Dr Noraini telah tampil di akaun Facebook beliau dengan permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan keputusan yang dibuat oleh KPT.

Sumber foto: BERNAMA.

“KPT telah berbincang dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleH terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti. Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman dan kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.

“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” catat beliau. Posting tersebut telah menarik perhatian netizen terutamanya pelajar serta penjaga. Setelah 4 jam dimuat naik, ia telahpun menerima lebih daripada 1,400 komen balas.

Kampus IPT Masih Terima Pendaftaran

Sementara itu, suasana lengang pada hari pendaftaran telah dilaporkan di kampus universiti seluruh negara, hari ini.

Ia susulan arahan daripada KPT kepada pihak IPT untuk menangguhkan pendaftaran secara bersemuka bagi pelajar baharu dan lama bagi sesi Oktober 2020/2021.

Antara IPT yang telah memaklumkan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian menerusi kaedah terbuka, jarak jauh dan dalam talian ialah Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Teknologi Malaysia.

IPT lain turut dipercayai mengambil langkah yang sama, serta-merta.

Bagaimanapun, bagi pelajar yang telahpun tiba lebih awal sebelum notis dikeluarkan semalam, pihak universiti tetap memberi pilihan sama ada untuk terus berada di kampus atau pulang ke rumah.

*

Bercakap kepada rakan media di Awani, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya iaitu Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman memahami situasi pelajar yang telah tiba dari jauh ataupun sedang dalam perjalanan dari negeri lain.

Sumber Foto: Universiti Malaya.

“Hari ini, kami tetap teruskan acara sambutan pelajar baharu.

“Yang masih berada di rumah, tak mengapa. Boleh teruskan pendaftaran dan mengikuti semua aktiviti dan pembelajaran secara dalam talian.

“Yang sudah dalam perjalanan, boleh teruskan perjalanan dan kami sentiasa bersedia menerima kehadiran mereka,” kata beliau.

Sumber Foto: Universiti Malaya.

Sementara itu, Universiti Sains Malaysia pula mengambil inisiatif untuk meneruskan proses pendaftaran pelajar dengan mekanisma pandu lalu ataupun drive-through.

Proses yang mengambil masa hanya 3 minit itu adalah bagi pelajar yang telahpun tiba di kampus.

Sumber Foto: NST.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM iaitu Aldrin Abdullah berkata pelajar diberi pilihan untuk mendaftar dan pulang ke rumah, mendaftar-meletakkan barangan peribadi di hostel dan pulang ke rumah ataupun mendaftar dan terus menetap di hostel yang ditetapkan.

*

Adakah korang di antara pelajar yang masih meneruskan niat untuk mendaftar masuk ke kampus? Ataupun korang mengambil keputusan untuk mendaftar secara online sahaja?

IKLAN