Hiburan

Tan Sri Michelle Yeoh Terima Penghormatan Berprestij, Dinobat ‘Tokoh Perfileman Asia’ Di BIFF 2026

Share

Aktres tersohor tanah air, Tan Sri Michelle Yeoh baru-baru ini meraih perhatian selepas berjaya dipilih sebagai Tokoh Perfileman Asia Tahun Ini sempena Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) 2026. Pengiktirafan berprestij itu sekali lagi membuktikan pengaruh besar anak kelahiran Malaysia dalam industri perfileman Asia dan antarabangsa.

Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh penganjur BIFF, Tan Sri Michelle atau pemilik nama sebenar Michelle Yeoh Choo Kheng Todt disifatkan sebagai figura seni yang memiliki bakat luar biasa serta memberi impak besar kepada dunia perfileman sepanjang kerjayanya. Malah, penghormatan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam mengangkat martabat filem Asia di pentas global.

“Serba boleh, berwibawa dan bersemangat kental, persembahan Michelle Yeoh melangkaui jangkaan dalam setiap aspek, daripada teknik, gaya hinggalah kehadiran di layar,” kata BIFF.

Dalam kenyataan sama, BIFF turut menyifatkan beliau sebagai antara pelakon yang berjaya mengubah persepsi terhadap watak wanita dalam filem aksi.

“Yeoh merevolusikan representasi wanita dalam filem aksi sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bintang paling berpengaruh dalam sinema Hong Kong,” jelas kenyataan itu lagi.

BACA: Bintang Malaysia Ukir Nama Di Hollywood Walk Of Fame, Satu Lagi Detik Bersejarah Michelle Yeoh

Untuk pengetahuan, Tan Sri Michelle memulakan langkah dalam dunia lakonan menerusi filem Yes, Madam! pada tahun 1985 sebelum terus mencipta nama menerusi beberapa naskhah antarabangsa seperti Tomorrow Never Dies dan Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Popularitinya kemudian semakin memuncak menerusi filem Crazy Rich Asians, diikuti

Everything Everywhere All at Once yang melakar sejarah apabila menjadikannya wanita Asia pertama memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Lebih istimewa, kehadiran Michelle ke BIFF kali ini turut menandakan kemunculan semulanya di karpet merah festival tersebut selepas 15 tahun. Kali terakhir beliau menghadiri acara berkenaan adalah ketika mempromosikan filem The Lady di Busan.

Selain menerima pengiktirafan itu, BIFF turut merancang sebuah program khas yang menampilkan beberapa karya pilihan Michelle termasuk Reign of Assassins, Everything Everywhere All at Once dan Sandiwara. Festival itu juga bakal memperkenalkan filem terbaharunya berjudul ‘It’s My Time’kepada para penonton.

Untuk rekod, anugerah Tokoh Perfileman Asia Tahun Ini akan disampaikan pada majlis pembukaan BIFF edisi ke-31 yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 15 Oktober di Busan, Korea Selatan. Pengiktirafan ini sekali lagi mengukuhkan nama Tan Sri Michelle Yeoh sebagai antara ikon perfileman Asia yang terus mencipta sejarah di persada dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE