Berita

Mia Sara Akui Khilaf, Tidak Salahkan Puteri Balqis Ungkit Isu Lama

Share

Pelakon Mia Sara akhirnya tampil membuka mulut dan mengakui kekhilafan masa lalu selepas terlanjur menulis kenyataan yang disifatkan kedengaran negatif terhadap pelakon Puteri Balqis sebelum ini.

Mia Sara berkata dia sama sekali tidak menyalahkan Puteri Balqis atau Aqish apabila isu tersebut kembali dibangkitkan kerana menyedari kenyataannya sebelum ini telah meninggalkan kesan besar.

“Saya tak salahkan dia pun, sebab saya baca balik cara saya tulis pun memang ia sangat ‘mengundang’. Saya tak tahu apa yang saya cakap itu kedengaran seperti saya tengah menghina bagaimana dia dibesarkan.

“Perkara itu jadi sangat besar sehingga saya tidak tahu hendak berbuat apa,” katanya menerusi sebuah sedutan penampilannya dalam podcast Kita Kita Aje kendalian Datuk Aznil Nawawi.

Pelakon filem Papa I Love You itu turut berkongsi bahawa insiden berkenaan membuatkan dirinya berada dalam keadaan panik sehingga terlintas untuk memohon maaf secara terbuka kepada Aqish.

Bagaimanapun, niat tersebut terbantut selepas dia dinasihati oleh bapanya agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih keruh.

“Bapa cakap jangan tulis pasal isu itu, tak payah cakap apa-apa, saya tahu niat sebenar saya. Orang putar belit kata-kata saya atau apakah, saya tak perlu mempertahan diri sendiri.


“Orang akan guna kesempatan itu untuk putar belit lagi kenyataan saya dan cuma akan memperbesarkan hal terbabit. Jadi, saya kunci mulut, diam,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 21 tahun itu turut mendedahkan bahawa keesokan harinya, Aqish telah memohon maaf kepadanya meskipun hakikatnya dia berada di pihak yang bersalah.

“Saya merasa lebih bersalah kerana saya yang tersalah, saya cakap salah, di mana saya tidak berniat apa-apa langsung,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath