
Satu status di media sosial. Satu ayat yang memecah hati. Dan kini, ia mungkin membawa seseorang ke muka pengadilan.
Kenyataan melulu di media sosial boleh mengundang pelbagai kesan, termasuk tindakan undang-undang. Itulah yang sedang dihadapi seorang pakar perubatan selepas keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan bakal mengambil tindakan saman gara-gara kenyataan yang dibuat di Facebook baru-baru ini.
Status Doktor
Dalam hantaran yang dimuat naik individu berkenaan, dia yang juga seorang doktor didakwa menulis kenyataan berbaur ‘konklusi’ yang membawa kepada kefahaman bahawa arwah Zara “memang terjun sendiri” dari bangunan sekolah. Status tersebut pantas tular dan mencetuskan pelbagai spekulasi, sekaligus mengundang kemarahan ramai pihak termasuk keluarga mangsa.

Bagi keluarga arwah, tuduhan seperti ini bukan sahaja tidak berasas, malah dianggap tidak sensitif. Mereka menegaskan kenyataan tanpa bukti kukuh mampu mencemarkan nama baik arwah dan menambah luka di hati mereka yang masih bersedih. Atas sebab itu, mereka kini sedang mendapatkan khidmat peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

Pihak berkuasa sebelum ini turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan kenyataan palsu berkaitan kes kematian pelajar sekolah agama ini. Penyebaran maklumat yang tidak sahih boleh mengganggu siasatan, selain menjejaskan maruah keluarga mangsa.
Perlu diingat, setiap perkongsian di media sosial meninggalkan kesan. Sekiranya kenyataan tersebut palsu atau berunsur fitnah, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau undang-undang lain yang berkaitan.
Bagi remaja yang aktif di media sosial, kes ini adalah pengajaran penting untuk berfikir dua kali sebelum menekan butang ‘post’ atau ‘share’. Dalam era digital, satu kenyataan mampu mengundang ribuan spekulasi — dan sekali ia tersebar, sukar untuk ditarik balik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Budaya Buli di UPNM: Sampai Bila?

Tahukah anda? Budaya buli di Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semakin lama semakin berleluasa. Isu buli di IPT awam juga telah menjadi topik perbincangan yang semakin serius terutamanya selepas kes tragis melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) beberapa tahun lalu yang membawa berlakunya kematian seorang pelajar akibat penderaan fizikal.
Kejadian tersebut bukan sahaja membuka mata masyarakat tentang realiti budaya buli di kalangan pelajar IPT tetapi juga menimbulkan persoalan tentang langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh institusi berkenaan untuk memastikan keselamatan mahasiswa mereka.
Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, kes buli, baik secara fizikal mahupun melalui media sosial (cyberbullying) masih menunjukkan keperluan yang mendesak untuk tindakan yang lebih menyeluruh. Isu ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam sistem pengawasan dan pendidikan, malah memberikan kesan besar kepada kesejahteraan fizikal, emosi dan akademik pelajar.

Untuk pengetahuan semua, buli adalah perbuatan yang dilakukan seorang atau oleh beberapa orang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah, sama ada secara fizikal, mental atau emosi lalu mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa.
Antara kes buli yang paling mendapat perhatian ramai ialah kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di mana seorang pelajar telah meninggal dunia akibat perbuatan kejam oleh rakan-rakannya sendiri.
Pada 1 Jun 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Pada awalnya, Zulfarhan dipukul untuk kali pertama kali pada 13 Mei 2017 di Bangunan Jebat, Asrama UPNM kerana disyaki mencuri laptop kawannya. Namun, mangsa tidak mengakui tuduhan yang dilontarkan kepadanya. Kemudian, pada 20 Mei 2017 pula, Zulfarhan telah dipanggil ke bilik 4-10 Bangunan Jebat, Asrama UPNM pada jam 3:00 pagi untuk disoal siasat berkenaan kehilangan laptop tersebut tetapi Zulfarhan tetap tidak mengakui tuduhan tersebut.
Akibat daripada hal tersebut, Zulfarhan telah dipukul beramai-ramai iaitu 20 hingga 30 orang pelajar sehingga 11:00 pagi pada 21 Mei. Antara objek yang digunakan mereka untuk mencederakan Zulfarhan adalah seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.
Pada 27 Mei 2017, Zulfarhan yang dalam keadaan lemah telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi menggunakan keadaan persendirian. Zulfarhan telah diberikan kebenaran pulang dan perlu menjalani rawatan lanjut pada 31 Mei 2017.
Pada 30 Mei 2017, Zulfarhan telah dibawa ke sebuah kondominum di Bangi untuk berehat bersama dua suspek yang membulinya. Pada 1 Jun 2017, Zulfarhan meninggal dunia di kondominum berkenaan pada jam 9:10 malam sebelum pengawal keselamatan memaklumkan kepada polis. Zulfarhan dihantar ke Hospital Serdang dengan ambulans sebelum disahkan kematiannya.
Polis telah membuat tahanan reman kepada 36 penuntut UPNM dan United untuk membantu siasatan. Pada akhirnya, bertarikh 2 Jun 2017, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru pada jam 9:30 malam.
BACA: Bunuh Zulfarhan, Enam Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung Sampai Mati – Remaja
Terbaharu, kes buli yang juga melibatkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berlaku sekali lagi apabila seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10:45 malam, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad di institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Seksyen itu mempertuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Sebelum ini, UPNM turut digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang pelajar yang telah ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur. Menurut ketua polis negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejadian tersebut berlaku pada 22 Oktober lalu pada pukul 11:45 malam di bilik asrama UPNM.
Pada hari kejadian, terdapat beberapa orang senior berada di dalam bilik tersebut dan salah seorang daripada mereka, merupakan pegawai kadet tahun empat meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya. Secara tiba-tiba, seorang pelajar senior berusia 22 tahun mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanan mangsa sebanyak satu kali. Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menyebabkan pengadu terkejut lalu menjerit.
BACA: Isu Buli: Pelatih Tahun Satu UPNM Pula Retak Tulang Akibat Dipijak Senior Tepi Padang Kawad – Remaja
Kes buli di UPNM yang telah berlaku pada Oktober 2024 ini telah menimbulkan campur tangan ramai pihak atasan termasuklah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah mengambil langkah tegas terhadap kes buli di UPNM termasuk pengusiran pelajar yang terbukti bersalah.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) berusaha sehabis mungkin bagi memastikan kes buli dan budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk dihentikan serta-merta. Yang di-Pertuan Agong pula bertitah supaya budaya penderaan di UPNM dihentikan sekali gus meminta semua pihak untuk berusaha dalam menamatkan budaya yang tidak sihat ini serta mengembalikan semula nama baik universiti tersebut.
Pihak (MINDEF) sudah membentangkan segala penambahbaikan di parlimen agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pegawai Kadet Akademi Latihan Kententeraan (ALK) UPNM yang terbabit dalam kes-kes buli yang terbaru atau kes yang sebelum ini. Menteri Pertahanan juga berkata, hukuman terhadap pegawai-pegawai tersebut yang telah dikenakan hukuman sebelum ini juga adalah satu bentuk pencegahan supaya kes buli dan penderaan ini tidak terulang lagi.
Tindakan hukuman tersebut merupakan satu mesej jelas sekiranya kejadian buli dan penderaan berulang. Perkara ini dilakukan supaya individu yang lain boleh menjadikannya sebagai satu pengajaran agar peristiwa ini tidak terulang lagi. Sultan Ibrahim dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, turut tidak mahu nama baginda dikaitkan dengan UPNM.
Baginda bertitah, “Jika ianya terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi serta Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah”.
BACA: Sultan Ibrahim Titah UPNM Hentikan Budaya Dera Serta-Merta – Remaja
Akibat kes-kes buli yang berlaku di UPNM ini, Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju untuk menamatkan pengajian kelima-lima pegawai kadet dari UPNM yang terbabit dalam tiga kes buli berkenaan. Pegawai kadet terbabit juga diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka. Berlakunya campur tangan daripada pihak atasan ini semestinya mampu mencegah gejala buli ini daripada terus berleluasa dalam kalangan pelajar.
Bagi hukuman kepada pembuli yang telah menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman, para pembuli telah dikenakan hukuman setimpal. Pada 23 Julai 2024, seramai enam orang bekas penuntut UPNM telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan kerana telah membunuh Zulfarhan Osman. Keputusan tersebut telah dibuat sebulat suara oleh tiga panel hakim.
Sementara itu, hukuman penjara terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti yang didapati bersalah mencederakan Zulfarhan telah dinaikkan daripada tiga tahun kepada empat tahun.
Bagi kes buli yang terbaharu pula, ATM telah membuang lima kadet UPNM dan mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM 189,240 terhadap mereka sebagai pampasan atas kesalahan buli yang dilakukan dalam tiga kes berasingan. Mereka juga termasuk seorang kadet yang mencederakan seorang pelatih dengan seterika panas pada bulan Oktober lalu.
Dalam kes buli menggunakan seterika panas yang melibatkan mangsa bernama Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, pelakunya iaitu Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan diarahkan untuk membayar sebanyak RM 44,600 kepada kerajaan sebagai pampasan dan kini sedang dibicarakan di mahkamah berhubung kes tersebut yang telah
Kes buli yang berlaku ini boleh menimbulkan pelbagai kesan yang akan menyebabkan nama institusi UPNM terjejas. Isu ini juga akan menimbulkan kesan kepada kemasukan pelajar baru ke UPNM yang akan mempunyai rasa takut untuk menerima tawaran serta melanjutkan pengajian ke institusi ini.
Imej baik institusi UPNM turut boleh terjejas kerana perspektif masyarakat sesebuah institusi berprestij sepertinya sebagai tempat menuntut ilmu dan sebagai pusat pendidikan sudah tersimpang menjadi impresi negatif disebabkan kes buli yang sering berlaku.
Pada pihak pelajar yang menjadi mangsa pula, mereka tentunya akan mengalami isu kemurungan dan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pembelajaran disebabkan tekanan mental atau fizikal yang dilakukan oleh pembuli. Sekiranya kes menyebabkan kecederaan parah, keluarga mangsa akan mengambil tindakan dan memperbesarkan masalah ini kepada pihak berkuasa.

Antara solusi yang boleh diterapkan terutamanya oleh pihak UPNM sendiri adalah dengan meningkatkan sokongan psikologi dan kaunseling kepada pelajar. Pakar kaunseling boleh ditempatkan di semua peringkat pendidikan untuk menyediakan bantuan psikologi yang menyeluruh bagi membantu pelajar menangani tekanan atau isu peribadi mereka.
Pihak UPNM perlu memastikan bahawa terdapat saluran yang selamat dan mudah diakses bagi pelajar untuk melaporkan sebarang kejadian buli tanpa rasa takut akan pembalasan atau stigma. Pihak universiti juga perlu menjamin bahawa setiap aduan akan disiasat dengan adil dan telus. Manakala, tindakan tegas terhadap pelaku buli termasuk penggantungan pengajian atau pemecatan pula wajar dilakukan sekiranya terbukti bersalah.
Pihak luar juga perlu mengambil berat tentang kejadian kes buli ini terutamanya dalam kalangan media elektronik mahupun media cetak yang perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menangani masalah buli.
Pihak media haruslah mempamerkan info-info atau maklumat bermanfaat di media massa supaya remaja dapat mempelajari perkara yang benar dan mengikut landasan agama yang telah dipelajari sejak kecil. Hal ini kerana kuasa media massa dalam mempengaruhi minda pembaca memang tidak dapat disangkal lagi.
Di samping itu, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan melakukan program-program yang boleh menyedarkan masyarakat terutamanya dalam kalangan pelajar akan isu buli ini.
Cadangan ini boleh dilakukan dengan memfokuskan kepada kelompok-kelompok tertentu seperti kepada ibu bapa dan guru bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu agar dapat mengenali sama ada anak mereka pernah menjadi mangsa buli atau tidak.
Cadanggan bentuk program kedua pula mensasarkan kepada remaja kerana golongan remaja merupakan kelompok yang banyak menjadi pembuli atau mengsa buli. Masalah buli ini perlu ditangani dengan serius dan mengambil segala cadangan yang berkesan untuk mencipta persekitaran yang lebih harmoni serta positif bagi semua pelajar.
Kesimpulannya, kes buli di UPNM menunjukkan betapa seriusnya masalah buli di institusi pendidikan. Oleh itu, pentadbiran universiti mestilah proaktif dalam menangani isu ini dengan polisi anti-buli yang efektif serta menyediakan laporan yang selamat.
Laporan kes-kes buli di peringkat global telah menunjukkan bahawa kes buli telah mula menjadi satu jenayah baru yang mendatangkan implikasi negatif sekiranya tidak ditangani secara serius oleh semua pihak. Bagi tujuan membentuk kanak-kanak dan remaja yang membangun secara sihat, semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan persekitaran yang mampu mencegahnya daripada berulang.
Tanpa usaha yang berterusan untuk mengurangkan dan mencegah berlakunya gejala buli ini, masyarakat mempertaruhkan soal kesihatan dan kebajikan kanak-kanak serta remaja pada hari esok dalam keadaan berisiko.
BACA: Naim Daniel Bersuara Isu Buli Berterusan Di UPNM – “Melingkup Sajalah Tempat Ni…” – Remaja
Rencana di atas merupakan hasil penulisan sepenuhnya pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor – kampus Puncak Perdana di bawah subjek FSC 411-Introduction To Writing, Theaory And Practice.
(CAFF233 / 1A)
- Nur Athirah Binti Adnan (2024680896)
- Nurul Najiha Binti Ismail (2024419414)
- Siti Hajar Binti Daud (2024680432)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tak Terima Bahasa Melayu? Jangan Duduk Di Malaysia – Titah Agong

Titah Tegas Yang di-Pertuan Agong Mengenai Bahasa Kebangsaan
Tak Terima Bahasa Melayu? Jangan Duduk Di Malaysia. Itulah antara intipati paling tegas dalam Titah Yang di-Pertuan Agong Bahasa Melayu yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Titah ini menjadi peringatan penting kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang tidak menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disaran agar tidak tinggal di Malaysia. Kenyataan ini mencerminkan pendirian jelas dan tidak berkompromi Baginda dalam mempertahankan asas perpaduan dan identiti nasional negara.

Disampaikan di Parlimen, Mesejnya Jelas
Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Parlimen Malaysia. Ia bukan sekadar ucapan simbolik, sebaliknya satu peringatan serius kepada semua pihak agar menghormati asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak merdeka.
Menurut laporan Kosmo Online, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sebarang usul untuk mengiktiraf mana-mana sistem pendidikan lain mestilah menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras utama. Sistem pendidikan negara, tegas Baginda, perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas pembinaan bangsa, jati diri serta hala tuju masa hadapan negara.

Bahasa Melayu Teras Sistem Pendidikan Negara
Dalam Titah Yang di-Pertuan Agong Bahasa Melayu tersebut, Baginda menekankan bahawa jika wujud cadangan untuk membangunkan sistem pendidikan baharu, ia mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada.
“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mestilah dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah bahasa kebangsaan,” titah Baginda.
Kenyataan ini menolak sebarang usaha yang cuba meminggirkan Bahasa Melayu atas alasan kepelbagaian atau globalisasi, kerana bahasa kebangsaan adalah asas penyatuan rakyat.
Penerimaan Bahasa dan Sejarah Bukan Pilihan
Baginda turut menegaskan bahawa penerimaan terhadap Bahasa Melayu dan sejarah negara bukan satu pilihan, sebaliknya satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh semua warganegara.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mestilah terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda lagi.
Titah ini memperkukuh mesej bahawa identiti negara tidak boleh dirunding atau dikompromi demi kepentingan sempit mana-mana pihak.
Mesej Penting Buat Golongan Remaja
Bagi golongan remaja, Titah Yang di-Pertuan Agong Bahasa Melayu membawa mesej yang sangat jelas dan mendalam. Bahasa Melayu bukan sekadar subjek di sekolah atau bahasa pertuturan harian, tetapi lambang identiti, kedaulatan dan penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Sikap menghormati bahasa kebangsaan mencerminkan tahap kematangan, patriotisme serta rasa cinta terhadap negara. Remaja yang memahami kepentingan ini akan lebih bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian masyarakat.
Kebimbangan Terhadap Keselamatan dan Isu Sensitif
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Ibrahim turut menyeru agar kawalan terhadap penggunaan teknologi diperkukuh bagi membendung kes penipuan yang semakin berleluasa. Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman jenayah berat, keganasan serta perbuatan yang menyentuh isu sensitif ‘3R’ iaitu kaum, agama dan institusi diraja.
Isu-isu ini, jika tidak dikawal, boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara.
Undang-Undang Demi Kedaulatan Negara
“Undang-undang berhubung keselamatan negara serta ancaman luar negara wajar diwujudkan segera, kerana hanya dengan cara ini keharmonian antara semua kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara,” titah Baginda.
Secara keseluruhannya, titah tegas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini menegaskan bahawa Bahasa Melayu, sejarah negara dan keselamatan nasional merupakan tunjang utama dalam memastikan perpaduan serta kestabilan Malaysia terus terpelihara. Remaja sebagai pewaris masa depan negara wajar memahami, menghargai dan mempertahankan nilai-nilai ini agar Malaysia kekal aman, berdaulat dan bersatu padu.
BACA LAGI : “Tiada Siapa Boleh Sentuh UiTM!” – Tegas Tengku Permaisuri Selangor
SUMBER : Kosmo Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Viral Kerja Seorang Diri Di Restoran, Ibu Berusia 25 Tahun Ini Akhirnya Hilang Pekerjaan

Apa yang bermula sebagai satu rakaman biasa pelanggan di sebuah restoran makanan segera akhirnya bertukar menjadi perbincangan serius tentang beban kerja, kekurangan staf dan tekanan hidup golongan berpendapatan rendah.
Nykia Hamilton, ibu tunggal berusia 25 tahun dari Columbia, Carolina Selatan, menjadi tular selepas sebuah video TikTok memaparkan dirinya bekerja sendirian sepanjang syif 12 jam di sebuah cawangan Burger King.
Dalam rakaman tersebut, dia dilihat menguruskan pesanan drive-thru, memasak makanan, membersihkan premis serta menambah stok semuanya tanpa bantuan staf lain.
Difahamkan, rakan sekerjanya berhenti kerja di pertengahan syif, meninggalkan Hamilton mengendalikan operasi restoran seorang diri.
Situasi ini menyebabkan isu viral kerja seorang diri di restoran menjadi perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Video berkenaan meraih jutaan tontonan. Hamilton dipuji sebagai simbol ketabahan dan dedikasi. Ada yang menggelarnya “superwoman”, manakala ada juga yang menyifatkannya sebagai gambaran sebenar tekanan kerja dalam industri perkhidmatan.

Ramai mempersoalkan bagaimana sebuah rangkaian makanan segera yang besar boleh membenarkan operasi berjalan dengan hanya seorang pekerja dalam satu syif yang panjang.
Kempen Dana Dan Sokongan Orang Ramai
Susulan tularnya video tersebut, satu kempen GoFundMe dilancarkan bagi membantu Hamilton dan tiga anaknya. Dana yang dikumpulkan hampir mencecah AS$70,000 hasil sokongan orang ramai yang tersentuh dengan kisahnya.
Bagi sesetengah pihak, sumbangan itu dianggap sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap nasib pekerja yang terperangkap dalam sistem kerja yang mencabar.
Namun, di sebalik simpati dan sumbangan tersebut, isu viral kerja seorang diri di restoran ini memasuki fasa yang lebih menyedihkan.
Dalam satu video lain yang dimuat naik selepas itu, Hamilton tampil dalam keadaan sebak dan mendedahkan bahawa dia telah dipecat. Menurutnya, tindakan itu diambil kerana dia lewat hadir ke tempat kerja kelewatan yang berpunca daripada urusan anak-anaknya.
Sebagai ibu tunggal, Hamilton menegaskan bahawa keutamaan adalah kebajikan anak-anaknya.
Dia juga menyatakan bahawa majikan tidak menyediakan atau membiayai penjagaan anak, menjadikan pengurusan masa sebagai cabaran besar dalam kehidupan hariannya.
Lebih menyedihkan, Hamilton mengakui bahawa kemasyhuran akibat viral bukan sesuatu yang dia minta. Dia tidak pernah berniat untuk menjadi perhatian umum, dan pendedahan tersebut membuatkan dirinya berasa terdedah ketika sedang berdepan tekanan hidup.

Dilema Antara Kerjaya Dan Tanggungjawab Keluarga
Kes ini kini mencetuskan persoalan lebih besar tentang polisi pengurusan kakitangan, kekurangan staf dalam industri makanan segera serta sejauh mana syarikat menyokong pekerja yang berdepan cabaran keluarga.
Kisah Hamilton bukan sekadar cerita viral. Ia menjadi cerminan dilema ramai pekerja barisan hadapan antara tanggungjawab kerja dan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa. Dalam banyak keadaan, pilihan yang ada sangat terhad dan tekanan yang dihadapi tidak terlihat oleh pelanggan.
Di persimpangan antara komitmen kerja dan tanggungjawab sebagai ibu, kadang-kadang harga yang perlu dibayar adalah terlalu mahal.
Sumber : The National Desk
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

