
Pempengaruh media sosial, Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mekyun baru-baru ini tampil membuat laporan polis berhubung penemuan satu kumpulan di Facebook yang didakwa berkongsi kandungan tidak senonoh yang melibatkan pelajar sekolah dan juga kanak-kanak.
Menerusi satu hantaran di media sosialnya, Mekyun memaklumkan bahawa laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan ditemani peguam yang juga merupakan abangnya, Jason. Keputusan itu dibuat selepas beliau mendapati terdapat gambar dirinya sewaktu masih sekolah dimuat naik dalam kumpulan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pelajar sekolah dan kanak-kanak di luar sana supaya tidak berdiam diri sekiranya berdepan gangguan seumpama itu dan menekankan betapa pentingnya untuk mereka menyuarakan masalah serta memberitahu kepada ibu bapa.
“Jangan berdiam diri jika perkara ini berlaku kepada anda,” tegasnya.


View this post on Instagram
Sementara itu, isu ini turut mendapat perhatian meluas selepas beberapa media tempatan mendedahkan kewujudan beberapa kumpulan Facebook yang mempromosikan kandungan berunsur gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Menurut Mekyun, beliau mula menyedari perkara ini selepas menerima mesej daripada pengikutnya yang memaklumkan tentang gambar dirinya berpakaian baju kurung sekolah yang telah tersebar.
Susulan itu, beliau juga menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terlibat.


View this post on Instagram
Sementara itu, beberapa wakil masyarakat turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu ini dan mendesak agar tindakan tegas serta segera diambil oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Buat masa ini, kumpulan Facebook yang dikenali sebagai “Group Budak2 Sekolah Rendah” tersebut kini tidak lagi boleh diakses. Difahamkan, kumpulan itu memiliki lebih 12,000 ahli dengan kandungan berupa gambar pelajar bawah umur dalam pelbagai pakaian termasuk seragam sekolah, pakaian sukan dan kasual, diiringi dengan komen-komen berunsur seksual.
Sekadar info, isu berkenaan mula mencuri perhatian umum selepas penyanyi rap Ariz Ramli atau lebih mesra dikenali sebagai Caprice menerima mesej di Instagram mengenai kumpulan itu sebelum beliau bertindak melaporkannya kepada pihak berwajib.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











