Hiburan

Astro Mengangkat Bintang Terunggul di GMWA2025. Dayang Nurfaizah, ALPHA, Aina Abdul & Marsha Milan Cipta Momen terbaik!

Share

Masih belum terlambat untuk strim di Astro One dan sooka, dan menyaksikan semula malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards 2025 yang berlangsung Ahad lalu dengan persembahan pentas yang cukup hebat.

Diterajui oleh Sean Lee dan Amelia Henderson sebagai hos, GMWA2025 tampil dengan tema ‘Re-Culture’ satu interpretasi kontemporari yang mengangkat seni dan warisan tradisi Malaysia melalui lensa fesyen, hiburan digital dan muzikal. Ia bukan sekadar tema, tetapi satu pernyataan estetik yang jelas dan berani.

Pendekatan ini sekali lagi mengukuhkan posisi Astro sebagai peneraju acara hiburan berskala besar, membawakan pengalaman “Home of Live Entertainment” yang bukan hanya ditonton, tetapi dirasai.

‘Re-Culture’ menerima pujian meluas di media sosial, terutamanya menerusi kempen promosinya yang rapi dan kemas membuktikan bahawa apabila strategi dan seni bertemu, hasilnya adalah momen yang benar-benar

relevan dengan generasi kini.

Prop Dayang Nurfaizah Terima Pujian

Antara yang berjaya menuai pujian terutamanya oleh penonton di auditorium MBSA, Shah Alam serta di platform media sosial semalam adalah persembahan medley oleh Dayang Nurfaizah yang menutup malam anugerah berkenaan.

Bukan hanya lagu-lagu yang dibawakan daripada album Belagu itu bersifat sing-along sehinggakan orang ramai turut serta dalam joget lambak di sekitar tempat duduk masing-masing. Malahan, prop bunga bergerak dengan teknik pencahayaan LED berjaya menambat perhatian orang ramai sebagai latar kepada persembahan Dayang itu.

Selain Dayang, grup lelaki sensasi ALPHA turut ‘menghidupkan’ malam GMWA2025 menerusi persembahan lagu-lagu hit mereka termasuklah P. Ramlee Saloma dan Bujang. Rata-rata memuji paduan vokal dan pengawalan pentas oleh mereka bertujuh, terutama olahan vokal yang dilakukan oleh Izat Ibrahim sebagai pembuka pentas buat ALPHA.

Lain-lain persembahan yang turut memeriahkan GMWA2025 hadir daripada barisan artis terkenal seperti Marsha Milan Londoh, Aina Abdul, Hael Husaini, Nadeera dan ramai lagi.

Meerqeen & Thariq Ridzuwan Menang Besar!

Pelakon popular, Meerqeen dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Gempak Most Wanted selepas meraih 2,373,539 undian atas talian serta 40.5% markah daripada barisan juri.

Bukan itu sahaja, Meerqeen turut membawa pulang trofi

Selebriti Tergempak 2025 manakala drama lakonannya pada tahun lalu, Thariq Ridzuwan: His Treasure pula dinobatkan sebagai pemenang kategori Drama Tergempak 2025.

Tiga kejayaan berturut-turut di malam GMWA2025 ini sekali gus mengukuhkan pengaruhnya dalam industri hiburan tempatan.

Dalam ucapan kemenangannya, Meerqeen meluahkan rasa syukur dan memberi bayangan tentang perancangan terbaharu buat para peminat.

“Terima kasih kepada Astro. Ini adalah permulaan buat saya pada tahun 2026. Saya akan datang dengan karya yang baharu buat anda (peminat).”

“Saya tahu saya tengah berisi sedikit sekarang tapi percayalah, ini sekejap sahaja. Saya tengah sediakan sesuatu buat kalian,” ucap pemenang tempat ketiga pencarian Hero Remaja 2020 itu.

Menariknya untuk edisi kali ini, proses pemilihan pemenang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada undian awam, sebaliknya turut melibatkan penilaian barisan juri profesional, menjadikan keputusan lebih seimbang dan kompetitif.

ALPHA Bolot Dua Trofi

Malam GMWA2025 juga menjadi milik ALPHA yang tidak pulang dengan tangan kosong apabila membolot dua anugerah penting.

‘Boy band’ yang dibarisi oleh Ariel Fesol, Izat Ibrahim, Daniel Sher, Rizal Rasid, Afiq Sky, Ray-D dan Araff ini memenangi kategori Video Muzik Tergempak menerusi lagu P. Ramlee Saloma serta kategori Lagu Era Tergempak menerusi lagu Mona Lisa.

Kategori Digital Creator Jadi Tumpuan

Kategori Digital Creator turut menjadi antara segmen paling dinanti-nantikan pada malam tersebut.

Antara pemenangnya termasuklah:

• Digital Creator (Lifestyle) – Wani Faizun

• Digital Creator (Entertainment) – Christy Ng

• Digital Creator (Foodie) – Jason

• Digital Creator (Motivation & Education) – Sir Badang

• Digital Creator (E-Sports) – Hakim Nanyan

• Digital Creator (Beauty & Fashion) – Nigel Sparks

Kategori Program Digital Tergempak pula dimenangi Sembang Seram kendalian Safwan Nazri. Manakala pelakon dan hos jelita, Amelia Henderson pula meraih kemenangan selaku Hos Program Tergempak.

Tahniah REMAJA ucapkan kepada semua pemenang!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath