MCMC Tegas Hentikan Trend ‘Murahan’ Eksploitasi Gelandangan, 3 Individu Berdepan Denda RM500,000

Share

Susulan video tular memaparkan tiga lelaki dipercayai pencipta kandungan media sosial yang memberi nasi berlauk tulang ayam kepada seorang gelandangan baru-baru-ini kini disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas aduan orang ramai yang mempertikaikan etika serta niat di sebalik penerbitan video tersebut.

Menurut MCMC, pihaknya tegas serta memandang serius tindakan menghasilkan serta menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan dan menjana tontonan di media sosial.

“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” kata kenyataan itu.

BACA: Apabila Empati Hilang, Remaja Biadab Beri Gelandangan Nasi Tulang Ayam

Dalam pada itu, tambah Suruhanjaya lagi, siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.

Jelas MCMC, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama, MCMC turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan bersifat provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Terdahulu, tiga individu terbabit telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mendakwa rakaman itu telah mendapat persetujuan lelaki gelandangan tersebut serta menjelaskan bahawa makanan lengkap diberikan selepas rakaman dibuat.

Sementara itu, ketiga individu berkenaan juga berharap agar netizen memaafkan perbuatan itu, namun MCMC menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan ruang siber tidak disalahgunakan dan kekal harmoni di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE