
Terbaru, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Komunikasi Massa) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi membuktikan reputasi membanggakan apabila dinobat sebagai fakulti terbaik dalam program Perhubungan Awam di Malaysia sekaligus menduduki tangga ketujuh terbaik di Asia menerusi penarafan akademik terkini.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi UiTM, kejayaan ini bukan sekadar satu pencapaian statistik tetapi mencerminkan usaha berterusan fakulti dalam memperkasa ilmu komunikasi sejak penubuhannya dan bidang Komunikasi Massa terus menjadi tulang belakang kepada pembangunan komunikasi dan media di negara ini.
Dalam pada itu, menurut kenyataan rasmi pihak fakulti, pengiktirafan ini lahir hasil komitmen kolektif daripada para pensyarah berpengalaman, mahasiswa berwibawa serta alumni yang terus mencipta nama dalam pelbagai bidang profesional.
“Kedudukan ini mengiktiraf dedikasi dan inovasi warga fakulti dalam memperkasa ilmu komunikasi serta mencorak landskap perhubungan awam yang dinamik di peringkat serantau,” tulis kenyataan itu.
Pada masa yang sama, pengiktirafan ini di peringkat Asia turut meletakkan UiTM pada kedudukan strategik dalam arena global, membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi tempatan bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang lebih kritikal.
Selain itu, ia bukan sahaja mengharumkan nama universiti berkenaan, malah ini juga menjadi dorongan kepada komuniti akademik untuk terus berinovasi dan mencipta impak yang lebih luas demi pembangunan negara.
Sementara itu, UiTM bertekad untuk meneruskan legasi kecemerlangan dengan menekankan nilai kreativiti, pemikiran kritikal, kolaborasi global serta kepimpinan berwawasan sebagai teras utama pengembangan fakulti.
Mereka juga berharap agar kejayaan ini diharap dapat menyemarakkan semangat para mahasiswa serta memperkukuh lagi ekosistem akademik Malaysia ke arah piawaian dunia.
Sekadar info, selain program Perhubungan Awam, antara program yang turut mendapat pengiktirafan terbaik adalah program Penerbitan (No.2 di Malaysia & No.11 terbaik di Asia) dan program Pengiklanan mendapat tempat pertama di Malaysia dan ke-14 terbaik di Asia.
Sumber: FB UiTM MassComm & Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.