KEMBALINYA PEMILIK NAMA MUHAMMAD FAZZIQ MUQRIS BIN MOHD SHARIFF KE PENCARIAN HERO REMAJA BUAT KALI KEDUA SETELAH PERCUBAAN PERTAMA TAHUN LALU TIDAK MEMBUAHKAN HASIL SECARA TIDAK LANGSUNG MEMPAMERKAN KEINGINAN UNTUK MENDAKI KE PUNCAK DUNIA PENYIARAN TANAH AIR SEBAGAI SEORANG PENGACARA
KONSEP & ARAHAN SENI FZ AIMMAN, MUSTAIZZAH MOKHTAR & AZNIZA AZIZ TEKS RUZIANA ZAINAL EDITORFZ AIMMAN FOTOREMY OTHMAN PEM. FOTO JAZLAN NANGAR SUNTINGAN FOTO HEZRY LOKMAN SOLEKANARY MUZAMER DANDANAN FAIZAL AZHAR KLIP VIDEO SHERFIQA SHARIDAN BUSANAUNIQLO U FW 2021 AKSESORIPANDORA
Fazziq Muqris menghiasai salah satu muka hadapan Majalah Remaja Digital edisi November 2021. FOTO Remy Othman / Ideaktiv
Selama pencarian Hero Remaja dianjurkan sejak edisi pertama pada tahun 1990/1991, perlahan-lahan beberapa perubahan telah disuntik oleh Majalah Remaja selaku penganjur; seiring dengan keperluan industri sezaman.
Daripada cara penyertaan menerusi penghantaran borang yang disertakan dalam naskah Majalah Remaja dan beberapa calon bulanan akan dipaparkan pada muka hadapan majalahnya. Dunia media sosial kemudian mula mempengaruhi cara penerimaan dan sokongan pengikut pencarian ini. Populariti yang lebih mudah dicipta oleh remaja lelaki masa kini dipandang sebagai tiket untuk menyertai industri seni.
Biarpun begitu, misi pencarian Hero Remaja tetap tidak berubah sejak dahulu. Ya populariti memainkan peranan sebagai punca mencipta nama sebagai seorang selebriti. Namun dengan hanya berbekalkan jumlah pengikut tanpa mempunyai mental yang kuat, keinginan yang mendalam serta ilmu di dada, jangka hayat seorang selebriti mungkin sekali tidak berkekalan.
Pemenang Tempat Ketiga pencarian Hero Remaja 2021, Fazziq Muqris jelas memahami perkara tersebut. Percubaan Fazziq untuk tahun kedua setelah ‘terkandas’ di sesi pemilihan pada edisi 2020 telah menunjukkan bahawa dirinya serius untuk melengkapkan diri sebelum beralih ke alam kerjaya sebagai seorang pengacara (and maybe more) selepas ini.
Jika pada tahun lalu, pelajar jurusan Diploma Komunikasi dan Media daripada UOW Malaysia KDU ini sebenarnya telahpun berjinak-jinak sebagai seorang model sambilan dan pempengaruh media sosial demi menimba pengalaman.
Sementelah minat semakin disemat, Fazziq masih merasakan kerdil dan mentah dalam soal pengacaraan, lakonan dan selok-belok menjadi seorang figura awam di Malaysia. Lebih banyak ilmu yang perlu dicedok, bisik hatinya sebagai persiapan untuk terjun ke dalam dunia yang luarannya saja glamor; namun hakikatnya memerlukan pengorbanan dan usaha keras yang tidak mampu dipikul semua orang.
Solekan oleh Ary Muzamer manakala dandanan rambut oleh Faizal Azhar. FOTO Remy Othman / Ideaktiv
Ads
“Saya hanya mencuba kerana usaha, impian dan percubaan itu kan percuma. Tiada langsung rasa malu setelah menemui kegagalan pada tahun lalu. Bagi saya, mungkin waktunya tidak tepat pada edisi 2020 dan banyak perkara yang telah saya perbaiki bagi bersiap-sedia untuk bersaing dengan finalis yang cukup hebat pada tahun ini.
“Alhamdulillah, sikap tidak putus asa ini akhirnya membuahkan hasil hingga saya layak sampai ke pentas finale. Persaingan bersama 11 lagi finalis Hero Remaja 2021 saya akui bukanlah sesuatu yang mudah. Semua yang terpilih mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.
“Saya mengaku saya bukanlah peserta terbaik selama mengikuti pencarian Hero Remaja 2021 selama 11 bulan. Tapi yang pasti, saya akan sentiasa berikan yang terbaik biarpun cabaran tidak pernah saya lakukan sebelum ini.”
“Antara cabaran paling menguji diri saya secara peribadinya adalah cabaran photoshoot semasa episod ketiga di Kampar, Perak. Ya, ada lebih banyak cabaran lain yang jauh lebih kritikal seperti berlakon di pentas semasa finale, cabaran lakonan di mana peserta perlu menghasilkan skrip sendiri secara berkumpulan dan cabaran ‘impromtu’ setiap kali kami memasuki gelanggang penyingkiran.
“Namun sewaktu cabaran episod ketiga itu, itulah antara waktu di mana saya sedar saya kaku di hadapan kamera. Mungkin disebabkan tekanan, mungkin disebabkan kami baru saja kehilangan dua rakan pada episod sebelumnya. Pada waktu itu, saya cuba ingatkan balik diri mengenai misi dan prinsip saya sewaktu memasuki Hero Remaja; iaitu untuk mencuba sehabis mungkin. Dari momen itu, mental saya lebih kental biarpun digasak pada episod-episod seterusnya,” kongsi Fazziq yang petah berkata-kata dengan skil pertuturan yang teratur dan personalitinya yang ceria.
Ads
Fazziq Muqris menyarungkan sweater, kot labuh & seluar daripada koleksi Uniqlo U Fall/Winter 2021. Aksesori rantai pula daripada Pandora. FOTO Remy Othman / Ideaktiv
Berkat usaha dan keyakinan tersebut, anak kelahiran Shah Alam ini berjaya menonjolkan diri di pentas akhir. Tiga cabaran terakhir iaitu segmen pengacaraan solo, segmen lakonan di atas pentas bersama pelakon lagenda, Ruminah Sidek dan segmen soal jawab telah cuba dilakukannya sebaik mungkin. Remaja berusia 21 tahun ini tahu dia mampu melakukannya dengan lebih baik terutamanya sewaktu segmen soal jawab. Itu semua diambilnya sebagai pengalaman bagi memperbaiki lagi diri pada waktu akan datang.
Fazziq Muqris memilih Ruminah Sidek sebagai pelakon pengiring di pentas finale. FOTO Azfarina Sulaiman / Ideaktiv
“Semua ini tidak mungkin terhasil tanpa bantuan mereka di sekeliling. Orang memandang saya sebagai seorang peserta Hero Remaja 2021 yang berjuang secara solo di kaca televisyen demi menyambar gelaran juara itu. Tapi hakikatnya, saya berjuang bersama mereka yang sentiasa memberikan sokongan dan galakan dari kiri, kanan; jauh mahupun dekat.”
“Saya berjuang bersama mereka dan saya berjuang untuk mereka.”
“Saya sentiasaa akan berterima kasih kepada keluarga, keluarga Hero Remaja 2021, semua kru produksi di set, team editorial Majalah Remaja dan kepada dua orang juri tetap serta dua orang mentor kami yang secara peribadinya telah banyak membantu saya sampai ke tahap ini.
“Saya masih ingat kata-kata juri tetap kami iaitu Datuk Rosyam Nor yang memuji keyakinan yang saya tonjolkan di set. Tetapi dia memberi amaran akan sindrom overconfident yang pernah ‘membunuh’ karier rakan seperjuangannya dahulu serta bintang-bintang baharu yang ingin meningkat naik sekarang. Katanya, sindrom itu akan menyusahkan saya di kemudian hari jika saya ingin kekal dalam industri.
Ads
“Nasihat tersebut akan saya simpan kerana sebagai orang lama dalam industri yang telah mencuba hampir kesemua peranan yang ada, beliau tentunya terlebih dahulu telah ‘makan garam’ dan sebolehnya, beliau enggan saya membazirkan peluang serta potensi hanya disebabkan sikap negatif,” kata Fazziq lagi.
Fazziq mudah didekati ramai pihak disebabkan skil pertuturan dan personalitinya yang ceria.
Ditanya siapa saingan terdekatnya pada malam finale yang melabuhkan tirainya pada 6 November lalu, Fazziq menyatakan Mierul Aiman bukan saja saingan sengitnya seorang tetapi juga saingan sengit untuk dua lagi orang finalis yang bertarung iaitu Aqil Taqee dan Afiq Hamidon.
“Semua finalis Hero Remaja 2021 mahu lakukan yang terbaik demi membuktikan kepada semua bahawa kami berbakat dan kami adalah penerus momentum dalam industri seni. Pesaing terdekat saya sejak awal ialah Amirul Aiman kerana Mierul mempunyai ilmu sedangkan saya hanya berbekalkan pengalaman.
“Jujurnya, memang saya impikan untuk berdiri di pentas finale bersamanya dan bersaing secara sihat hinggalah ke garisan penamat.”
Perancangannya selepas ini, Fazziq menyatakan bahawa dia akan meneruskan cita-cita dalam bidang seni dan mengembangkan potensinya sebagai seorang pengacara dek kerana peluang meluas dalam cabang tersebut di Malaysia berbanding cabang lakonan yang sengit cabarannya. Bagaimanapun, dia tidak sesekali akan menolak peluang lain dan akan terus ‘menggali’ pengalaman sebanyak yang mungkin agar dirinya menjadi seorang penghibur yang punya inti.
Tidak cukup mendaki carta populariti menerusi lakonan drama dan filem sepanjang tempoh setahun selepas menamatkan saingan pencarian Hero Remaja 2020, pelakon Shameer Shauqeen atau lebih dikenali sebagai Meerqeen tidak ingin berada pada zon selesa dan cuba mencari cabang seni baharu untuk diterokai.
Hasilnya pada hari ini, Meerqeen tampil dengan single nyanyian pertamanya berjudul Menunggu sebagai hadiah istimewa buat para peminat.
Akui Meerqeen, dia berdebar menantikan respon orang ramai terhadap Menunggu yang telahpun menemui platform penstriman pada hari ini. Pun begitu, segala respon tersebut akan diterimanya dengan hati yang terbuka tidak kiralah sama ada ia berbentuk positif ataupun sebaliknya.
Dengan keberanian Meerqeen untuk menyeimbangi antara bidang lakonan dan nyanyian pada usia 20 tahun, adakah dia sudah bersedia untuk benar-benar serius dalam dua bidang mencabar ini ataupun hanya sekadar ingin mencuba saja? Senang cerita, ‘test water’.
“Saya mulakan kerjaya saya dengan menyertai Hero Remaja; dengan impian untuk menjadi seorang penyanyi. Tapi rezeki tidak pernah salah alamat dan rezeki dunia lakonan yang datang dahulu. Hati saya pun cepat ‘masuk’ ke dalam bidang lakonan dan semakin lama, minat itu dipupuk sampai sekarang.
“Tidak sangka pula semasa saya baru ingin menapak sebagai seorang pelakon, peluang merakamkan Menunggu ini hadir tanpa dirancang. Saya dan pasukan berborak santai untuk membincangkan apakah perancangan seterusnya bagi karier saya dan peluang untuk menjadi penyanyi ini hadir pada waktu yang tepat. Inilah rezeki namanya.
“Satu saja saya harapkan, agar semua dapat menerima lagu Menunggu dan akan memberikan semangat kepada saya,”pintanya.
Melihatkan kepada lirik lagu Menunggu, ia jelas menceritakan cebisan hati seorang lelaki yang kecewa dalam perhubungan cinta. Sudah tentu kami tertanya-tanya jika hati yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah hati empunya badan sendiri iaitu Meerqeen?
“Saya bercinta hanya apabila serius dengan seseorang kerana saya sendiri tidak suka apabila seseorang itu melukakan hati saya dan permainkan saya. Kita semua tahu sakitnya perasaan bila ditikam belakang oleh pasangan sendiri.
“Lelaki ini, bila dia disakiti untuk bulan pertama itu, mungkin dia tidak rasa sangat (rasa sakit). Tapi bila sudah dua tiga bulan barulah dia mula merasa perit hati. Jadi, itulah yang saya cuba sampaikan menerusi Menunggu.
“Namun, Menunggu bukanlah daripada pengalaman diri saya sendiri. Ia hanya gambaran am mengenai perasaan seorang lelaki. Saya pasti kebanyakan lelaki pernah merasakan peritnya putus cinta itu,” ulasnya.
Tidak Sedia Nyanyi Live
Untuk pengetahuan, Menunggu ialah hasil ciptaan komposer muda, Aliff Iskandar dengan bantuan khidmat Rudy Nastia sebagai penerbit dan Bob Yusof sebagai pengarah vokal.
Dan rupa-rupanya, lagu ini telah dirakamkan sejak bulan Mei lalu lagi. Ia baru dilancarkan pada bulan Oktober ini. Biarpun sudah lama merakamkannya, Meerqeen masih merasa gugup apabila diminta untuk menyanyikannya secara live.
“Ya, saya masih belum bersedia lagi untuk menyanyi secara live di atas pentas.
“Saya sebenarnya lebih mudah menghayati lagu-lagu bergenre RnB dan ini adalah percubaan pertama saya menyanyikan lagu Balada. Untuk menyempurnakan tona suara saya dan menyanyi secara live itu masih memerlukan masa dan praktis,” kata pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020 ini.
Menyedari kelemahan diri dari sudut menyerlahkan kekuatan vokal, Meerqeen berkongsi dirinya ada menyertai kelas lontaran vokal bersama Bob Yusuf di Studio MixBro milik Rudy demi mencapai kepuasan dan kesempurnaan bagi single sulung ini.
*
Jangan lupa menonton video lirik di YouTube Indigital Music tepat jam 9 malam ini (1 Oktober 2021).
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia sudah pun diumumkan hari ini dan apa yang buat Remaja lebih excited adalah salah seorang finalis Hero Remaja 2020, Hariz merupakan calon SPM 2019.
Seawal jam 10 pagi tadi, team Remaja sudah pun berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam bagi membuat liputan secara langsung momen-momen Hariz menerima keputusan SPM. Ditemani oleh ibunya, Hariz kelihatan tenang dan gembira kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah.
“Alhamdulillah hari ini Hariz ditemani Mommy untuk ambil keputusan SPM di sekolah. Walaupun nervous, tapi bila ada Mommy Hariz rasa tenang dan bersemangat,” jelas anak ketiga daripada empat beradik ini.
Finalis Hero Remaja ini mendapat perhatian sewaktu mengambil keputusan di dewan sekolah dan ramai kawan-kawan dan guru yang menyapa Hariz setibanya di di tempat tersebut,
Sebahagian daripada rakan-rakannya di sekolah
Keputusan yang diperoleh amat mengejutkan ibunya kerana anak muda ini mendapat 5A dalam peperiksaan SPM.
“Alhamdulillah saya tak sangka sebenarnya Hariz dapat keputusan begini. Ketika masuk ke sekolah menengah, prestasi akademiknya agak menurun berbanding di sekolah rendah. Ini kerana dia seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan. Jadi, masanya lebih banyak melakukan aktiviti-aktiviti luar. Namun, saya berbangga dengan keputusannya hari ini,” jelas ibu Hariz.
Menerima keputusan A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik dan Sains Komputer, Hariz bercadang untuk meneruskan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi.
“InsyaAllah selepas ini saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang Civil Engineering kerana ingin mengikut jejak langkah ayah. Doakan saya berjaya dan saya tetap akan meneruskan impian untuk menjadi anak seni walaupun sudah sambung belajar nanti,”
“Saya akan cuba untuk membahagikan masa di antara belajar dan kerjaya, dan jika ada masa terluang, saya pasti akan menghadiri casting drama atau pun iklan komersil,” jawab Hariz lagi.
Bersama salah seorang guru di SMK Puncak Alam
Sempat berjumpa dengan guru kesayangannya, Puan Nurul Hidayah yang merupakan guru yang membimbangnya dalam Kelab Sidang Redaksi, kami turut bertanyakan kepada Puan Hidayah bagaimana agaknya sikap Hariz disekolah.
“Bagaimana anda melihat dia di Instagram, begitulah Hariz ketika di sekolah. Tapi, ada sisi Hariz yang tidak ramai yang tahu dan itu biarlah saya simpan sendiri. Hehe! Saya berharap agar Hariz berjaya dalam setiap apa yang dilakukan dan jangan lupakan kami disini,” jelas Puan Hidayah.
Menggambarkan Hariz dalam tiga personaliti dirinya, guru ini mengatakan Hariz seorang yang sweet, serius dan boleh dipercayai. Wah, rupanya Hariz ni sweet orangnya ya. Hiks!
Apa-apa pun Remaja ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga Hariz dapat mencapai segala impiannya di masa hadapan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Drama siri yang pernah menjadi fenomena di Malaysia, Projek: Achor SPM telah dinobatkan sebagai Siri Drama Terbaik dalam Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2021 sebentar tadi.
Kemenangan ini pastinya memberi kenangan manis buat Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar yang merupakan antara pelakon utama dalam siri tersebut. Tidak dinafikan nama Nadhir semakin meningkat naik selepas kejayaannya membawa watak Hilmi yang menjadi sebutan para peminat drama tempatan.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya tidak menyangka bahawa drama Projek: Anchor SPM ini berjaya menggondol anugerah di Asian Academy Creative Awards, di mana ia mengumpulkan karya-karya seni dari seluruh negara Asia. Bagi saya, ia adalah satu kejayaan apabila negara-negara luar boleh melihat bakat-bakat yang ada di Malaysia, seperti pelakon, pengarah, penerbit dan tenaga produksi yang telah bertungkus-lumus menjayakan siri ini,”
“Pengalaman membintangi drama ini adalah satu momen yang paling saya hargai, apabila dapat bekerja dengan semua barisan pelakon yang terlibat serta menimba ilmu dengan tenaga kerja yang lain. Sebelum masuk ke set penggambaran lagi, pengarah drama ini telah mengingatkan kami tentang visi dan misi yang ingin dicapai, antaranya adalah menjadikan Projek: Anchor SPM sebagai sebuah drama yang mendapat perhatian ramai,”
“Alhamdulilah, hasil kerja keras kami akhirnya membuahkan hasil apabila ia mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton dan kini, berjaya meraih anugerah Siri Drama Terbaik di peringkat Asia,” luah Nadhir.
Membariskan wajah-wajah pelakon muda seperti Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul dan Chubb-e, siri ini juga berjaya mengalahkan drama popular Korea, Move to Heaven dan beberapa calon lain seperti Maya’s World dari Indonesia dan Hungry Ghosts dari Australia.
“Ini adalah satu penghargaan buat seluruh warga kerja Projek: Anchor SPM dan sejujurnya untuk berada sebaris dengan calon seperti drama Korea Move To Heaven, ia adalah satu penanda aras yang menunjukkan drama tempatan kita juga mempunyai kehebatannya tersendiri sehingga orang luar dapat mengiktiraf hasil kerja kita,”
“Saya percaya dengan kejayaan ini juga, sedikti sebanyak dapat mengikis tohmahan yang mengelarkan drama tempatan kita ini tidak berkualiti, sebaliknya jika diberikan sokongan yang kuat, kita mampu menempatkan diri ke peringkat yang lebih jauh,” tambah Nadhir lagi.
Projek: Anchor SPM menceritakan tentang sekumpulan pelajar sekolah Menengah yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia diangkat daripada kisah-kisah pengalaman pelajar ketika menduduki peperiksaan besar.
Bukan sahaja mendapat kadar rating yang tinggi, peminat drama siri ini juga pernah mendesak untuk disambung bagi musim yang kedua.
Calon Artis Baharu Lelaki Popular Dalam ABPBH-34
Tahun ini juga menyaksikan kilauan bakat-bakat baharu dalam industri hiburan tempatan dan ini dibuktikan apabila ramai finalis Hero Remaja dan Dewi Remaja turut tercalon dalam kategori Artis Baharu Popular.
“Saya ingin mengucapkan tahniah buat 20 calon bagi kategori ini, termasuklah rakan-rakan seperjuangan dalam Hero Remaja iaitu Meerqeen, Hariz, Aniq dan Nabil Aqil. Sejujurnya saya tidak menyangka akan dicalonkan kerana pengalaman yang baru setahun jagung,”
“Namun, saya berbesar hati dengan peluang ini dan berterima kasih buat semua penyokong yang tidak pernah penat untuk menyokong kerjaya saya. Sama ada menang atau tidak, ia terpulang kepada rezeki. Saya percaya rezeki itu tidak pernah salah alamat,” tambahnya lagi.
Apa-apa pun kami ucapkan tahniah buat Nadhir Nasar atas pencapaiannya dan selamat maju jaya untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian nanti. Korang masih boleh mengundi finalis sehingga 3 Oktober ini sebelum disenarai pendek ke peringkat akhir top 5.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!