
Baru-baru ini, anak gadis kepada selebriti terkenal, Abby Abadi serta Norman Hakim iaitu Maria Danisha Hakim mencuri perhatian di media sosial apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dan cemerlang dalam bidang akademik.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan (48) menzahirkan rasa syukur atas pencapaian yang diraih oleh anak ketiganya dan sempat menitipkan pesan untuk menekankan kepentingan menjaga solat, aurat serta hak Allah dalam menuntut ilmu.
“Syukur ya Allah atas rezeki pencapaian ini. Mama, Abah, Papa dan Mummy sentiasa mendoakan kejayaan Baby, untuk dunia membawa ke akhirat,” tulisnya.
Menurut Abby, setiap ilmu yang dipelajari dengan niat kerana Allah akan dicatat sebagai ibadah, malah beliau berharap kejayaan tersebut bukan sekadar untuk dunia, sebaliknya menjadi bekalan berharga di akhirat kelak.
“Terus jaga diri, jaga solat, jaga aurat dan jaga hak Allah sebaiknya. Setiap huruf yang dipelajari dengan niat kerana Allah, dicatat sebagai ibadah”
“Baby teruskan belajar kerana Allah. Bukan sekadar untuk dunia tetapi bekalan akhirat sana,” pesannya lagi.
Menerusi majlis Anugerah Ihtifal Abedeen Academy 2025, Maria Danisha difahamkan berjaya merangkul Anugerah Prestasi Terbaik Subjek bagi Bahasa Melayu, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Tasawwur Islam, Prinsip Perakaunan serta Ekonomi.
Selain kecemerlangan akademik, pelajar Tingkatan 5 itu turut menerima Anugerah Prestasi Keseluruhan Terbaik, Anugerah Kepimpinan Ansor serta Anugerah Valedictorian, sekaligus membuktikan keupayaan beliau seimbang dari segi akademik dan kepimpinan.
Sementara itu, Norman Hakim turut berkongsi perjalanan usaha dan disiplin Maria Danisha sepanjang tahun 2025 yang disifatkan sebagai konsisten, penuh pengorbanan dan tidak mengenal penat lelah.
“Kejayaan ini lahir daripada usaha berterusan, disiplin serta pengorbanan yang mungkin tidak semua orang nampak.”
“Tahniah buat Baby Danisha yang kami kasihi, atas satu tahun yang ditandai dengan usaha tanpa jemu, disiplin tinggi dan keazaman yang tidak pernah luntur sepanjang tahun 2025. Sesungguhnya, seperti kata pepatah usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya.
“Kami menyaksikan sendiri perjalanan dari dekat, konsistensi yang senyap, pengorbanan yang tidak terlihat, serta ketabahan yang tidak pernah pudar. Ke mana sahaja kamu pergi, buku sentiasa di sisi,” jelasnya.
“Walaupun ketika keluar bersama keluarga, bercuti, atau saat yang sepatutnya diisi dengan rehat dan tawa, kamu tetap mencari ruang untuk mengulang kaji, berfikir, membuat persediaan dan kekal komited terhadap kecemerlangan tanpa perlu disuruh,” ujarnya bangga.
Pada masa yang sama, Norman atau pemilik nama sebenar Mohamed Nurhakim Zaidon (49) turut merakamkan penghargaan kepada barisan pendidik di Abedeen Academy serta tenaga pengajar dari PTTI Online yang disifatkan memainkan peranan penting dalam membimbing dan menyokong pencapaian anaknya.
Mengakhiri perkongsian, Abby Abadi dan Norman Hakim menitipkan doa agar Maria Danisha serta semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dikurniakan ketenangan, kejernihan fikiran serta kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Sumber artikel: Instagram Abby Abadi & Norman Hakim
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.