Malu Kena ‘Bahan’ Dengan Masyarakat, Atlet Tenis India Maut Pada Usia 25 Tahun Selepas Ditembak Bapa Sendiri

Share

Baru-baru ini, dunia sukan India dikejutkan dengan berita tragis apabila pemain tenis wanita, Radhika Yadav, maut ditembak bapa kandungnya sendiri ketika sedang menyediakan sarapan pagi untuk ibunya di kediaman mereka di Gurugram.

Menurut laporan, kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi pada Khamis lalu menyaksikan Deepak Yadav (51), melepaskan empat das tembakan ke arah belakang badan anak perempuannya, yang juga merupakan seorang jurulatih tenis.

Apa yang lebih menyedihkan, mangsa pada ketika itu dilaporkan sedang memasak bagi menyambut hari kelahiran untuk ibunya, Manju Yadav.

Dalam pada itu, hasil bedah siasat mengesahkan keempat-empat peluru didapati di bahagian belakang badan Radhika tanpa sebarang luka keluar.

Menurut Dr. Deepak Mathur dari hospital awam Gurugram berkata, keempat-empat peluru telah dikeluarkan dari mayat dan tiada luka keluar.

“Jantung dan paru-parunya tertusuk menyebabkan kehilangan darah yang berlebihan sehingga menyebabkan kematian,” jelasnya.

Sementara itu, Deepak yang kini ditahan pihak polis mengaku dengan tenang bahawa dirinya bertindak kerana tidak tahan dengan tekanan masyarakat serta rasa hilang maruah sebagai seorang lelaki selepas orang kampung sering mengejeknya kerana bergantung kepada pendapatan anak perempuannya dan mempersoalkan kerjaya anaknya sebagai jurulatih tenis.

“Apabila saya pergi ke kampung Wazirabad untuk mendapatkan susu, orang pernah mengejek saya, mengatakan bahawa saya hidup daripada pendapatan anak perempuan saya”

“Malah ada orang yang mempersoalkan watak anak perempuan saya. Saya menyuruh anak perempuan saya menutup akademi tenisnya, tetapi dia enggan,” jelasnya.

“Keadaan ini terus mengganggu saya kerana ia menjejaskan maruah saya,” kata Deepak kepada polis semasa disoal siasat.

Tambahnya lagi, rasa terhina itu akhirnya mendorongnya untuk bertindak kejam dan langsung menembak anak perempuannya dengan menggunakan pistol berlesen miliknya.

Pihak polis India sedang menyiasat kes ini di bawah tuduhan membunuh serta pemilikan senjata api tanpa alasan kukuh.

Pada masa yang sama, kes ini turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat India berhubung isu ego patriarki dan tekanan sosial yang menjejaskan hubungan kekeluargaan dan keselamatan wanita.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE