Genap sedekad, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berjaya mengadakan kerjasama bersama pengamal media cetak, penyiaran, dan digital serta rakan strategik bagi melancarkan gelombang Malaysia #QuranHour 1446H/2024.
Majlis Taklimat Sinergi Media diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, sebagai persiapan akhir untuk acara yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2024.
Malaysia #QuranHour kali ke-10 ini mengangkat tema “Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara” dengan panduan Surah al-Jumu’ah dan Surah al-Hujurat. Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia melalui penghayatan Rukun Negara serta nilai-nilai murni dalam al-Quran dan Sunnah.
ARTIKEL BERKAITAN: Putera Sulung Aidid Marcello Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam Tempoh 11 Bulan!

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, menyatakan bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat dengan pelbagai organisasi. Penglibatan dari agensi media, kerajaan, korporat, NGO, dan institusi pendidikan menunjukkan komitmen mereka dalam penyatuan rakyat Malaysia.
“Sejak 2015, kempen #QuranHour termasuk World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour, dan World #QuranHour telah mencapai keseluruhan 7.3 bilion capaian sosial di 76 negara,” ujar Marhaini.
RTM sebagai penyiar utama menggalakkan semua rakan media untuk mengambil “live feed” Malaysia #QuranHour bagi memastikan siaran serentak pada hari tersebut.
Program ini akan disiarkan secara langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi ini dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan disokong oleh pelbagai rakan sinergi seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Selain itu, universiti awam danorganisasi yang berdaftar seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Rasuah Buster, Karya Bestari, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, serta badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.
Malaysia #QuranHour yang bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ mengandungi makna yang mendalam iaitu peralihan dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dan dari kezaliman kepada keadilan Islam, sebagaimana dinyatakan dalam Kitab Al-Bidayah Wa Al-Nihayah.
Anda mungkin berminat dengan
Antara wakil media yang terlibat termasuk Astro Oasis, TV Alhijrah, TV9, Astro Awani, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Media Prima, New Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, dan Denaihati.com.
Misi Malaysia #QuranHour 2024 adalah untuk membentuk perpaduan dan kesatuan hati melalui pemahaman nilai keimanan yang sempurna.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bapa kepada pelajar perempuan yang menjadi mangsa tikaman sebanyak 16 kali dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk bertemu keluarga suspek sekiranya mereka ingin memohon maaf.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Firuz Ibrahim, sehingga kini masih belum ada sebarang usaha daripada pihak keluarga suspek untuk menghubunginya berhubung insiden berkenaan.

Belum Dihubungi Keluarga Suspek
Mohd. Firuz, 43, berkata, kesediaannya untuk menerima permohonan maaf bergantung kepada keadaan ketika itu.
“Setakat ini saya belum menerima panggilan daripada keluarga suspek.
“Kalau ada keluarga suspek menghubungi dan memohon maaf, itu payah hendak cerita kerana kena tengok keadaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, hari ini.

Sedih Melihat Keadaan Anak
Dalam pada itu, Mohd. Firuz mengakui insiden yang menimpa anaknya memberi kesan emosi yang mendalam sebagai seorang bapa.
Menurutnya, melihat keadaan anak yang mengalami kecederaan akibat ditikam berkali-kali merupakan sesuatu yang amat menyayat hati.
“Memang sedih sangat. Kalau luka sikit pun sudah sakit, ini pula luka akibat tikaman begitu. Memang sedih melihat keadaan anak.
“Namun benda sudah berlaku, kita kena terima dengan reda,” katanya.

Mangsa Masih Dirawat Di Hospital
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dilaporkan cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sebuah sekolah menengah di Banting ketika waktu rehat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, suspek yang juga berusia 15 tahun telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Baru-baru ini, bekas jaguh badminton negara, Datuk Tan Yee Khan, dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun, sekaligus meninggalkan kesan mendalam terhadap arena sukan tanah air.
Memetik laporan Bernama, pemergian legenda beregu yang pernah menjulang Piala Thomas 1967 di Jakarta itu disahkan oleh Timbalan Presiden I Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam.

Menurut Datuk Subramaniam, kehilangan Yee Khan merupakan satu tamparan besar buat komuniti badminton negara yang selama ini menjadikan mendiang sebagai ikon dan rujukan sepanjang zaman.
“Bagi pihak BAM, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Kita telah kehilangan seorang legenda yang merupakan antara pelopor badminton negara pada awal 1960-an,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian serta dedikasi Yee Khan dalam sukan badminton telah membuka laluan luas kepada generasi baru untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Selain kejayaan bersejarah memenangi Piala Thomas edisi 1967, Yee Khan juga dikenang sebagai sebahagian daripada pasangan beregu lelaki paling digeruni dunia pada era 1960-an bersama gandingannya, mendiang Datuk Ng Boon Bee.
Gandingan unggul itu meraih pingat emas Sukan Asia pada edisi 1962 dan 1966, muncul juara All England pada 1965 dan 1966 serta menjuarai Kejuaraan Asia pada 1965.
Mendiang juga pernah mencatat kejayaan cemerlang di peringkat serantau apabila memenangi emas Sukan SEA pada 1961, 1965 dan 1967, selain mengumpul lima gelaran Terbuka Malaysia sepanjang karier gemilangnya.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penurunan harga petrol RON95 kepada hanya RM1.99 selitermenjelang akhir September ini.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming menyifatkan langkah tersebut sebagai bukti jelas keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, sekaligus menunaikan janji Perdana Menteri kepada rakyat sejak awal pelantikannya.

“Mewakili warga KPKT, saya ingin mengucap terima kasih PMX atas pengumuman berita baik pagi tadi dan memang kini terbukti janji ditepati,” kata Nga dalam satu kenyataan.
Beliau turut menambah bahawa langkah ini menjadikan harga bahan api negara antara yang paling rendah di peringkat global.
“Apabila Datuk Seri Anwar kata beliau naik (PM), minyak akan turun, kali ini betul-betul minyak turun di mana RM1.99 adalah antara harga petrol paling rendah di dunia iaitu ketiga termurah di dunia.
“Ini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri menangani isu kos sara hidup untuk warga negara manakala warga asing dikenakan harga pasaran,” tambah beliau lagi.

Sebelum itu, Anwar dalam pengumuman khas semalam memaklumkan bahawa penurunan harga petrol RON95 ini adalah hasil pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.
Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta pengguna, termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, belia seawal usia 16 tahun dan pekerja ekonomi gig.

Turut diumumkan sebagai sebahagian daripada inisiatif penghargaan rakyat ialah pemberian tunai sekali bayar sebanyak RM100 serta pengisytiharan cuti umum pada 15 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Malaysia Gazatte
∞