
Baru-baru ini, skuad futsal negara meraih perhatian apabila mencatat kemenangan bergaya selepas menewaskan Bangladesh 7-1 dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Stadium Tertutup SUKPA, pada malam Isnin, semalam.
Seawal babak pertama, perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan. Namun, kelebihan nyata memihak kepada Malaysia yang tampil lebih bertenaga di depan penyokong sendiri.
Dalam pada itu, ketika minit ketujuh, Mohamad Awwalluddin Nawi membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti. Bangladesh pantas membalas seminit kemudian apabila Fayed Azim menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras.
Apa yang menarik, Malaysia tidak menunggu lama untuk kembali di depan dan Mohamad Danial Dain meledak gol kedua pada minit ke-16 sebelum Mahadir Harahap Khairuddin menambah jaringan ketiga pada minit ke-18.
Memasuki separuh masa kedua, Bangladesh cuba menggunakan taktik ‘powerplay’ untuk merapatkan jurang, namun usaha itu gagal menembusi benteng negara. Pasukan negara sebaliknya menambah gol keempat pada minit ke-23 melalui Syahir Iqbal Khan, diikuti jaringan kedua peribadi Mahadir pada minit ke-28.
Sementara itu, ketika masa perlawanan berbaki empat minit, Muhammad Saad Sani meledakkan gol keenam negara. Gol terakhir hadir menerusi Muhammad Faris pada minit ke-36, sekaligus mengesahkan kemenangan besar 7-1 buat skuad negara.
Menerusi keputusan ini, skuad negara kini berkongsi enam mata bersama Iran yang menduduki tangga teratas kumpulan selepas turut mencatat dua kemenangan. Skuad bimbingan negara bakal berdepan cabaran getir menentang Iran pada 24 September ini.
Secara keseluruhan, lapan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik akan layak ke Piala Futsal Asia edisi ke-18 di Indonesia pada Januari tahun depan, bersama tuan rumah.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.