[MAHIR BAHASA MELAYU] Perbezaan Golongan Dan Gulungan

Share

Kata “golongan” dan “gulungan” merupakan dua perkataan yang jelas berbeza bukan sahaja dari segi ejaan tetapi juga maksudnya. Walau bagaimanapun, pengguna bahasa Melayu kerap keliru tentang penggunaannya malah ada yang sewenang-wenangnya menggunakan kata “golongan” dan “gulungan” tanpa mengambil kira ketepatan penggunaan mengikut konteks yang betul.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua perkataan tersebut berbeza makna kerana didasari oleh kata dasar yang berbeza, iaitu “golong” dan “gulung”. Kata “golongan” terbit daripada kata dasar “golong” yang menerima akhiran “-an”. Imbuhan akhiran  “-an” membawa maksud hasil daripada melakukan maksud yang terkandung dalam kata dasar. Oleh itu, kata terbitan “golongan” bermaksud kumpulan atau kelompok, iaitu hasil daripada perbuatan mengelompokkan atau mengasingkan dalam beberapa kumpulan.

Berbeza pula halnya dengan kata “gulungan” yang terbit daripada kata dasar “gulung” yang bermaksud sesuatu yang dijadikan berbentuk bulat torak (bulat panjang seperti bentuk silinder) dengan melingkarkannya. Oleh itu, kata terbitan “gulungan” membawa maksud lipatan berbentuk bulat torak dan apa-apa yang sudah bergulung.

Oleh hal yang demikian, seharusnya kata “golongan” dan “gulungan” digunakan dengan betul mengikut konteks ayat.

Contoh penggunaan kata “golongan” dan “gulungan” dalam ayat.

  1. Golongan remaja merupakan pengguna media sosial yang aktif.
  2. Kita harus menyantuni golongan gelandangan kerana mereka juga insan yang ada hati dan perasaan.
  3. Gulungan tikar yang disandarkan pada dinding itu terjatuh.
  4. Adik menarik gulungan tisu dapur dengan segera untuk mengelap air teh yang tertumpah di atas meja makan.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir.

 

IKLAN