Bisnes

Usahawan Muda UUM Bawa Konsep ‘No-Phone Cafe’ Di Kampus, Luqman Hakim Jana Jualan Hampir RM400,000

Share

Terbaru, seorang pelajar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Luqman Hakim Zawawai berjaya mencuri perhatian apabila kisah perjalanan keusahawanannya membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan semangat memberi mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh. Bermula hanya dengan sebuah gerai kopi kecil, mahasiswa ini kini berjaya membina perniagaan kampus yang mencatatkan jualan hampir RM400,000.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi UUM, Luqman yang merupakan pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) berkongsi pengalaman mengimbangi kehidupan sebagai mahasiswa dan usahawan. Anak kelahiran Klang, Selangor itu juga membuktikan bahawa kesibukan mengurus perniagaan tidak menjadi penghalang untuk terus cemerlang dalam akademik.

Difahamkan, perjalanan Luqman bermula pada penghujung tahun 2024 apabila dia bersama empat orang rakan mengumpulkan modal sebanyak RM8,000 untuk membuka Chatter Coffee, sebuah gerai kopi berhampiran kampus UUM. Mengangkat konsep “no-phone café”, perniagaan itu diwujudkan bukan sekadar untuk menjual minuman, tetapi sebagai ruang menggalakkan interaksi dan hubungan sesama manusia.

Menurut Luqman, idea tersebut tercetus daripada pemerhatian beliau terhadap budaya generasi muda yang sering bersama secara fizikal, namun masing-masing lebih tertumpu kepada skrin telefon.

“Kami tak nak jual kopi, tapi sebenarnya kami jual sesuatu yang lebih mahal iaitu hubungan sesama manusia,” katanya.

Dari Gerai Kecil Ke Angka Besar

Dengan prinsip untuk terus berusaha sebelum menyerahkan hasil kepada Tuhan, Luqman bersama pasukannya konsisten mengembangkan perniagaan walaupun perlu membahagikan masa antara kuliah, tugasan dan operasi gerai sehingga lewat malam. Dalam tempoh kira-kira satu tahun lapan bulan, Chatter Coffee dan rangkaiannya berjaya merekodkan jualan kasar sebanyak RM396,074.

Kejayaan itu turut membuka peluang lebih besar apabila pihak UUM memberikan kepercayaan kepada Luqman untuk mengurus Campus Brew di Anjung Tamu yang kemudiannya mencatatkan jualan melebihi RM50,000. Selain itu, beliau turut mengasaskan Sepagi Kopitiam di masjid universiti yang berjaya mencapai jualan lebih RM30,000 dalam tempoh singkat.

Kejayaan Yang Memberi Manfaat

Walaupun berjaya mengurus perniagaan dengan nilai jualan ratusan ribu ringgit, Luqman melihat kejayaan bukan sekadar melalui keuntungan semata-mata. Baginya, rezeki yang diperoleh perlu dikongsi agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

“Rezeki bukan untuk ditimbun, tapi untuk dialirkan,” jelasnya yang memilih untuk menggunakan sebahagian hasil perniagaan bagi membantu komuniti kampus.

Melalui inisiatif yang dijalankan, Luqman bersama pasukannya telah membuka peluang pekerjaan kepada hampir 50 mahasiswa UUM. Selain dari itu, mereka turut melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk menyediakan makanan percuma kepada warga kampus, membantu pelajar asnaf dan B40 serta menyokong usaha Bank Makanan Kampus SOIS UUM.

Seimbang Akademik & Keusahawanan

Di sebalik kesibukan mengurus beberapa perniagaan dan pasukan kerja, Luqman tetap memberi keutamaan kepada pelajaran. Beliau berjaya mengekalkan CGPA 3.71 serta menerima Anugerah Dekan selama empat semester berturut-turut, membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan keusahawanan boleh bergerak seiring.

Pencapaian tersebut turut melayakkan beliau menerima pengiktirafan sebagai Ikon Keusahawanan bagi Anugerah Tokoh Siswa UUM 2024, Johan pertandingan Business Pitching Alumni dengan membawa pulang geran RM10,000, selain menerima Biasiswa China Embassy dan Biasiswa Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, bagi Luqman, perjalanan kejayaan bukan mengenai siapa yang tidak pernah gagal, tetapi bagaimana seseorang bangkit selepas melalui cabaran.

“Malam ini, saya bukan datang sebagai usahawan. Saya datang sebagai seorang kawan, untuk cerita pasal jatuh, dan bangun semula,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan perlu dibina bersama nilai dan niat yang betul, bukan semata-mata mengejar keuntungan. Kisah Luqman menjadi bukti bahawa seorang mahasiswa dengan langkah kecil, jika disertai usaha berterusan dan keinginan memberi manfaat, mampu mencipta perubahan besar selari dengan aspirasi UUM menerusi tema ‘Menjulang Ilmu Mengakar Adab’.

Sumber: Facebook UUM, Instagram Ch4tter Coffee

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE