
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam sebuah kereta selama hampir sembilan jam di Jalan Tunku Hassan, Seremban, pada Selasa.
Kejadian tragis ini mengundang sebak orang ramai dan sekali lagi mencetuskan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan kanak-kanak.
Dalam kejadian menyayat hati itu, mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan jenis Proton Saga milik ibunya sejak kira-kira jam 8 pagi.
Difahamkan, ibu mangsa yang berusia 35 tahun terlupa untuk menghantar anaknya ke rumah pengasuh sebelum masuk bekerja di sebuah bank berhampiran lokasi kejadian.
Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak tersebut berada bersendirian di dalam kenderaan yang tidak berpengudaraan dalam tempoh yang lama, sekali gus terdedah kepada haba melampau sepanjang hari.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 6.15 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan. Ibu mangsa hanya menyedari perkara tersebut sekitar jam 5 petang selepas tamat waktu bekerja dan mahu pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban yang tiba di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Rembau untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak. Ibu mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian yang berada berhampiran lokasi kejadian berkata, dia dan rakan sekerja bergegas keluar dari premis selepas terdengar jeritan seorang wanita dari bahagian belakang bangunan.
“Saya dengar jeritan kuat, lepas itu kami keluar tengok apa yang berlaku. Orang ramai beritahu ada seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri di dalam kereta. Ada juga yang kata ibunya bekerja di bank berdekatan dan terlupa anaknya dalam kenderaan,” katanya.
Kejadian tersebut pantas menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar kawasan berkenaan sebelum pihak polis dan pasukan perubatan tiba.
Kes kanak-kanak maut dalam kereta ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap bahaya meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan, khususnya dalam keadaan cuaca panas.
Pakar keselamatan sebelum ini menegaskan bahawa suhu di dalam kereta yang tertutup boleh meningkat dengan cepat walaupun kenderaan diparkir di kawasan berbumbung.
Keadaan ini amat berbahaya kepada kanak-kanak kecil kerana tubuh mereka lebih cepat mengalami dehidrasi dan strok haba.
Azahar turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-603 3222.
Tragedi ini diharap menjadi peringatan serius kepada semua ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memastikan kanak-kanak tidak ditinggalkan di dalam kenderaan, walaupun untuk tempoh yang singkat, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.