Berita

JPJ Beralih Sepenuhnya ke Digital, Lesen Kenderaan Motor Versi Bercetak Akan Ditamatkan Bermula Februari Ini

Share

Terbaru, Lesen Kenderaan Motor (LKM) bercetak tidak lagi akan diedarkan bermula 1 Februari 2026, selepas Pos Malaysia mengesahkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghentikan sepenuhnya pengeluaran dokumen tersebut.

Menerusi sebuah perkongsian dan pengesahan yang dimuat naik pada 26 Januari, Pos Malaysia memaklumkan bahawa perkhidmatan mencetak LKM melalui kiosk dan kaunter mereka juga akan ditamatkan serentak dengan tarikh berkenaan.

Di samping itu, langkah ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, pihak JPJ sudah mengumumkan bahawa LKM serta Lesen Memandu Malaysia (LMM) boleh dipamerkan secara digital melalui aplikasi MyJPJ, khususnya apabila diminta oleh pihak berkuasa.

Kredit foto: FB Pos Malaysia

Pada masa yang sama, pendekatan digital ini selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan penggunaan dokumen fizikal serta memudahkan urusan pengguna, selain mengurangkan kebergantungan kepada pelekat dan kad bercetak.

Menariknya, perkembangan ini hadir tidak lama selepas laporan minggu lalu yang menyatakan bahawa orang ramai kini boleh memohon kad lesen memandu fizikal dengan bayaran RM20. Di mana, lesen memandu fizikal tersebut dipercayai masih diperlukan bagi tujuan tertentu, antaranya untuk permohonan International Drivers’ License bagi pemanduan di luar negara.

Susulan itu, Pos Malaysia turut menasihatkan pengguna yang masih memerlukan pelekat LKM bercetak supaya mencetaknya di cawangan atau kiosk Pos Malaysia sebelum 1 Februari 2026.

Selepas tarikh tersebut, perkhidmatan percetakan LKM tidak lagi akan ditawarkan, selaras dengan peralihan sepenuhnya kepada sistem digital yang diperkenalkan JPJ.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE