
Bintang K-Pop terkenal, Lisa daripada kumpulan BLACKPINK baru-baru ini dikhabarkan mengambil langkah menjauhkan diri daripada agensi Wasserman Music susulan kontroversi yang kembali hangat diperkatakan. Hal tersebut timbul selepas dokumen berkaitan kes Jeffrey Epstein yang didedahkan semula pada Januari 2026 mengaitkan nama kepimpinan tertinggi syarikat berkenaan.
Memetik laporan Bandwagon Asia, Lisa atau nama sebenarnya Lalisa Manobal (29) dipercayai telah memadam pengumuman terdahulu mengenai kerjasama jelajah global bersama agensi itu daripada platform milik syarikat pengurusannya, LLOUD. Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini, tindakan tersebut mencetuskan spekulasi bahawa penyanyi berkenaan sedang menilai semula hubungannya dengan pihak terbabit.
Difahamkan, kontroversi ini berpunca daripada dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang merujuk kepada surat-menyurat lama antara pengasas dan CEO Wasserman Group, Casey Wasserman, dengan Ghislaine Maxwell. Maxwell sebelum ini disabitkan kesalahan pada 2021 atas pertuduhan pemerdagangan seks dan konspirasi yang berkaitan dengan Jeffrey Epstein.

Dokumen berkenaan memperincikan pertukaran emel berunsur godaan sejak 2003, selain pengakuan Wasserman bahawa beliau pernah menaiki pesawat peribadi Epstein sekali pada 2002 bagi tujuan perjalanan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Clinton Foundation.
Bagaimanapun, beliau menafikan sebarang hubungan lanjut dan menyatakan kekesalan terhadap komunikasi tersebut, dengan menjelaskan ia berlaku sebelum jenayah Maxwell diketahui umum.
Susulan pendedahan itu, sebahagian industri muzik dilaporkan memberi reaksi negatif terhadap agensi berkenaan pada awal 2026. Beberapa artis turut memilih untuk menamatkan kerjasama atau secara terbuka menyuarakan kritikan terhadap syarikat tersebut sebagai tanda pendirian masing-masing.

Sebelum ini, penyanyi Chappell Roan mengesahkan pemergian beliau daripada agensi berkenaan atas faktor nilai peribadi. Selain itu, beberapa nama lain seperti Laufey, Orville Peck dan Weyes Blood turut dilaporkan memutuskan hubungan atau sedang mempertimbangkan semula kerjasama mereka dengan Wasserman.
Untuk rekod, Lisa menandatangani kontrak bersama Wasserman Music pada tahun 2025 bagi perwakilan jelajah seluruh dunia, sekaligus dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kerjaya solonya di peringkat global. Perjanjian tersebut dimeterai menerusi LLOUD, syarikat pengurusan bebas yang dilancarkannya pada 2024 selepas beliau menamatkan kerjsama eksklusif bersama YG Entertainment bagi aktiviti solo.
Sehingga setakat kini, laman rasmi Wasserman masih menyenaraikan BLACKPINK sebagai antara artis di bawah naungan mereka, sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai status sebenar perancangan jelajah solo Lisa. Tanpa pengesahan rasmi daripada kedua-dua pihak, situasi ini kekal menjadi perhatian peminat dan pemerhati industri hiburan antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














