Inpirasi

“Legasi Anda Akan Kekal Selamanya” David Beckham Sanjung Lionel Messi Sebagai Inspirasi Jutaan Kanak-Kanak

Share

Selepas legenda bola sepak dunia, Lionel Messi mengumumkan persaraan beliau daripada pentas antarabangsa, bekas kapten England, David Beckham menyifatkan legasi pemain Argentina berkenaan sebagai sesuatu yang akan terus dikenang dalam sejarah bola sepak dunia.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, David Beckham atau nama penuh beliau Sir David Robert Joseph Beckham (51) berkata, perjalanan Messi bersama Argentina menjadi satu kisah luar biasa yang wajar dihargai selepas segala pencapaian yang diraih sepanjang kariernya.

“Inilah masanya untuk kita menoleh ke belakang dan menyedari betapa bertuahnya kita kerana dapat menyaksikan kehebatan seorang kanak-kanak yang mempunyai impian,” kata Beckham.

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu turut menganggap Messi sebagai figura yang bukan sahaja membanggakan keluarga dan negaranya, malah menjadi contoh kepada jutaan kanak-kanak di seluruh dunia menerusi kepimpinan serta sikapnya di dalam dan luar padang.

BACA: Lionel Messi Umum Bersara Dari Skuad Argentina Selepas 20 Tahun, Tamat Karier Antarabangsa Dengan 125 Gol

Messi (39), menutup perjalanan panjangnya bersama skuad kebangsaan Argentina dengan 207 penampilan dan 125 gol, selain memainkan peranan penting dalam kejayaan negara itu menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Leo, kamu menghadiahkan hadiah terhebat kepada negara kamu dan atas sebab itu, legasi anda akan kekal selamanya. Tahniah atas segala yang telah anda capai bersama Argentina,” ujar Beckham.

Kejayaan Messi bersama Argentina turut melengkapkan reputasinya sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak, khususnya selepas beliau membantu negaranya meraih kejayaan di pentas antarabangsa selepas bertahun-tahun menjadi tonggak utama pasukan.

Untuk info, Beckham mempunyai hubungan yang lebih dekat dengan Messi dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila beliau bukan sahaja pernah berdepan dengan bintang berkenaan sebagai pemain, malah kini menjadi sebahagian daripada pemilikan Inter Miami, kelab yang diwakili Messi.

Dalam pada itu, penghormatan tersebut sekali lagi memperlihatkan bagaimana perjalanan Messi daripada seorang kanak-kanak yang mengejar impian akhirnya berkembang menjadi legasi yang memberi inspirasi kepada generasi baharu bola sepak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE