
Terbaru, band nu metal terkenal, Limp Bizkit bakal menemui peminat Malaysia buat julung kalinya menerusi sebuah konsert eksklusif yang dijadual berlangsung pada 9 Disember ini. Penampilan yang dibawakan menerusi konsep “One-Stop Asia Show” itu sekaligus menjadi detik bersejarah buat peminat tempatan yang sekian lama menantikan kehadiran kumpulan legenda berkenaan.
Menerusi sebuah pengumuman yang dikongsikan oleh Hitman Solutions, konsert tersebut akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Pengumuman itu turut mencetuskan keterujaan dalam kalangan penggemar muzik rock dan nu metal yang selama ini hanya berpeluang menyaksikan persembahan Limp Bizkit menerusi rakaman atau konsert di luar negara.
Lebih menarik, Kuala Lumpur dipilih sebagai satu-satunya destinasi persinggahan kumpulan itu di Asia bagi siri jelajah berkenaan. Faktor tersebut dijangka menarik kehadiran ribuan peminat dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan persembahan istimewa yang bakal berlangsung penghujung tahun ini.
Pada masa yang sama, bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket boleh mula membuat pembelian bermula 30 Jun ini pada jam 12 tengah hari menerusi platform rasmi Hitman Live. Selain itu, permintaan tinggi dijangka berlaku memandangkan ini merupakan penampilan sulung Limp Bizkit di Malaysia.
Ditubuhkan pada tahun 1994 di Jacksonville, Florida, Limp Bizkit merupakan antara nama terbesar yang pernah mewarnai perkembangan genre nu metal di peringkat global. Pengaruh mereka cukup besar dalam membentuk landskap muzik alternatif pada penghujung era 1990-an dan awal 2000-an.
Kumpulan yang diterajui vokalis karismatik, Fred Durst itu dikenali menerusi deretan lagu popular seperti Rollin’, My Way, Break Stuff, Nookie dan Take a Look Around. Karya-karya tersebut bukan sahaja mendapat sambutan meluas, malah masih menjadi siulan peminat sehingga hari ini.
Di samping itu, keunikan Limp Bizkit juga dikenali pada gabungan elemen metal, hip hop, rap dan rock yang berjaya mencipta identiti tersendiri dalam industri muzik. Pendekatan tersebut meletakkan mereka sebaris dengan beberapa nama besar lain yang turut mempopularkan genre nu metal di seluruh dunia.
Untuk rekod, sepanjang karier mereka, Limp Bizkit turut mencatat pelbagai pencapaian menerusi album ikonik seperti Significant Other dan Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water yang terjual berjuta-juta unit di pasaran antarabangsa. Kehadiran mereka ke Malaysia pastinya menjadi antara acara muzik yang paling dinantikan oleh peminat rock tempatan tahun hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.