Terbaru, nama atlet muda negara, Lim You menjadi bualan ramai di media sosial selepas beliau mencuri perhatian menerusi aksi luar biasa apabila meledak tujuh gol untuk membantu skuad Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17) membelasah Arab Saudi 9-0 dalam aksi Piala Srikandi Merdeka 2026 di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia, pada Selasa lalu.
Pemain bola sepak wanita bawah 16 tahun (B-16) yang kini berusia 14 tahun itu tampil sebagai watak utama kemenangan bergaya skuad kendalian Fairuz Montana Zainal Abidin, sekaligus membantu Malaysia mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua.
Aksi Meledak Seawal Wisel Permulaan
Lim memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-22 dan ke-27 untuk melengkapkan hatrik dalam tempoh separuh masa pertama.
Penyerang muda berdarah warisan Malaysia-Amerika Syarikat itu terus mengekalkan intensiti permainan tanpa menunjukkan tanda keletihan, sehingga menjadi ancaman utama kepada benteng pertahanan Arab Saudi sepanjang perlawanan.
Ads
Dominasi Walaupun Beraksi 10 Pemain
Lebih mengagumkan, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-21 selepas Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah. Namun situasi itu langsung tidak menjejaskan rentak permainan Malayan Tigress.
Sebaliknya, skuad negara terus menguasai perlawanan dengan corak permainan tersusun dan agresif, sambil Lim kekal menjadi nadi utama dalam setiap gerakan serangan yang diatur.
Ads
Rekod Peribadi Luar Biasa & Masa Depan Cerah
Pada babak kedua, Lim menambah empat lagi gol termasuk satu menerusi sepakan penalti sebelum melengkapkan tujuh gol peribadi pada minit ke-85. Aksi tersebut menjadikannya antara pemain paling menyerlah dalam kejohanan setakat ini.
Dua lagi gol Malaysia disumbangkan Mia Alysa dan Ku Nur Qaleysha, melengkapkan kemenangan 9-0 yang membawa Malayan Tigress ke kelompok empat terbaik kejohanan bersama Garuda Pertiwi.
Catatan tujuh gol dalam satu perlawanan antarabangsa rasmi itu turut dianggap pencapaian luar biasa dalam bola sepak wanita negara, sekaligus mengukuhkan status Lim sebagai antara bakat muda paling berpotensi untuk masa depan skuad kebangsaan.
Kemenangan ini menyaksikan Malaysia berkongsi empat mata dengan Hong Kong dalam Kumpulan A, namun berjaya menamatkan saingan di kedudukan kedua berdasarkan perbezaan gol untuk mara ke separuh akhir.
Dengan momentum yang semakin meningkat serta prestasi cemerlang Lim dan rakan sepasukan, Malayan Tigress kini berada di landasan terbaik untuk meneruskan cabaran dan memburu kejuaraan Piala Srikandi Merdeka 2026.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Juruterbang Emirates Airlines, Tien Rern, 34 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Tien Rern sewaktu melawat bumi Athens di Eropah dan menunggang kuda di Harare, Zimbabwe.
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Tien Rern juga menikmati kehidupan menetap di Dubai UAE dan masih berpeluang pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun. Di sini, dia berada di lokasi pelancongan terkenal Dubai Creek (kiri) dan di kota New York, Amerika Syarikat.
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tujuh tahun mengusahakan perniagaan berasaskan Kurta baju Melayu, jenama Bulan Bintang kini boleh dianggap sebagai antara jenama pilihan pembeli setiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Individu yang bertanggungjawab membina jenama tersebut sehingga ke tahap ini tidak lain tidak bukan ialah Azzim Zahid Azmi. Pada usia 25 tahun, ‘otak bisnes’ yang dimiliki olehnya telah memberikan pelbagai bentuk motivasi kepada remaja sebaya mahupun yang lebih muda untuk memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan.
Menjengah dengan lebih dekat kisah kejayaan pengasas tersebut, REMAJA senaraikan lima fakta menarik yang boleh sama-sama kita jadikan sebagai inspirasi untuk mengejar impian. Tiada apa yang mustahil guys.
01
Perniagaan Bulan Bintang bermula sewaktu Azzim ingin mengerjakan ibadah Umrah bersama ibunya dan dia mencari baju ‘paling Islamik’ yang selesa dipakai di tanah suci. Azzim menyasarkan untuk mencari Kurta, namun sukar untuknya mendapatkan Kurta dengan rekaan minimal dan ‘kosong’. Azzim akhirnya berjaya mendapatkan apa yang dihendaki dan bernasib baik kerana Kurta tersebut dikhabarkan sudah habis terjual.
Sekembali daripada ibadah Umrah dan menamatkan persekolahan, Azzim terfikir ada pasaran luas untuknya memperkenalkan rekaan Kurta minimal sebegini.
Azzim membeli beberapa gulung kain dan dia menaip, “Kilang Jahit Pukal” atau tanda pagar “#JahitPukalMurah” di kotak carian Instagram untuk mencari siapakah yang boleh merealisasikan rekaan Kurtanya itu. Selepas menemui pekerja warga Bangladesh yang boleh menjahit, dia menyiapkan 200 ke 300 helai Kurta. Bermula dengan jumlah sedikit, ia mula melipat kali ganda memasuki angka ribuan helai.
Pempengaruh, Luqman Podolski merupakan model pertama untuk kempen Bulan Bintang pada tahun 2016.
03
Ternyata pengalaman mengajar seseorang individu. Pada tahun pertama memulakan perniagaan Bulan Bintang, Azzim yang dahulunya hanya berpengalaman menjual baju T nyata belum lagi memahami selok-belok perniagaan musim perayaan. Sewaktu Ramadan, memang ramai yang menyerbu gerainya dan Azzim gigih menambah stok. Namun sesudah tamat Raya, dengan permintaan yang telah berkurangan; Azzim tersedar koleksinya itu ‘bermusim’. Dengan sejumlah stok tidak terjual, dia mengambil keputusan menghabiskan dua tahun berikutnya untuk fokus kepada pengajian di peringkat degree dahulu.
Hanya pada tiga tahun pengajian, Azzim menemui motivasi untuk menghidupkan semula Bulan Bintang. Kali ini, dia mencuba pasaran baju Melayu pula. Kali ini kehendak rekaannya juga berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh pasaran. Di kala ramai peniaga memperkenalkan Baju Melayu ‘slim fit’ yang melekap pada badan, Azzim inginkan baju Melayu yang sedikit longgar, tanpa logo terpampang pada baju dan paling utama, cantik. ‘Tailored-fit’ gelarnya. Sebelum Ramadan berakhir, stoknya itu habis terjual. Sekali lagi, firasat perniagaan Azzim mengena.
Pelakon, Syukri Yahya setia bersama bulan Bintang setiap kali tibanya musim Aidilfitri. Foto : Facebook Azzim Zahid
Daripada 3000 helai yang disediakan pada 2019, ia meningkat kepada 10,000 stok pada tahun 2020. Azzim memperkenalkan konsep ‘Next Day Delivery’ oleh Bulan Bintang di Lembah Klang untuk menyelesaikan isu penghantaran pada musim pandemik. Janji Bulan Bintang, “Order Hari Ini, Esok Sampai,” dan ia merupakan strategi yang membantu meletakkan jenama tersebut di hadapan jenama-jenama lain.
Nadhir Nasar menjadi model terbaru yang menyertai ‘keluarga’ Bulan Bintang untuk kempen Raya 2022.
05
Azzim tidak lagi menoleh ke belakang. Pada tahun lalu, jenama itu telah menyediakan puluhan ribu stok baju Melayu di samping memperkenalkan semula koleksi Kurta asalnya dengan rekaan serta kualiti yang lebih baik.
Sambil menyifatkan remaja di luar sana harus memulakan langkah perniagaan pada usia muda, Azzim merasakan ramai remaja yang stuck pada ‘fasa angan-angan’ kerana gerun melihat usahawan senior yang sudah jauh ke hadapan. Baginya, seseorang harus melihat pada keupayaan masing-masing dan ingat, mana-mana usahawan perlu bermula dari bawah.
Azzim baru-baru ini bertemu Menteri Kewangan, Tengku Zafrul untuk menyerahkan Baju Melayu keluaran Bulan Bintang di Putrajaya. Foto : Facebook Azzim Zahid
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemain beregu badminton negara, Thinaah Muralitharan baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian atau BETESL daripada Open University Malaysia (OUM).
OUM menerusi satu perkongsian di aplikasi Facebook memaklumkan, Thinaah bukan sahaja bergelar graduan, malah atlet negara itu juga turut menerima Anugerah Khas Universiti: Ikon Sukan pada majlis konvokesyen universiti yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 26 Oktober, Sabtu lalu.
Anugerah ikon sukan khas universiti itu mengiktiraf pelajar yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang sukan di samping cemerlang dalam akademik.
Dalam pada itu, pada 28 Februari lepas, OUM telah memberikan Thinaah biasiswa yang merangkumi semester dari Januari 2023 hingga Mei 2024.
Sekadar info, Thinaah memulakan pengajiannya di OUM pada Mei 2020, berkongsi mengenai minatnya yang mendalam terhadap bahasa Inggeris sejak kecil.
Ketika ini, Thinaah dan gandingannya, Pearly Tan menduduki ranking ketujuh dunia.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nurhidayah Damanhoori mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjadi Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM. Kenali perjalanan dan inspirasi kejayaannya.