Inpirasi

Kanak-kanak 10 Tahun Ini Derma Sel Stem Demi Selamatkan Bapa Hidap Leukemia, Namun Meninggal Dunia Akibat Komplikasi

Share

Baru-baru ini, kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Leong Kun Xuan, meraih perhatian dan tular di media sosial apabila keberaniannya menderma sel stem demi menyelamatkan bapanya yang menghidap leukemia telah menyentuh hati masyarakat. Walaupun masih kecil, pengorbanan beliau menjalani proses rawatan yang mencabar demi insan tersayang membuatkan ramai kagum dengan ketabahan dan kasih sayang yang ditunjukkannya.

Memetik laporan China Press, bapa kepada kanak-kanak tersebut, Leong Jun Hao, difahamkan sah menghidap ‘acute myeloid leukemia’ atau AML ketika berusia 29 tahun. Pada waktu itu, beliau bekerja sebagai seorang penterjemah di sebuah syarikat logistik di Filipina sebelum mula mengalami simptom seperti pening kepala yang kerap, sesak nafas, demam serta penglihatan kabur.

Hasil pemeriksaan perubatan kemudian mendapati keadaan Jun Hao agak serius apabila sekitar 75 peratus daripada sel darahnya telah dijangkiti sel kanser. Doktor memaklumkan bahawa satu-satunya peluang untuk beliau terus hidup adalah dengan menjalani pemindahan sumsum tulang selepas beberapa siri rawatan kemoterapi.

Leong Jun Hao yang dilaporkan meninggal akibat komplikasi pada 8 Mac lalu.

Selepas menjalani rawatan tersebut, pihak hospital mula mencari penderma yang sesuai bagi prosedur pemindahan berkenaan. Namun, hasil ujian keserasian mendapati padanan terbaik datang daripada anak lelakinya sendiri, Kun Xuan yang ketika itu tinggal di Ipoh, Perak.

Tanpa ragu-ragu, Kun Xuan bersetuju untuk membantu bapanya dan bagi membolehkan proses pengumpulan sel stem dilakukan, kanak-kanak berkenaan terpaksa menjalani suntikan selama empat hari berturut-turut bagi merangsang penghasilan sel stem dalam tubuhnya sebelum menjalani dua prosedur pengumpulan ‘peripheral blood stem cell’ di bawah bius penuh.

Susulan itu, kisah pengorbanan Kun Xuan dengan pantas mendapat perhatian masyarakat sehingga sebuah organisasi kebajikan yang berpangkalan di Bukit Mertajam, One Hope Charity, kemudiannya melancarkan kempen kutipan dana bagi membantu menampung kos rawatan Jun Hao.

Keberanian dan keikhlasan Kun Xuan dipuji masyarakat selepas mahu menderma sel stem demi membantu bapanya.

Dalam pada itu, sokongan daripada orang ramai amat menggalakkan apabila sebanyak RM60,000 berjaya dikumpulkan dalam tempoh kurang dua jam. Melalui dana tersebut, prosedur pemindahan sumsum tulang akhirnya dapat dijalankan dan Jun Hao kemudian ditempatkan di hospital untuk tempoh pemantauan rapi bagi memastikan tubuhnya menerima sel yang dipindahkan.

Walau bagaimanapun, selepas menjalani tempoh pemerhatian dan rawatan, Jun Hao dilaporkan mengalami komplikasi serius dan akhirnya meninggal dunia pada malam Ahad, 8 Mac lalu. Pemergian beliau meninggalkan kesedihan, namun begitu kisah keberanian Kun Xuan serta kasih sayang antara bapa dan anak ini akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada ramai.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE