Berita

Lenggong & Sarawak Delta Diiktiraf UNESCO Global Geopark, Malaysia Kini Miliki Empat Warisan Geologi Dunia

Share

Malaysia terus mencipta sejarah apabila Lenggong Geopark di Perak dan Sarawak Delta Geopark berjaya menempatkan diri dalam senarai berprestij UNESCO Global Geopark (UGGp) dan diiktiraf secara rasmi sebagai geopark ke-3 dan ke-4 negara selepas Langkawi dan Kinabalu, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di pentas dunia dalam usaha memelihara warisan geologi serta alam semula jadi.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataannya memaklumkan kedua-dua geopark tersebut mendapat status Green Card daripada Mesyuarat ke-10 UNESCO Global Geoparks Council yang berlangsung di Kultralkura UNESCO Global Geopark, Chile pada 5 dan 6 September lalu.

“Dengan pencapaian itu, Malaysia kini berada di landasan untuk menambah kepada dua lagi UGGp selain Langkawi dan Kinabalu, sementara lapan Geopark Kebangsaan sedia ada sedang diperkasakan sebagai calon berpotensi ke peringkat antarabangsa,” jelas kenyataan itu.

Kredit foto: IG Rakan Sarawak
Kredit foto: The Star

Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark diiktiraf bersama tujuh geopark lain dari pelbagai negara. Keputusan ini akan dibawa ke Lembaga Eksekutif UNESCO untuk pengesahan sebelum pengiktirafan rasmi sebagai UGGp diberikan. 

Dalam pada itu, NRES menyifatkan pengiktirafan ini sebagai kejayaan bermakna khususnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memelihara kelestarian alam sekitar serta mengurus kawasan geopark yang diiktiraf memiliki kepentingan antarabangsa.

“Ia juga seiring dengan Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan pemuliharaan alam, pembangunan mampan serta keseimbangan antara manfaat ekonomi dan sosial,” tambah kenyataan itu.

Kredit foto: Blog DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Kredit foto: Blog DR SHAMSUL ANUAR NASARAH

Selain itu, pencapaian ini turut menyokong agenda kerajaan yang memberi fokus kepada tiga teras iaitu kemampanan melalui pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan melalui manfaat ekonomi setempat serta penghormatan terhadap warisan budaya dan komuniti.

Sementara itu, NRES berharap pengiktirafan ini dapat memperkukuh pembangunan mampan di kedua-dua kawasan geopark serta memastikan syor penambahbaikan dapat dilaksanakan dalam tempoh empat tahun sebelum penilaian semula dijalankan.

Sumber: Awani

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE