
Pengumuman jelajah konsert grup sensasi, BTS dari Korea Selatan kelmarin telah menggembirakan para peminat mereka di Malaysia setelah Kuala Lumpur terpilih untuk menganjurkan konsert selama dua hari berturut-turut.
Kuala Lumpur bakal menerima kehadiran BTS pada 12 dan 13 Disember 2026, namun lokasi penganjurannya masih belum dikongsikan oleh pihak penganjur.
Kali terakhir BTS jayakan konsert di Kuala Lumpur adalah pada tahun 2015 dan kehadiran mereka pada kali ini pastinya menggamit kenangan kelompok peminat mereka yang dikenali sebagai ARMY itu.
Selain Kuala Lumpur, destinasi lain dari rantau Asia Tenggara yang juga akan dikunjungi BTS termasuklah Bangkok (Thailand), Singapura, Jakarta (Indonesia) dan Manila (Filipina).
Tidak mustahil juga, lebih banyak destinasi lain akan turut terpilih memandangkan ada negara yang belum tersenarai dalam poster pengumuman termasuklah Jepun dan negara-negara Timur Tengah.
Menariknya, antara empat destinasi Asia Tenggara itu, Singapura mendominasi jumlah hari penganjuran jelajah BTS World Tour iaitu selama empat hari bermula 17, 19, 20 dan 22 Disember. Bangkok berada di tangga kedua selama tiga hari (3, 5 & 6 Disember) manakala Manila selama dua hari (13 & 14 Mac 2027) seperti Kuala Lumpur.
Secara tidak langsung, Singapura juga merupakan negara di benua Asia (selain Korea Selatan dan Jepun) yang diberikan keistimewaan tempoh penganjuran selama itu).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Singapore Tourism Board atau Lembaga Pelancongan Singapura, keistimewaan yang diberikan ini adalah disebabkan kerjasama erat yang terjalin selama ini di antara negara republik itu dengan pengurusan BTS, HYBE.
Kepercayaan syarikat pengurusan artis-artis K-pop seperti HYBE terhadap kemampuan Singapura untuk menganjurkan konsert penyanyi antarabangsa secara selamat dan cemerlang selama ini juga membuatkan negara itu dijadikan pilihan utama.
Pengarah unit ‘Leisure Events’ di Singapore Tourism Board, Cik Guo Teyi berkata, “Kami berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada BTS World Tour selama empat malam di Singapura dengan kerjayasama Klook.
“Pencapaian ini mencerminkan kerjasama kolaboratif yang kuat bersama HYBE dan labelnya, dan ia juga bukti kepada kepercayaan artis antarabangsa dan penerbit terhadap kebolehan Singapura mempersembahkan hiburan berkelas dunia yang sukar dilupakan.
“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan ARMY, dan untuk mempamerkan bukan hanya persembahan luar biasa tetapi juga pengalaman vibran serta berlainan yang ditawarkan oleh bandaraya kami,” katanya.
Sementara itu, kenyataan wakil dari HYBE pula berbunyi, “Biarpun Singapura bagus dalam menawarkan infrastruktur terbaik, apa yang lebih utama adalah energi dan semangat menakjubkan yang ditonjolkan oleh peminat.
“Ia menjadikan Singapura sebagai lokasi tepat untuk BTS mendekati peminat di sana. Kami teruja untuk melakukan persembahan untuk mereka yang telah lama menantikan kunjungan kami,” catat HYBE.
Selain BTS, antara penyanyi K-pop lain yang pernah bertandang ke Singapura termasuklah j-hope, SEVENTEEN dan ENHYPEN.
Malah baru-baru ini, Singapura menjadi destinasi penggambaran video muzik Jin BTS berjudul Don’t Say You Love Me.
** Jika tidak berpeluang rebut tiket untuk tarikh Kuala Lumpur, adakah korang akan cuba dapatkan tiket untuk tarikh di Singapura?
FOTO: Secret Singapore & Bandwagon Asia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.