
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mencipta satu lagi sejarah apabila meraikan 30 tahun perjalanan seninya dengan konsert berskala mega, Legacy 30 Siti Nurhaliza, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari 2026.
Konsert ini bukan sekadar sambutan tiga dekad pembabitan beliau dalam industri muzik, tetapi juga melambangkan dedikasi, cinta dan keikhlasan Siti terhadap seni, di samping mengangkat warisan muzik Malaysia ke mata dunia.
Menurut kenyataan rasmi penganjur, SN Legacy Sdn. Bhd., pemilihan stadium ikonik itu dilakukan bukan kerana ingin memecah rekod
70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, tetapi lebih kepada usaha untuk memberikan pengalaman selesa, epik dan penuh makna buat semua peminat.“Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, gelanggang gah itu dipilih sebagai lokasi terbaik bagi menghimpunkan peminat penyanyi nombor satu negara itu dari seluruh negara dan rantau Asia,” jelas penganjur.
Siti sendiri menyifatkan konsert ini sebagai detik bersejarah untuk diraikan bersama penyokong setianya sejak tiga dekad lalu.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert, tetapi simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun bersama peminat yang selama ini memberikan sokongan.
“Saya harap agar dapat bersama-sama mereka meraikan detik istimewa ini serta menyelami kembali karya yang menjadi sebahagian kenangan dan sejarah karier saya
,” kata Siti.Lebih istimewa, konsert tersebut akan berlangsung sehari sebelum ulang tahun kelahiran ke-47beliau, sekaligus menjadikannya sebuah perayaan peribadi dan profesional yang sangat bermakna.
Menariknya lagi, Legacy 30
diadakan seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.Momentum ini dijangka menarik perhatian peminat antarabangsa, khususnya dari rantau Asia, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi hiburan dan budaya bertaraf dunia.
Bagi memastikan konsert ini tampil megah, Siti dan pasukannya telah menyusun perancangan teliti termasuk penggunaan teknologi produksi terkini serta penataan pentas berskala antarabangsa.
Sejak beberapa hari lalu, penyanyi kesayangan ramai ini sudah memberikan teaser di media sosial mengenai konsert tersebut, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat, termasuk dari
Indonesia.Tiket Legacy 30 Siti Nurhaliza boleh mula didapati melalui platform ticket2u. Pra-jualan eksklusif: dibuka bermula hari ini jam 12 tengah hari sehingga Jumaat, 12 tengah hari. Jualan umum: bermula Jumaat jam 3 petang.
Harga tiket ditawarkan antara RM69 hingga RM1,599, bergantung kepada kategori tempat duduk.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.