
Terbaru, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengejutkan ramai peminat apabila mengumumkan bahawa beliau tidak akan lagi beraksi dalam baki saingan tahun 2025 selepas menilai semula keadaan fizikal serta mentalnya sepanjang tahun yang penuh cabaran.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram, pemain yang kini berusia 27 tahun itu menyifatkan tahun 2025 menjadi tempoh yang benar-benar menguji ketahanan diri, terutamanya selepas berdepan kecederaan yang berlarutan.
“Tahun 2025 merupakan tahun yang mencabar dan juga satu proses pembelajaran dalam usaha menguruskan kesihatan fizikal saya,” tulisnya.
Di samping itu, beliau mengakui terdapat hari dimana dirinya berada pada prestasi terbaik, namun ada juga hari yang mengingatkannya kepada kesan kecederaan lama seperti buku lali dan masalah belakang. Keadaan itu memaksanya untuk lebih berhati-hati sebelum kembali turun beraksi pada tahap optimum.
Atlet itu turut memaklumkan bahawa sejak perlawanan kompetitif terakhir di China Masters pada September lalu, beliau dan pasukannya telah berbincang secara terperinci dengan pakar perubatan bagi mencari langkah terbaik untuk diambil.
“Pasukan saya dan para pakar perubatan telah bekerja rapat untuk menentukan cara terbaik untuk saya bergerak ke hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, hasil daripada perbincangan tersebut akhirnya membawa kepada keputusan untuk menutup terus musim 2025 bagi memberi ruang kepada proses pemulihan yang lebih menyeluruh.
“Saya merasakan keputusan paling tepat adalah menutup bab 2025 dan memberi tumpuan kepada kalendar 2026 yang akan datang,” ujarnya lagi.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Zii Jia turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, pasukan serta para penaja yang sentiasa berada di sisi sepanjang tempoh sukar ini. Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang terus menjadi tulang belakang dalam perjalanan kerjayanya.
Walaupun mengambil keputusan untuk berehat lebih lama, beliau menegaskan bahawa semangat membaranya untuk kembali ke gelanggang tidak pernah pudar.
“Saya kekal semangat dan bermotivasi untuk kembali beraksi di gelanggang,” maklum Zii Jia sambil menyatakan bahawa Januari bakal menjadi permulaan baharu yang lebih positif untuknya.
Intihanya, fokus Lee Zii Jia kini terarah kepada pemulihan fizikal dan persiapan rapi bagi menghadapi musim 2026, para peminat pastinya menantikan kebangkitan semula pemain ini dalam arena antarabangsa pada tahun hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.