
Penyanyi K-Pop sensasi, Lee Know Stray Kids, sekali lagi mencuri perhatian apabila menyambut hari lahirnya yang ke-27 dengan cara yang penuh bermakna. Beliau menyalurkan sumbangan besar sebanyak 200 juta Korea Won (sekitar RM 585,000) kepada dua organisasi kebajikan di Korea Selatan iaitu Samsung Medical Center dan organisasi perlindungan kucing, Nabiya Saranghae.
Menurut laporan media antarabangsa, sumbangan kepada Samsung Medical Center akan digunakan bagi membantu menampung kos pembedahan dan transplantasi untuk pesakit kanak-kanak serta dewasa yang menghidap penyakit serius. Pada masa yang sama, dana yang disalurkan kepada Nabiya Saranghae pula akan dimanfaatkan untuk kerja-kerja menyelamat, rawatan serta perlindungan kucing terbiar yang memerlukan perhatian dan penjagaan.
Dalam kenyataan yang dikongsikan, Lee Know Stray Kids atau pemilik nama sebenar Lee Min Ho menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada peminat (STAY) yang terus menyokongnya sepanjang perjalanan beliau sebagai anak seni.
“Dengan sokongan hangat daripada para peminat di hari istimewa ini, saya dapat berkongsi sesuatu yang bermakna. Saya berharap niat ikhlas ini dapat sampai kepada mereka yang memerlukan dan membawa kekuatan serta penghiburan kepada setiap kehidupan yang berharga,” katanya.
Untuk pengetahuan, ini bukan pertama kali penyanyi dan penari berbakat ini dikenali aktif dalam aktiviti kebajikan. Pada Januari 2024, Lee Know Stray Kids mendermakan 100 juta Korea Won kepada program World Vision Global Food Crisis Response, yang memberi bantuan kepada kanak-kanak di negara miskin yang terjejas akibat perubahan iklim.
BACA: Sumbang 200 Juta Won Korea, Felix Stray Kids Raikan Hari Lahir Ke-25 Melalui Kerja Amal
BACA: “Ibu Saya Menangis 6 Bulan…” Felix Stray Kids Kongsi Kisah Bagaimana Nama Koreanya Dipilih
Sumbangan itu menjadikannya sebagai ahli termuda kelab donatur prestij, Bob Pierce Honor Club, yang menghimpunkan individu dermawan di seluruh dunia. Langkah itu membuktikan keprihatinan beliau terhadap isu kemanusiaan sejagat dan kesungguhan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Sejak tahun 2014, Lee Know Stray Kids telah menaja empat orang kanak-kanak melalui organisasi World Vision. Pada tahun 2023 pula, beliau menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa gempa bumi di Turki dan Syria, memperlihatkan komitmennya yang konsisten dalam misi kemanusiaan global.
Pada April lalu, Lee Know bersama anggota Stray Kids lain turut menghulurkan sumbangan berjumlah 800 juta Korea Won kepada Hope Bridge dan World Vision. Dana itu digunakan bagi membantu kerja-kerja pemulihan kawasan Gyeongnam dan Gyeongbuk yang terjejas teruk akibat kebakaran hutan.
Dalam perkembangan lain, Stray Kids dijangka akan membuat kemunculan semula menerusi pelancaran album baharu berjudul ‘SKZ IT TAPE: DO IT’ pada 21 November ini. Album tersebut merupakan comeback yang dinanti-nantikan oleh para peminat di seluruh dunia, sekaligus menandakan satu lagi pencapaian besar buat kumpulan K-Pop terkenal itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.