
Baru-baru ini, adik kepada penyanyi K-Pop dan pelakon terkenal, Cha Eun Woo, iaitu Lee Dong Hwi yang juga seorang penyelidik, kembali menjadi bualan hangat selepas kehadirannya di atas pentas sebagai pakar artificial intelligence (AI) di sebuah expo teknologi berjaya mencuri perhatian pengguna di media sosial.
Menerusi sebuah video berjudul “The Researcher Making Headlines at Korea AI Summit” yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Sebasi Talk’ pada 16 November lalu, ia mengetengahkan penglibatan Lee Dong Hwi daripada Unbound Lab Dev. sekaligus melonjakkan minat umum terhadap kerjaya serta kepakaran beliau.
Difahamkan, Lee Dong Hwi menyampaikan sebuah syarahan bertajuk “AI Made for My Brother Evolves into a Brand Verification Tool” di COEX, Seoul telah mendapat perhatian kerana ia menyingkap bagaimana teknologi AI dibangunkan selari dengan keperluan industri hiburan.
“Memandangkan saya membesar dekat dengan dunia selebriti, secara natural saya fokus pada kebimbangan dan minat mereka. Mereka sentiasa memikirkan cara untuk berkomunikasi dengan peminat dengan lebih baik,” katanya dalam satu temubual sebelum acara berkenaan.
Jelasnya lagi, sistem yang dibangunkan turut membantu mengumpul serta menyusun data berkaitan maklum balas peminat.
“Bukan sahaja selebriti individu, tetapi syarikat hiburan dan jenama juga risau tentang maklum balas daripada data sebegini. Saya rasa ia sangat berguna jika ada solusi untuk mengumpul dan mengatur data itu, yang akhirnya membawa kepada perancangan sistem ini,” jelasnya memperlihatkan bagaimana teknologi AI semakin berperanan dalam strategi komunikasi artis dan jenama.
Lee Dong Hwi turut menyentuh cabaran yang dihadapi selebriti dalam berdepan dunia atas talian, menjelaskan bahawa mereka sering terpaksa menahan tekanan akibat komen jahat dan kritikan melampau. Menurutnya, walaupun maklum balas membina penting untuk perkembangan, pendedahan media yang terlalu besar menyebabkan limpahan komen negatif menjadi beban yang memberi kesan kepada kesejahteraan mental artis dalam industri hiburan.
BACA: Tinggalkan Hadiah Istimewa Buat Peminat, Cha Eun Woo Bakal Lancar Album Solo Sebelum Masuk Tentera
Beliau turut menerangkan bahawa dalam era pempengaruh yang semakin ramai, pendedahan media yang semakin luas menuntut perhatian khusus terhadap perlindungan mereka.. Justeru, beliau dan CEO syarikat kini merancang sistem khusus bagi membantu menjaga kesejahteraan mental individu yang sering menjadi tumpuan umum.
Untuk rekod, Lee Dong Hwi merupakan lulusan dari Universiti Fudan di China. Sebelum ini, beliau memulakan kerjaya di sebuah agensi pengiklanan terkenal, dan akhirnya menyertai Unbound Lab.
Terdahulu, beliau pernah menjadi sorotan selepas kemunculan ringkas selama lima saat dalam program tvN You Quiz on the Block pada Jun lalu, dan statusnya sebagai adik kepada Cha Eun Woo mula menarik minat peminat dan juga pengguna di media sosial.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.