
Selepas lebih tiga dekad membina legasi dalam dunia perfileman, pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan akhirnya meraih Anugerah Filem Kebangsaan India bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Bintang berusia 59 tahun itu menerima pengiktirafan berprestij tersebut buat pertama kali menerusi lakonannya dalam filem blockbuster berjudul Jawan (2023) dan lebih menarik lagi, kemenangan ini turut dikongsi bersama pelakon Vikrant Massey yang cemerlang menerusi filem biografi berjudul ‘12th Fail’.
Pada masa yang sama, pelakon wanita terkenal, Rani Mukerji pula dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik hasil persembahan memukau dalam filem ‘Mrs Chatterjee vs Norway’. Juri Anugerah Filem Kebangsaan ke-71 memuji Shah Rukh Khan kerana memberikan persembahan bertenaga yang seimbang di antara intensiti dan kedalaman emosi.
Dalam pada itu, kemenangan tersebut turut mencatat sejarah peribadi buat Shah Rukh Khan kerana walaupun sudah memenangi 14 trofi Filmfare dan menerima penghormatan antarabangsa seperti Padma Shri serta Legion of Honour dari Perancis di mana beliau belum pernah meraih pengiktirafan kebangsaan sebelum ini.
“Ia menyuruh saya terus berkarya dan berbakti kepada dunia sinema,” kata Shah Rukh Khan dalam sebuah video penghargaan serta menyifatkan kemenangan ini bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi juga peringatan bahawa karyanya memberi makna kepada penonton.
Sementara itu, kemenangan ini turut diraikan rakan industri seperti Juhi Chawla dan Allu Arjun, selain peminat yang menganggap pengiktirafan ini sudah terlalu lama tertangguh. Selain itu, turut mengimbau lakonan hebat Shah Rukh dalam filem-filem terdahulu seperti Swades (2004), Chak De! India (2007) dan My Name Is Khan (2010) yang dirasakan layak menerima pengiktirafan serupa.
Sekadar info, Shah Rukh Khan memulakan kerjayanya sebagai anak seni pada tahun 1988 menerusi siri televisyen Fauji sebelum debut filemnya Deewana (1992). Kini, selepas 33 tahun, pengiktirafan kebangsaan ini dianggap sebagai kemuncak perjalanan kariernya yang penuh warna dan inspirasi.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.