
Baru-baru ini, konsert Hello Inilah Kita: Sehati Bersama anjuran Astro yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Ogos lalu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya ia menjadi simbol bagaimana sambutan Hari Merdeka boleh diraikan dengan lebih dekat di hati generasi muda.
Showcase yang telah pun bermula pada 7 Ogos dan kemudiannya disambung semula itu berjaya menarik lebih 10,000 penonton yang penuh semangat, bersorak, menyanyi serta meraikan Merdeka dalam suasana festival muzik. Ia sekaligus membuktikan bahawa sambutan Merdeka bukan hanya acara rasmi, tetapi boleh dijelmakan dalam bentuk yang lebih menyeronokkan, segar dan relevan untuk generasi kini.
Rata-rata pengunjung memuji showcase tersebut dan menganggap ia begitu dekat di hati mereka. Antara detik paling ikonik sepanjang dua malam itu selain Medley Merdeka yang dinyanyikan Noryn Aziz, Reshmonu, Niki Palikat dan Vince ialah apabila lagu Sahabat nyanyian Alpha dipentaskan dan seluruh penonton bersatu menyanyikan bait-bait liriknya.
Momen indah itu benar-benar menyerlahkan muzik sebagai bahasa universal yang mampu menyatukan hati tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, menjadikannya salah satu perhimpunan terbesar menjelang kemerdekaan tahun ini.
Berkongsi pandangan mengenai maksud Merdeka, REMAJA sempat menemui ahli kumpulan ALPHA yang tampil dengan interpretasi tersendiri. Ariel Fesol jelas menekankan aspek keamanan dan keharmonian sebagai kunci utama kemerdekaan.
“Merdeka adalah keamanan. Apa yang membuktikan sebuah negara adalah keharmonian, bersatu padunya sesuatu kaum itu juga penting untuk sesebuah negara kekal maju,” katanya.
Walaupun berasal dari Brunei, Rizal Rasid mengaitkan Merdeka dengan harapan masa depan.
“Untuk saya, Merdeka itu adalah masa depan. Jadi dengan adanya sambutan Merdeka ini ia adalah satu penyatuan buat negara dan juga rakyat,” jelasnya.
Pada masa yang sama, bagi Araff pula, beliau menzahirkan rasa syukur terhadap pengorbanan pejuang negara.
“Maksud kemerdekaan adalah kebebasan tapi erti kemerdekaan bagi saya adalah ketenangan, kemakmuran, dan perlembagaan”
“Saya juga rasa amat berbesar hati kepada para pejuang kita yang sanggup memerdekakan negara kita untuk kita semua hidup tenang dan bahagia sehingga kini,” ujarnya.
Ahli lain seperti Izat Ibrahim dan Daniel Sher turut menyuarakan pandangan yang selari dengan semangat kesatuan dan keharmonian, manakala Ray-D dan Afiq Sky turut mengingatkan bahawa perpaduan adalah kunci untuk mengekalkan keadilan serta mengangkat keamanan negara.
Sementara itu, acara ini juga menjadi bukti bahawa generasi muda masih kuat dengan semangat cintakan tanah air. Di mana, mereka bukan sahaja hadir untuk berhibur, tetapi juga untuk menunjukkan rasa hormat terhadap nilai kepelbagaian dan persaudaraan sebagai refleksi tepat semangat sehati bersama.
Selain itu, mesej paling besar yang dibawa pulang daripada Hello Inilah Kita: Sehati Bersama ialah bahawa Merdeka akan lebih hidup apabila diraikan bersama. Nyanyian, sorakan dan semangat yang ditunjukkan sepanjang acara jelas melambangkan nilai kebersamaan yang patut diteruskan bukan sahaja pada Hari Merdeka, tetapi dalam kehidupan seharian.
Konsert Hello Inilah Kita: Sehati Bersama jelas membuktikan bahawa muzik, anak muda dan semangat patriotisme boleh bergabung menjadi sebuah nadi perpaduan. Lebih daripada sekadar hiburan, ia adalah seruan untuk terus menyemai nilai kebersamaan, agar Merdeka sentiasa segar di jiwa setiap generasi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.