
Negara Nepal kini bergolak selepas keputusan kerajaan menyekat sebanyak 26 platform media sosial popular mencetuskan protes besar-besaran, terutama daripada golongan Gen Z. Tindakan drastik itu dilakukan pada 4 September lalu apabila syarikat teknologi antarabangsa dilaporkan gagal mendaftar dengan pihak berkuasa telekomunikasi negara berkenaan seperti yang diwajibkan.
Memetik laporan media antarabangsa, antara platform yang disekat termasuk Facebook, X, Instagram, YouTube, WhatsApp, Reddit dan LinkedIn. Namun, beberapa aplikasi seperti TikTok dan Viber masih dibenarkan kerana telah mematuhi syarat kerajaan. Larangan ini segera mendapat tentangan hebat kerana rakyat menganggap ia menyekat kebebasan komunikasi dan akses maklumat.
Dalam pada itu, gelombang protes yang bermula secara kecil bagaimanapun bertukar menjadi gerakan nasional dipelopori belia dan isu ini bukan sekadar tentang akses media sosial, tetapi simbol penentangan terhadap rasuah, kurangnya peluang ekonomi serta ketidakadilan politik yang sekian lama menghantui negara itu.
Situasi semakin tegang apabila pasukan keselamatan bertindak menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera, menjadikan krisis ini antara protes paling berdarah di Nepal dalam tempoh beberapa dekad.
Slogan “Shut down corruption, not social media” juga kedengaran di jalanan, menandakan kemarahan rakyat bukan semata-mata kepada larangan digital, tetapi juga sistem politik yang dianggap gagal sehingga beberapa bangunan kerajaan dibakar, manakala rumah rasmi Perdana Menteri serta Presiden turut menjadi sasaran.
Disebabkan tekanan yang kian memuncak, kerajaan Nepal akhirnya menarik balik larangan media sosial. Namun, langkah itu tidak serta-merta meredakan keadaan kerana gelombang kebangkitan rakyat sudah melangkaui isu asal. Pada masa yang sama, desakan bertambah kuat sehingga memaksa Perdana Menteri K.P. Sharma Oli mengumumkan peletakan jawatan beliau pada Selasa.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri turut melepaskan jawatannya atas dasar tanggungjawab moral. Situasi ini menandakan krisis politik negara berkenaan semakin meruncing dan institusi kerajaan kini berdepan cabaran untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Sementara itu, bagi meredakan keadaan, kerajaan Nepal turut memaklumkan akan menubuhkan panel siasatan khas dalam tempoh 15 hari bagi meneliti punca rusuhan serta mencadangkan langkah pencegahan. Pampasan juga dijanjikan kepada keluarga mangsa yang terkorban, selain rawatan percuma bagi mangsa yang tercedera.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.